|
|
Pengalaman melihat sendiri seorang ahli keluarga terdekat yang menderita kerana penyalahgunaan dadah telah menghantar keinsafan kepada Mawi.
Penyanyi yang sedang digilai ramai ini menganggap itu adalah pengalaman paling hiba yang pernah dilalui sepanjang hidupnya.
``Saya tidak boleh gambarkan seksanya dia, sebelum menghembuskan nafas terakhir. Tiga hari tak dapat benda tu (dadah) dia buang tabiat. Sekejap azan, sekejap berzanji. Cukup seksa,'' kata Mawi yang hampir menitiskan air mata ketika berkongsi pengalaman pahit itu.
Mawi meluahkannya pada majlis Mawi@UPM - Katakan Tidak Kepada Dadah yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar Kursus Perhubungan Awam (KOC 3431) di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Universiti Putra Malaysia (UPM) Rabu lalu di bawah seliaan pensyarah Muhammad Pauzi Abd. Latif.
Lebih 3,000 tetamu menghadiri majlis yang turut mendapat kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Maestro Talent ini.
Meskipun hanya mendedahkan individu berkenaan sebagai saudara terdekat yang tinggal serumah dengannya, Mawi tidak mahu memberi komen panjang apabila ada wakil media yang cuba mengaitkan individu tersebut sebagai abang kandungnya sendiri.
``Cukup kalau saya katakan sebagai saudara terdekat yang tinggal serumah dengan saya,'' katanya di sidang akhbar selepas acara berkenaan.
Dalam acara Mawi@UPM - Katakan Tidak Kepada Dadah ini, buat pertama kalinya dia bercakap dengan penuh semangat di hadapan peminat.
Bukan dengan laras hiburan, tetapi dengan laras sosial; mengajak belia membenci gejala dadah.
Mawi membuktikan kata-katanya untuk memberikan sokongan kepada segala usaha membendung gejala negatif terutamanya penyalahgunaan dadah.
Satu jam yang berlalu bagaikan tidak terasa. Bakatnya memang bukan sahaja kepada nyanyian, tetapi Mawi begitu bijaksana dalam memberi ceramah. Ada gaya.
``Inilah buat pertama kalinya saya bercakap dengan sepenuh hati,'' kata Mawi di hadapan peminatnya.
Dan ini juga adalah aktiviti pertamanya dalam usaha mendekati pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi. Jika selama ini dia terlalu berahsia tentang hal-hal berkaitan dengan dadah atau kisah kawan-kawannya yang terlibat dengan gejala berkenaan, kali ini dia meluahkan dengan jujur.
Kerana kekangan kewangan dan kehidupan di tanah rancangan Felda yang serba kekurangan, impian untuk belajar tinggi atau masuk universiti terpaksa dilupakan.
Jadi, sebagai pemuda kampung biasa, jika tidak ada kesabaran dan ketabahan pada dirinya, kata Mawi dia tidak mungkin menjadi Mawi seperti hari ini.
Dalam ucapannya, Mawi membuka rahsia yang dia sudah diperkenalkan dengan sejenis dadah bernama `AB Jon' sewaktu alam persekolahan lagi. Kawan berkenaan mempelawanya menjamah pil berkenaan - berkali-kali.
``Apabila saya tengok lepas kena benda tu, dia terbaring di tengah jalan depan wakaf, saya kata ini benda gila.
``Alhamdulillah hingga ke hari ini, saya bersyukur sebab walaupun didedahkan dengan benda-benda macam itu saya masih berjaya mengawal diri, alhamdulillah,'' katanya.
Sampai ke satu tahap apabila menyebut pengorbanan ibu dan bapanya, Mawi sebak seketika. Kalau dikenang segala pengorbanan ibu bapanya, kata Mawi dia boleh menitiskan air mata.
Justeru dia sangat faham akan keadaan ibu bapa apabila ada anak mereka terjebak dengan gejala berkenaan.
``Ibu bapa dihina kerana perbuatan anak-anak. Ini sesuatu yang tak sepatutnya kita hadiahkan kepada mereka yang melahir dan membesarkan kita.
``Oleh itu jauhi dadah,'' kata Mawi.
Bagaimanapun pada penghujung ceramahnya, Mawi meminta supaya semua pihak jangan sampai menghina golongan penagih dadah sewenang-wenangnya.
Kata Mawi, golongan ini perlu didekati, bukan dihina dan dicaci dengan sesuka hati.
``Kita pun manusia biasa juga. Tak ada hak menghina manusia lain. Esok manalah tahu, cucu atau cicit kita pula yang terkena, siapa hendak jawab? Jangan menghina, tetapi dekati mereka,'' katanya.
Sebelum Mawi, Pengerusi Kehormat Karyawan, Zaienal Abidin Omar turut menyampaikan ucapan berkenaan dengan isu yang sama.
Selain Mawi, turut berkongsi pengalaman dengan tetamu ialah pengacara majlis, pelawak Sabri Yunus.
Sabri dalam acara ini mengakui pernah sekali cuba-cuba merasa dadah jenis ganja, tetapi itu adalah percubaan pertama dan terakhirnya.
``Apabila kita sendiri kata tidak kepada diri kita, ia tidak akan membawa kita ke lembah penagihan. Kita sendiri perlu kuat mengatakan tidak kepada dadah,'' kata Sabri dengan telatah yang menghiburkan.
Acara penuh meriah dan bersejarah ini turut disaksikan oleh isteri Naib Canselor UPM, Datin Umi Kalsum serta Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Rosli Latif.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ir. Zohardie Bardaie dalam sidang akhbar selepas acara berkenaan berkata, usaha membawa Mawi ke UPM adalah sebagai pendekatan ke arah menyokong usaha kerajaan membanteras jenayah dadah.
``Kita mulakan dengan Mawi. Bukan kerana dia popular, tetapi kualiti yang ada pada dia sendiri.
``UPM akan terus menganjurkan pelbagai acara untuk memastikan pencegahan awal dalam memastikan najis dadah tidak merebak ke universiti,'' katanya.