Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Angkara pengebom berani mati -- Susilo sahkan taktik terbaru militan pasang bom pada badan sendiri

Written By JOM JALAN on 3/10/05 | Isnin, Oktober 03, 2005


DUA lelaki tempatan memindahkan seorang mangsa letupan bom yang cedera parah dari sebuah kafe di Pantai Jimbaran, Bali, Indonesia kelmarin. - AP.

BALI 2 Okt. - Pengebom-pengebom berani mati bertanggungjawab melancarkan serangan terhadap tiga restoran penuh sesak di Bali semalam hingga meragut sekurang-kurangnya 26 nyawa dan lebih 100 lagi cedera.

Tindakan tersebut dilihat taktik terbaru kumpulan militan berbanding sebelum ini menggunakan kenderaan yang diisi dengan bom untuk melancarkan serangan mereka.

Dalam serangan terbaru itu, mereka telah memasang bom pada badan masing-masing sebelum meletupkannya hingga mengorbankan diri sendiri.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengesahkan perkara itu.

``Hasil siasatan setakat ini menunjukkan serangan bom itu dilakukan oleh pengebom-pengebom berani mati,'' katanya pada sidang media di Kuta, Bali hari ini.

Justeru, beliau bertekad mengambil tindakan yang lebih berkesan untuk mencegah serangan berani mati seumpama itu berulang.

Sementara itu, Mejar Jeneral Ansyaad Mbai yang mengetuai meja antikeganasan di Kementerian Keselamatan berkata, tiga pengebom terbabit memasuki restoran tersebut lewat petang semalam dengan masing-masing memakai jaket mengandungi bahan letupan.

Bagaimanapun dalam laporan lain menyatakan, pengebom terbabit dipercayai menggunakan dua kenderaan dalam operasi mereka, iaitu sebuah van dan sebuah kereta kecil.

Menurut Ansyaad, cebisan-cebisan mayat pengebom ditemui di tempat kejadian.

``Saya sendiri melihatnya. Yang tinggal hanyalah kepala dan kaki mereka.

``Berdasarkan bukti kami boleh membuat kesimpulan pengebom membawa bahan letupan di sekeliling pinggang mereka,'' katanya.

Justeru, polis juga sedang mencari tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam serangan itu, lapor televisyen Metro dengan memetik sumber di ibu pejabat polis wilayah Bali.

Beliau menambah, serangan itu juga disyaki didalangi oleh dua warga Malaysia, Azahari Husin dan Noordin Mohd. Top, kata seorang pegawai antikeganasan Indonesia hari ini.

``Modus operandi serangan semalam sama seperti serangan terdahulu dan memperlihatkan tanda-tanda angkara Jemaah Islamiah (JI). Kami mengesyaki Azahari dan Noordin mendalanginya,'' kata Ansyaad.

Azahari dan Noordin merupakan orang paling dikehendaki di Indonesia sejak serangan di Bali pada 2002 yang membunuh 202 orang, kebanyakannya warga asing.

Mereka yang dikatakan anggota kanan JI itu juga dituduh mendalangi dua lagi serangan yang melibatkan pengebom berani mati di Jakarta pada 2003 dan 2004.

Letupan-letupan itu berlaku hampir serentak di dua buah kafe makanan laut di pantai Jimbaran serta sebuah restoran mi dan stik di pusat bandar Kuta berlaku beberapa hari sebelum hari ulang tahun ke tiga serangan 12 Oktober 2002.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Indonesia hari ini meletakkan ibu negara, Jakarta dalam keadaan berjaga-jaga berikutan serangan bom di Bali itu.

Jurucakap polis Jakarta, I Ketut Untung Yoga Ana memberitahu, kira-kira 18,000 anggota polis kini diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk mengawal lokasi penting seperti kedutaan asing dan tempat awam lain. - Reuters