Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani, 24, atau mesra dengan panggilan Mawi, menganggap dirinya bertuah dan beruntung apabila buat pertama kali berpeluang berduet dengan idolanya, iaitu Yassin Sulaiman dan Nash, malam tadi.
Kedua-dua penyanyi pujaan Mawi itu ditampilkan sebagai kejutan sempena majlis makan malam, sambutan ulang tahun dan pelancaran Kelab Peminat Mawi (MawiFC), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi.
“Saya amat terharu dengan penganjuran majlis malam ini (malam tadi) dan mengucapkan ribuan terima kasih buat ahli MawiFC yang bertungkus-lumus menjayakannya.
“Saya juga amat beruntung dan bertuah kerana dapat berduet dengan idola saya, Yassin Sulaiman dan Nash yang ditampilkan sebagai kejutan malam ini,” katanya.
Mawi juga tidak ketinggalan merakamkan penghargaannya kepada Puteri Sultan Johor, Tunku Muna Najihah Sultan Iskandar yang bukan saja sudi mencemar duli ke majlis gilang-gemilang itu malah menaungi MawiFC yang kini mempunyai lebih 30,000 ahli.
“Saya amat terharu dan berbesar hati dengan sokongan beliau yang tidak pernah jemu menyokong saya selama ini termasuk menyerikan lagi majlis ini,” katanya ringkas.
Suasana majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran keluarga Mawi iaitu bapanya, Ani Ahmad atau dikenali sebagai Pak Atan, adik serta saudara-mara. Pun begitu tunangnya, Nor Diana Mohd Naim, 21, difahamkan tidak dapat hadir.
Turut kelihatan, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, Waheeda, Shahila, komposer Iman Wan, penerbit filem, David Teoh serta tenaga pengajar AF3, antaranya Cikgu Ae dan Linda Jasmin.
Majlis bagaikan tidak lengkap tanpa alunan suara merdu bintang dari Kulai Johor itu. Sebagai penghormatan dia membawakan lagu popular seperti Seroja dan Aduh Saleha.
Mawi juga tampil secara duet bersama Yassin menerusi lagu Mimpi Laila, Nash (Halaman Rindu), Asri Rabbani (Intifada/Pergi Takkan Kembali). Kumpulan nasyid Felda Taib Andak yang pernah disertai Mawi, turut diundang membuat persembahan.
Selain persembahan nyanyian, pelbagai acara menarik diadakan seperti cabutan bertuah dan lelongan lima surat wasiat Mawi ketika di Akademi Fantasia.
Mawi bagaimanapun tidak sempat bermesra dengan wartawan sehingga menyebabkan sidang akhbarnya berlangsung tidak sampai lima minit, berikutan desakan peminat yang menunggu giliran bergambar kenangan dengannya.
©The New Straits Times Press (M) Berhad