-- 32 maut, 101 cedera dalam lima letupan secara serentak
Daripada: ZULKEFLI HAMZAH
|
|
Kira-kira 101 lagi cedera, kebanyakannya rakyat asing.
Setakat tengah malam ini, dua mangsa terbunuh dikenali pasti sebagai warga Australia dan Jepun.
Letupan berlaku pada waktu hampir sama kira-kira pukul 6.50 petang waktu tempatan di sekitar restoran pinggir pantai Jimbaran dan berdekatan Hotel Four Seasons, Jimbaran, dua letupan berdekatan Hotel Westin, Nusa Dua dan di depan pusat membeli-belah Matahari serta Restoran Raja di Kuta.
Laporan awal menyebut letupan di Restoran Raja mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan 25 yang lain, manakala enam terbunuh dan 16 cedera di kawasan restoran Jimbaran.
Menurut stesen berita Metro TV, polis juga menemui beberapa butir bom yang ditanam di dalam pasir di kawasan restoran pinggir pantai Jimbaran.
``Sekurang-kurangnya berlaku dua letupan kuat di kawasan restoran di pinggir pantai Jimbaran iaitu di Restoran Nyoman dan Restoran Tebah. Ada beberapa mayat yang hancur,'' menurut wartawan Metro TV di Jimbaran.
Jurucakap Kedutaan Perancis berkata, sebanyak 21 mayat mangsa dihantar ke Hospital Sanglah manakala 11 lagi ke Hospital Griya Asih.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang mengadakan mesyuarat tergempar malam ini dengan pasukan keselamatan negara mengutuk kejadian berkenaan dan akan bertindak tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
``Kerajaan memerintahkan agar orang yang bertanggungjawab segera ditangkap dan diberi hukuman seberat-beratnya.
``Kerja-kerja risikan juga akan dipertingkatkan,'' kata Susilo pada sidang media lewat malam ini.
Letupan bom berkenaan menyebabkan suasana panik di Bali yang pada 12 Oktober 2002 digegarkan dengan bom berani mati di Jalan Legian, Kuta yang mengorbankan 202 orang, sebahagian besarnya pelancong asing.
Setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada polis tetapi beberapa pihak mengaitkan dengan kelompok Jemaah Islamiah (JI) dan pengganas paling dicari, Azahari Husin dan Noordin Mohd Top.
Dua warganegara Malaysia itu diburu polis selepas kejadian bom Bali dengan ganjaran masing-masing RM400,000 kepada pihak yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya dua pengganas ini. - Mingguan Malaysia