KENYATAAN bertulis senarai nama, lengkap dengan biodata dan gambar pelbagai wajah rekaan konputer dua pengganas paling dicari polis Indonesia masih terpampang di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali.
Bagaimanapun dalam pemerhatian penulis kira-kira sejam semasa berkunjung ke Bali, 24 September lalu, tidak ada orang yang berminat untuk melihat notis yang dilekatkan di tembok tiang lapangan terbang antarabangsa itu.
Notis mengenai dua warganegara Malaysia tersebut seperti sudah tidak dihiraukan. Letupan bom pada 12 Oktober 2002 telah dilupakan. Jumlah kedatangan pelancong yang memadati Pulau Dewata ini menandakan Bali telah pulih sepenuhnya.
Di merata-rata pelosok Bali, para pelancong lalu-lalang dengan santai, sebahagiannya sambil membawa papan luncur. Hanya sahaja batu peringatan bom Bali di Jalan Legian menjadi antara lokasi padat pelancong. Pelancong mengambil gambar kenangan di sini.
Bom Bali pada hari yang sama tiga tahun lalu (kurang 11 hari) yang mengerikan dan menghancurkan ekonomi Bali telah menjadi kenangan. Pemeriksaan ketat di semua pintu masuk ke Bali, sebahagian hotel dan pusat membeli-belah memberi gambaran Bali tidak mungkin dapat disusupi pengganas.
Rupa-rupanya anggapan itu salah. Pada malam minggu lalu, di tengah-tengah padatnya pelancong yang sebahagian besarnya sedang menikmati makan malam dikejutkan dengan dentuman bom.
Bali yang tersenarai sebagai antara pulau popular untuk bercuti itu diserang bom lagi. Ramai tertanya-tanya bagaimana bom kekuatan tinggi masih boleh diletupkan di pulau yang dikawal ketat ini.
Bom ini sekali lagi akan menghancurkan ekonomi Bali yang sangat bergantung kepada industri pelancongan. Mungkin kesannya bakal lebih buruk berbanding selepas Oktober 2002 kerana kenyataannya syurga kepada pelancong ini bukan tempat selamat.
Pulau Bali yang menjadi ikon pelancongan Indonesia sekali lagi akan ditinggalkan oleh para pelancong. Seperti kesan tiga tahun lalu, banyak hotel dan kemudahan pelancong lainnya akan gulung tikar.
Pemilihan hari serangan memang sangat tepat. Pada hari yang sama rakyat Indonesia terpaksa menelan pil pahit kenaikan harga minyak melebihi 100 peratus yang diumumkan oleh pemerintah bagi menyelamatkan ekonomi negara.
Dalam keadaan rakyat masih marah dan panik terhadap kenaikan itu, bom meletup di Bali. Boleh dibayangkan kesengsaraan yang akan menimpa Indonesia secara keseluruhannya yang kini menanggung beban hutang RM466.2 bilion.
Memang kelmarin Sabtu yang memilukan bagi rakyat Indonesia, khususnya penduduk Bali yang lebih 80 peratus daripadanya bergantung hidup dengan sektor pelancongan.
Lokasi yang dipilih juga merupakan tempat pilihan pelancong - restoran makanan laut pinggir pantai Jimbaran dan Restoran Raja, Kuta yang menyajikan pelbagai menu termasuk dari Barat. Dua lokasi ini selalunya padat pengunjung.
Meneliti
Menurut pemerhati keselamatan, pihak yang bertanggungjawab mengetahui dengan baik lokasi kejadian dan berkemungkinan telah meneliti lokasi dalam tempoh berbulan-bulan lamanya.
``Mereka telah lama mempelajari lokasi dan bom yang digunakan juga berkekuatan tinggi berdasarkan kesan kerosakan yang berlaku. Tempat yang dipilih pula begitu terbuka yang agak longgar kawalan keselamatannya,'' kata seorang pemerhati keselamatan.
Bagaimanapun pihak berkuasa Indonesia menafikan mereka terleka dalam melakukan kawalan keselamatan. Kawalan keselamatan dilakukan seperti biasa tetapi pengganas tidak pernah mahu mengalah.
Dalam reaksi awal, Presiden Susilo berkata, pada Julai lalu, polis Indonesia telah mengetatkan kawalan selepas sumber risikan menyebut kelompok pengganas dari Filipina dan Malaysia telah berkumpul di Jakarta untuk melancarkan serangan bom.
