Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Siti muncul selepas gelora

Written By JOM JALAN on 2/10/05 | Ahad, Oktober 02, 2005

Oleh: JAMLIAH ABDULLAH

SITI NURHALIZA.



RASA-RASANYA sudah lama penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza tidak menghiasi muka depan Pancaindera. Ramai yang sedia maklum dengan kesibukan Siti sepanjang tahun ini. Memang sukar untuk mendapatkan Siti.

Apatah lagi, dengan pelbagai gosip yang kurang enak sejak kebelakangan ini, tentu mustahil untuk mendekati Siti. Itu sikap Siti yang semula jadi, gemar diam daripada bersuara.

Tiba-tiba saja, Pancaindera menerima undangan daripada Siti Nurhaliza Production melalui kakak iparnya Rozie untuk fotografi istimewa ini.

Dengan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba, ini tentu masa yang sesuai. Apatah lagi apabila Siti sendiri sebenarnya mempunyai banyak cerita yang ingin disampaikan kepada peminatnya.

Bertempat di banglo cantik di Cyberview Lodge Resort & Spa di Cyberjaya Selangor, di situ, saya mengintai Siti dan mengajak dia berbicara tentang aktiviti terbarunya dengan santai.

* Selesaikan album tertangguh

Mana album baru Siti? Itu barangkali pertanyaan peminatnya apatah lagi sudah lama berita tentang album baru itu diuar-uarkan.

Dalam pertemuan itu Siti berjanji akan menyiapkan album tersebut secepat mungkin untuk memastikan berada di pasaran selewat-lewatnya selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Sepanjang Ramadan, kata Siti, dia akan masuk studio.

``Album terbaru itu memang sudah lama tertangguh. Kini dalam proses pemilihan lagu dan perbincangan dengan penerbit saja.

``Siti dapat banyak daripada komposer dan nanti Siti akan umumkan apabila semuanya sudah pasti,'' katanya.

Album itu kelak, kata Siti, akan mendapat sentuhan banyak komposer terkenal seperti Azmeer, Catt Ruffedge, Yasin, Iman Wan, Helen Yap dan Azman Abu Hassan. Ada juga komposer terkenal daripada seberang iaitu Melly Goeslow, Erwin Gutawa, Glenn Fredly dan Katon.

Siti mengakui dia sudah memilih empat buah lagu ciptaan pereka dari seberang itu. Sememangnya bertuah menjadi penyanyi seperti Siti kerana banyak komposer berebut-rebut ingin menyumbangkan lagu.

``Siti memang terharu kerana penyanyi seperti Katon itu sanggup datang dari Indonesia membawa lagunya untuk Siti.

``Hasratnya ingin berduet tetapi dia tidak mendesak kerana kalau Siti mahu menyanyi solo pun tak apa tetapi Siti memang suka lagu itu,'' tambah Siti.

Album terbaru itu kelak akan memuatkan 11 buah lagu termasuk sebuah lagu bonus.

``Kali ini, Siti rasa Siti nak buat pembaharuan. Muatkan 11 lagu iaitu satu lagu bonus. Semua album Siti dulu ada 10 lagu saja kecuali album pertama. Kali ini, apa salahnya Siti buat satu lagu bonus khas untuk peminat,'' katanya.

Selain daripada mengharapkan komposer terbabit Siti juga berharap dua buah lagu ilhamnya dapat dimuatkan dalam album itu.

``Sudah lama Siti tulis lagu itu tetapi terpulanglah kepada penerbit nanti kalau nak pakai atau tidak. Tak maulah Siti mendesak,'' katanya yang juga berhasrat untuk menjadi penerbit bagi album studio ke-11 itu.

Album terakhir Siti adalah Prasasti Seni yang tampil pada pertengahan tahun lepas. Itu juga album terakhir Siti bersama syarikat rakaman SRC.

Untuk album terbaru kelak Siti juga menjanjikan kelainan termasuk iramanya dan melihatkan senarai komposer pilihannya itu Siti tentu saja dapat menunaikan janji itu.

Jangan terkejut jika Siti juga mampu menyanyi dan rap kelak. Bukan sesuatu yang janggal kerana Siti dapat menyanyikan lagu seperti itu dengan baik bersama kumpulan Too Phat bagi Dua Dunia. Suara Siti itu hadir dalam album terbaru Too Phat, Rebirth into Realiti.

``Siti sudah bergabung dengan banyak penyanyi daripada pelbagai genre dan kali ini Siti ingin rap pula. Siti harap peminat sedia terima pembaharuan Siti,'' katanya.

Selain sibuk dengan album baru sepanjang Ramadan Siti juga terbabit dengan promosi produk tehnya iaitu Moh C'Tea Tour yang mengembara ke seluruh negara.

Pada masa yang sama Siti juga terkilan kerana tidak dapat menyertai Festival Muzik Oriental Dunia di Sarajevo, Bosnia Herzegovina mulai 25 September lalu hingga 2 Oktober.

``Atas alasan tertentu Siti tidak berpeluang memang terkilan juga,'' kata duta Maxis dan Jaya Jusco itu. Di sini jadual Siti penuh termasuk menyiapkan beberapa program Hari Raya untuk televisyen.

