Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Tempat serangan seperti zon perang - saksi

Written By JOM JALAN on 3/10/05 | Isnin, Oktober 03, 2005

SYDNEY 2 Okt. - Beberapa orang rakyat Australia yang menjadi saksi serangan bom di Bali semalam memberitahu bahawa suasana menjadi terlalu kelam-kabut dengan jerit pekik orang ramai yang ketakutan, sejurus selepas serangan tersebut.

Seorang jurukamera, Sean Mulcahy yang kebetulan sedang makan berhampiran tempat kejadian di Kuta berkata, kawasan berkenaan menjadi seperti di dalam `mala petaka besar' sebaik sahaja letupan besar berlaku, petang semalam.

``Terdapat ramai yang cedera akibat letupan itu dan suasana sangat menyedihkan,'' kata Mulcahy memberitahu stesen radio ABC di sini.

Katanya, dia pergi ke tempat-tempat yang diserang termasuk daerah Jimbaran dan mendapati banyak mayat dibawa keluar dari bawah runtuhan bangunan.

``Saya melihat trak-trak membawa mangsa yang terbunuh dan cedera ke hospital sementara orang ramai yang tidak cedera terus membantu mangsa,'' katanya.

Beliau memberitahu bahawa suasana di hospital juga seperti berada dalam `zon peperangan' dengan semua orang kelihatan kelam-kabut menguruskan mangsa-mangsa yang cedera atau yang terkorban dalam serangan itu.

``Darah melimpah di atas lantai hospital dengan ramai mangsa yang cedera menunggu giliran untuk diberi rawatan,'' jelasnya.

Seorang lagi saksi, Mercedes Corby yang tinggal di Bali memberitahu bahawa dia tidak tidur malam tadi kerana membantu mangsa-mangsa yang cedera.

Katanya, ramai mangsa yang cedera akibat terkena serpihan bom atau kaca yang pecah akibat letupan berkenaan sementara ramai yang patah tulang dan melecur.

``Suasana menjadi kelam-kabut dengan mangsa menangis kesakitan terutama mereka yang cedera parah akibat terkena serpihan bom atau kaca,'' katanya.

Corby adalah kakak kepada Schapelle Corby iaitu wanita yang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana didapati bersalah menyeludup dadah ke pulau peranginan itu pada awal tahun ini.

``Mangsa pertama yang saya bantu ialah seorang gadis yang sebahagian mukanya `hilang' akibat terkena serpihan bom berkenaan.

``Serangan itu merupakan sesuatu yang sangat dahsyat dan tidak dapat diterima akal kerana ia betul-betul tidak berperi kemanusiaan kerana melibatkan mangsa yang tidak berdosa,'' tegasnya. - Agensi