|
|
``Ia adalah tuduhan lama yang diulang kembali. Kami percaya tidak ada lagi umat Islam yang akan terlibat dalam serangan seperti itu,'' kata Fauzan.
Menurut Fauzan, pihaknya percaya serangan itu adalah sebahagian konspirasi oleh pihak tertentu untuk memberi imej buruk kepada umat Islam dan cuba menjejaskan nama baik Abu Bakar yang akan dibebaskan pada tahun depan.
``Kita bimbang serangan terbaru itu akan digunakan sebaik mungkin oleh pihak-pihak tertentu khususnya negara Barat untuk mengaitkannya dengan Abu Bakar,'' tegas Fauzan.
Pihak berkuasa mendakwa serangan terbaru di pulau Bali itu dilakukan oleh Jemaah Islamiah (JI) iaitu pertubuhan militan yang aktif di rantau Asia Tenggara.
JI sebelum ini turut dikaitkan dengan serangan bom ke atas dua buah kelab malam di Kuta, Bali pada 12 Oktober 2002.
Abu Bakar kini menjalani hukuman penjara dua tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam konspirasi serangan pada tahun 2002 itu dan dipercayai sebagai pemimpin utama kepada pertubuhan JI.
JI juga dikaitkan dengan pelbagai serangan lain termasuk serangan ke atas Hotel J.W. Marriott pada 5 Ogos 2003 dan serangan bom ke atas Kedutaan Australia di Jakarta pada 9 September tahun lalu.
Abu Bakar bagaimanapun menafikan bahawa dia menyokong atau memimpin sebarang pertubuhan militan tetapi mengaku bahawa dia mengagumi Osama bin Laden iaitu pemimpin rangkaian Al-Qaeda.
Bagi Abu Bakar, Osama adalah wira sebenar umat Islam dan setakat ini dia juga enggan mengutuk serangan ganas yang dilancarkan ke atas kepentingan Barat di Indonesia. - AP