Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Tsu-Mawi di Brunei

Written By JOM JALAN on 3/10/05 | Isnin, Oktober 03, 2005


MAWI mewakili bintang AF3 menyerahkan sumbangan kepada Ketua Pengarah Yayasan Sultan Hasanal Bolkiah, Datuk Paduka Ali Hashim Daud.

WANDA IDRIS (Yang menyaksikan Konsert AF3 di Brunei baru-baru ini)

FENOMENA tsu-Mawi rupa-rupanya tidak hanya melanda negara ini sebaliknya turut merebak hingga ke negara Brunei Darussalam. Ini terbukti bila penduduk bandar itu sanggup berasak-asak hanya untuk menyambut kehadiran anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu ke negara tersebut baru-baru ini.

Bersama 13 bintang-bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) yang lain; Felix, Amylea, Marsha, Yazer, Kefli, Akma, Ekin Amy, Idayu, Aidil, Fuad, Reza dan Elliza; Mawi berjaya menggegarkan negara itu di pentas persembahan tersebut.

Peminat nyata begitu teruja untuk menyaksikan penampilan bintang AF3 yang buat pertama kalinya mengadakan persembahan di negara itu.

Dan saat bintang AF3 itu tampil ke pentas menyampaikan lagu Mulanya Di Sini sebagai lagu pembuka tirai, tepukan gemuruh dan sorakan bergema menghangatkan suasana malam.

Mereka bukan sahaja memberi sokongan padu setiap kali bintang AF3 itu mengadakan persembahan secara solo mahupun berkumpulan.

Tapi laungan world turut kedengaran bergema di taman itu sewaktu Mawi muncul mengadakan persembahan menyampaikan lagu-lagu Gadis Melayu dan Aduh Saliha.

Malah ramai yang berebut mahu naik ke pentas untuk bermesra dengan bintang AF3 khususnya Mawi.

Sememangnya penonton negara kecil yang hanya mempunyai empat daerah dan penduduk sekitar 360,000 itu begitu sporting!

Mereka bersorak setiap kali sedutan aksi-aksi menarik pasangan Felix-Akma, Yazer-Ekin dan Aidil-Amy disiarkan di layar.

Konsert yang diacarakan oleh Fauziah Ahmad Daud itu turut disaksikan jemputan kenamaan negara itu.

Persembahan

SEBANYAK 21 buah lagu dipersembahkan sepanjang konsert yang diiringi pemuzik yang dipimpin oleh Sham Kamikaze.

Ekin memulakan persembahan dengan lagu popular Jennifer Lopez, Let's Get Loud. Dia yang berasal dari Labuan, Sabah turut berinteraksi dengan peminat menggunakan bahasa Brunei.

Elliza mendendangkan lagu Dedebu Cinta, Akma (Cahaya), Yazer (Ready For Love), Fuah (Puteri), Reza (Alamak Kahwinkan Aku), Idayu (Curiga), Kefli (Berhenti Berharap), Amy (Fallin'), Aidil (Senyuman Ragamu), Amylea (Dua Insan Bercinta), Marsha (Manusia), Felix (Berjuta Batu) dan Mawi (Gadis Melayu dan Aduh Saliha).

Memenuhi slot persembahan secara berkumpulan, lagu-lagu yang dipersembahkan termasuklah Cinta Di Akhir Garisan oleh kesemua bekas pelajar perempuan AF3 dan Raikan Cinta oleh bekas pelajar lelaki.

Mereka turut mempersembahkan lagu Hindi popular, Ladhi Badi Anjaani Hai daripada filem Kuch Kuch Hota Hai yang pernah mereka persembahkan pada konsert mingguan sebelum ini.

Pada konsert itu, bintang AF3 juga buat pertama kalinya menyampaikan lagu-lagu Summer Love dan You're The One That I Want daripada filem Grease.

Dan peminat bersorak gembira ketika bintang AF3 menyampaikan lagu Menuju Puncak yang menjadi lagu penutup tirai persembahan.

Fanatik

MENARIKNYA, keterujaan peminat bukan sahaja ketika menonton persembahan yang dianjurkan oleh DeHayat Music & Productions (DHMP) itu. Tapi kehadiran buat julung kalinya bintang AF3 itu di negara tersebut, turut diserbu peminat ke mana sahaja mereka pergi.

Agak menakutkan, ketika menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk anak-anak yatim di Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Hasanal Bolkiah, para peminat seakan-akan diserang histeria melihat kehadiran bintang AF3.

Keadaan menjadi kecoh apabila peminat mula mengetuk-ngetuk dinding kaca bangunan tersebut sewaktu bintang AF3 itu mahu pulang.

Malah kerana Mawi, ada peminat perempuan yang mengalirkan air mata serta terjatuh dalam keadaan yang berasak-asak itu.

Bukan itu sahaja, hotel tempat penginapan mereka, Hotel LR Asma turut diserbu peminat. Malah ada antara mereka yang sanggup menunggu di lobi hotel sehingga pukul tiga empat pagi semata-mata untuk bertemu dengan artis pujaan mereka.

Hebatnya, bilik hotel itu juga habis ditempah peminat apabila pihak pengurusannya menyediakan pakej istimewa penginapan lima hari empat malam berharga B$250.

Lucunya, ada kalangan pelanggan yang datang menginap adalah merupakan orang di sekitar kawasan hotel berkenaan.

Malah anda boleh melihat, ada ibu yang datang menghantar bekalan makanan buat anak-anak mereka yang menginap di hotel itu.

Komen Mawi

``Saya benar-benar terharu dengan sokongan itu. Kasihan juga apabila mendapat tahu ada peminat yang terjatuh dan sebagainya.

``Namun saya berharap persembahan kami sempena konsert ini dapat memberi peluang kepada mereka melihat kami dengan lebih dekat.''

Komen Penganjur

Pengarah Urusan DHMP, Pengiran Abu Bakar Pengiran Othman memberitahu, ''AF3 benar-benar hebat malah mengalahkan tumpuan yang diberikan kepada kehadiran kumpulan Sheila On 7 sebelum ini.

``Walaupun pengalaman mengendalikan mereka agak susah tetapi ia amat membanggakan.

``Malah saya berhasrat untuk membawa kembali beberapa bintang AF3 mengadakan persembahan secara solo.

``Kalau melihat daripada keuntungan perniagaan tentunya Mawi.''