* Niat naik haji, pakai tudung

Buat kali ketiga bersempena Ramadan, Siti akan ke Mekah menunaikan umrah lagi. Bila? Kata Siti, dia belum memilih tarikh yang tepat tetapi semua urusan sudah diserahkan kepada agensi terbabit.

``Kali pertama buat umrah Siti sudah janji akan tunaikan umrah setiap Ramadan.

``Tahun ini masih tunggu tarikh, insya-Allah Siti akan pergi juga. Dua tahun lepas apabila kali pertama Siti buat umrah Siti beraya di sana. Tahun lepas Siti balik dan tahun ini belum tahu bagaimana tetapi kalau boleh bagus juga Siti beraya di sana,'' harapnya.

Tahun ini, kata Siti, dia merancang untuk membawa lima atau enam ahli keluarganya yang belum berpeluang ke Mekah.

Setelah beberapa tahun tidak ketinggalan membuat umrah, Siti mengakui hatinya semakin tergerak untuk mengerjakan haji pula.

``insya-Allah kalau dibuka panggilannya Siti akan pergi juga satu hari nanti mungkin dalam masa terdekat ini. Semuanya ikut seru dan keizinan-Nya tetapi Siti rasa macam sudah dekat benar.

``Siti pun okey dan bersedia sebenarnya. Siti harap dapat naik haji juga kerana Siti akan mendaftar dalam masa terdekat,'' katanya.

Siti juga memberitahu, jika sebelum ini dia agak berkira dan belum bersedia tetapi kali ini dia benar-benar yakin.

``Dulu Siti selalu ingat kalau kita pergi tetapi hati tidak terbuka pun tidak ada makna. Sesuatu yang pasti kalau jadi Siti buat umrah, insya-Allah Siti akan terus pakai tudung.

``Kalau umrah memang masih boleh kompromi kalau haji memang sepatutnya Siti memakai tudung tiada kompromi lagi,'' tegas Siti.

Siti yakin dengan keputusannya itu kerana dia mempercayai peminat akan terus menyokong walaupun dia sudah bertudung litup.

``Siti rasa tidak ada masalah kalau siti bertudung. Kita lihat macam mana orang di Indonesia menerima artis yang bertudung

``Siti percaya pakai tudung bukan halangan untuk maju dalam apa juga bidang kelak,'' kata Siti.

* Siti komen Mawi

Pada kesempatan yang ada itu Siti juga memberi komen tentang Mawi dan fenomenanya yang dikatakan sedikit sebanyak menyumbang kepada kejatuhan popularitinya.

Pencapaian Siti dalam Anugerah Era 2005 yang berlangsung baru-baru ini menjadi ukuran.

Daripada lima pencalonan, Siti hanya meraih satu anugerah iaitu Persembahan Vokal Terbaik Wanita. Terhimpit dengan pelbagai persoalan, Siti tidak segan menyamakan kekalahannya dengan pelumba terkenal Michael Schumacher.

``Schumacher pun kalah inikan Siti,'' kata Siti. Hakikatnya, Siti sedia terima kekalahan itu dan apa pun dia masih mempunyai alasan tersendiri.

``Dalam pertandingan Siti sentiasa maklum kalau menang jadi isu kalah pun jadi isu. Sedangkan Siti tak apa-apa.

``Anugerah Era, Siti akui kehebatan penyanyi lain termasuk Mawi dan lagu lain yang lebih popular. Lagipun Siti tak ada lagu baru cuma lagu yang sudah lama,'' terangnya.

Gambar Siti berdamping dengan Mawi juga jadi isu dan komen Siti, ``Siti cuma bergambar dengan artis lelaki atas nama kerja.

``Sudah lama Siti jelaskan hal itu tetapi hari ini orang ungkit lagi kerana fenomena Mawi. Sebenarnya Siti tidak bergambar berdua pun dengan Mawi tetapi artis lain juga, cuma gambar tersebut dicantum jadi seolah-olah Siti bergambar dengan Mawi,'' katanya.

* Siti makin tabah

Sememangnya sepanjang 2005 ini Siti melalui banyak dugaan dan cabaran termasuk pelbagai khabar angin yang kurang enak.

``Setelah melalui pelbagai perkara Siti semakin tabah. Sebenarnya Siti sudah bersedia kerana Siti tahu setiap tahun atau setiap masa pasti ada perkara-perkara baru yang akan Siti tempuhi.

``Gosip, kejayaan dan kekalahan apa saja. Siti sudah lalui semua itu sebab Siti tahu bagaimana nak kawal jiwa dan diri Siti dengan baik,'' katanya.

Siti juga memberitahu bahawa bukan niatnya untuk melarikan diri atau berdiam daripada menjawab pelbagai persoalan khabar angin termasuk gosip percintaan barunya itu.

``Kadangkala kalau kita berdiam diri orang anggap kita mahu melarikan diri. Mereka tidak mahu faham bahawa Siti memang tidak mahu membuat polemik baru atau membesar-besarkan perkara itu

``Siti tahu masa inilah orang akan terus menduga Siti, selagi Siti tidak kahwin. Tetapi Siti sedia terima apa saja. Cuma ada kalanya Siti harap mereka dapat faham hati Siti dan cuma meletakkan diri mereka di tempat Siti,'' keluhnya menutup pertemuan hari itu.