Mungkin disebabkan kawalan yang ketat, pengganas mengalihkan serangan ke Bali. Sebagaimana kes bom bali 2002, polis bertindak pantas dan telah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga orang yang kini sedang diburu.
Walaupun polis bertindak pantas tetapi pelbagai pihak mengkritik sistem keselamatan negara ini yang terdedah dengan ancaman serangan bom.
Kenyataan bekas Presiden Megawati Sukarnoputri semasa mengulas serangan bom itu mungkin boleh menjadi petunjuk terhadap sistem keselamatan negara ini yang disifatkannya sangat memprihatinkan.
``Kerana sebagai bekas Presiden, saya sangat mengetahui bagaimana pengurusan sistem keselamatan negara. Yang paling utama sekarang ialah kewaspadaan masyarakat. Tidak boleh hanya bergantung dengan pihak keselamatan,'' katanya semasa mengunjungi mangsa di Hospital Sanglah, Bali
Apakah ini mempunyai kaitan dengan langkah pemerintah menaikan harga minyak bagi mengalihkan perhatian masyarakat?.
Analisis seperti itu memang agak keterlaluan kerana tidak mungkin untuk pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sanggup menggunakan cara seperti itu untuk meredam bantahan rakyat.
Dalam hal ini, Menteri Penyelaras Kesejahteraan Rakyat, Alwi Shihab menegaskan pemerintah tidak mempunyai niat untuk mengalihkan isu kenaikan harga minyak dengan mengorbankan rakyatnya.
``Ini imaginasi yang menghancurkan. Kalau pun pemerintah mahu mengalihkan isu ia tidak dengan cara kekerasan. Masih banyak yang boleh dilakukan tanpa harus mengorbankan anak bangsa, tenaga, fikiran, industri pelancongan dan keselamatan negara,'' jelasnya.
Sekali lagi, walaupun belum jelas siapa yang bertanggungjawab di sebalik letupan bom ini, polis menuduh kelompok Azahari dan Noordin sebagai dalangnya. Bom di Restoran Raja juga dinyatakan sebagai bom berani mati.
``Modus operandinya sama dengan letupan bom yang lalu,'' kata Ketua Bahagian Penyelaras Pembanterasan Pengganas di Kementerian Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Ansyaad Mbai yang mencurigai Azahari dan Noordin sebagai orang yang bertanggungjawab.
Dua pengganas yang sentiasa menghantui pihak keselamatan Indonesia sehingga kini masih bebas. Pelbagai usaha dilakukan termasuk menawarkan hadiah RM400,000 setiap seorang tetapi Azahari dan Noordin ibarat malaikat yang dilindungi.
Setiap kali ada bom meletup di negara ini, dua nama itu dikaitkan sehingga menimbulkan tanda tanya siapa sebenarnya yang melindungi kumpulan ini. Mereka yang percaya kepada teori konspirasi menyebut kedua-duanya hanya menjadi kambing hitam untuk menjayakan agenda pihak-pihak tertentu.
Seperti tragedi 12 Oktober 2002, kesan mendadak daripada letupan ini ialah para pelancong panik dan berpusu-pusu keluar dari Bali untuk mencari tempat selamat sehingga ramai yang sanggup tidur di Lapangan Terbang Ngurah Rai.
Memang Bali, kawasan yang dicintai dunia. Tetapi malang semasa ekonomi Bali mulai pulih dan dinyatakan lebih baik berbanding sebelum bom Bali 2002, serangan bom Sabtu lalu seperti melenyapkan semua realiti manis itu.
Mungkinkah pulau Bali yang pernah `kosong' dengan pelancong selepas bom 2002 akan dapat dibangunkan semula terutama di tengah-tengah peningkatan kos akibat kenaikan harga minyak?
Mungkinkah Bali dapat diselamatkan semula setelah kali kedua digegar bom yang juga meragut nyawa dan mencederakan banyak orang?.
Sukar untuk menjawabnya kerana Bali pastinya akan berubah selepas ini terutama dalam aspek kawalan keselamatan yang bakal mengehadkan kebebasan pelancong. Bali yang indah sekali lagi menjadi Bali yang duka nestapa. - Utusan.