Komposer lagu Selamat Tinggal Bungaku meninggal dunia
Oleh: ZULHISHAM ISHAK
JOHAR BAHAR.
PETALING JAYA 24 Sept. - Pencipta lagu, Selamat Tinggal Bungaku, Johar Bahar, 84, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pukul 1.15 pagi setelah menderita penyakit kanser buah pinggang.
Allahyarham yang merupakan komposer terkenal sekitar tahun 60-an mengalami sesak nafas sebelum dikejarkan ke PPUM pada pukul 11 malam tadi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hasnah Mohd. Yunus, 68, tiga orang anak termasuk komposer terkemuka Profesor Madya Khairil Johari, 44, yang kini pensyarah muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Hasnah berkata, Allahyarham menderita penyakit tersebut selama tiga tahun selain mempunyai masalah tekanan darah tinggi tetapi tidak serius.
``Beliau seorang insan seni yang pendiam, suka menyendiri dan tidak suka berbual-bual dengan orang lain.
``Ini bukan bermakna Allahyarham sombong tetapi beliau akan memperoleh ilham dengan cara demikian,'' katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Hasnah yang juga bekas guru besar dan penulis lirik memberitahu, Allahyarham telah beberapa kali menerima anugerah hasil sumbangannya dalam dunia muzik tempatan.
Lagu Selamat Tinggal Bungaku masih `segar' sehingga ke hari ini kerana liriknya yang meniupkan semangat kecintaan terhadap negara.
Lagu-lagu lain yang pernah dihasilkannya ialah Malaysia Tanah Airku, Gunung Kinabalu, Banjaran Titiwangsa dan Selamat Pergi Pahlawan.