WANITA Barat jika ditanya mengenai wanita Islam, mungkin mereka akan mencari contoh wanita dari Afghanistan, Iraq atau negara Islam lain yang dilanda kemelut politik panas. Islam dikaitkan dengan keganasan, kemiskinan, miskin sumber daya manusia dan kepakaran, ketidakadilan dan penindasan hak asasi manusia. Begitulah kuasa media mempengaruhi pemikiran masyarakat menyebabkan wanita Barat memandang wanita di negara Islam dengan pandangan negatif. Itulah imej yang sengaja dibentuk media Barat untuk membela pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada kempen politik dan kekuatan senjata untuk menundukkan negara Islam. Akan tetapi dalam masyarakat Islam sendiri, apakah sudah jelas dan terang bagi mereka kedudukan wanita dalam agama? Masihkah wujud penindasan hak wanita dalam undang-undang perkahwinan? Bagaimana kedudukan mereka dalam masyarakat, kerjaya dan keluarga? Setakat mana ketaatan wanita kepada suaminya sehingga tidak menafikan haknya dalam rumah tangga? Syaikh Muhammad al-Ghazali seorang ulama terkenal dan penulis yang kritis menyatakan dalam tulisannya, Tahrir al-Mar'ah fi 'Ashr al-Risalah (Pembebasan Wanita Pada Zaman Risalah Nabi SAW): “Saya pernah mendengar seorang khatib terkenal berkhutbah dengan penuh emosional. Beliau mengatakan, “Semoga Allah merahmati masa di mana wanita tidak keluar kecuali tiga kali, iaitu dari rahim ibunya, dari rumah orang tuanya ke rumah suaminya, dan dari rumahnya ke alam kubur. “Saya tidak dapat menerima pendapat itu dan saya jawap dengan perkataan, “Semoga Allah merahmati masa itu agar tidak terulang kembali dalam sejarah Islam, kerana masa itu adalah kemenangan tradisi sesat yang menyimpang dari jalan yang lurus.” (Karangan Prof Abdul Halim Muhammad Abu Syuqqah) Demikianlah petikan keresahan hati seorang ulama ulung yang sangat prihatin dengan nasib wanita Islam kerana di kalangan umat Islam sendiri masih ada yang menafikan hak wanita Islam. Jika dengan tidak keluar rumah mereka dianggap mulia dan luhur pekertinya, bagaimana wanita hendak mendapatkan ilmu apatah lagi hendak memperlihatkan jati diri mereka di tengah masyarakat. Kecemerlangan setiap insan bergantung kepada kekuatan iman dan kematangan intelektualnya tidak kira ia daripada golongan lelaki atau wanita. Islam menyamaratakan hak dan kedudukan mereka mendapatkan ilmu bahkan, Rasulullah adalah pemimpin dunia yang pertama menggerakkan revolusi pendidikan kepada kaum wanita. Diriwayatkan dari Abu Sa'id, beliau berkata, seorang wanita datang menghadap Rasulullah kemudian berkata: “Ya Rasulullah kaum lelaki banyak mendapatkan hadismu, maka berilah masa untuk kami agar engkau mengajar apa yang telah diwahyukan Allah kepadamu. Rasulullah bersabda, “Berkumpullah pada hari dan tempat tertentu.” Kemudian mereka berkumpul dan Rasulullah datang mengajar mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Isteri Rasulullah banyak meriwayatkan hadis dan ikut serta dalam mendidik dan mentarbiyah umat. Ketika ini, dunia Islam amat memerlukan kepakaran di bidang sains dan teknologi, perubatan, ekonomi, multimedia, pertanian dan industri militer yang boleh menghasilkan kecanggihan senjata dan peralatan perang sebagai usaha meningkatkan kekuatan umat. Jika kita meletakkan tanggungjawab ini di atas bahu lelaki saja, kita akan jauh tertinggal oleh kehebatan musuh yang sememangnya akan mencari kelemahan dan berusaha menguasai kita. Sedangkan Rasulullah menggerakkan seluruh kekuatan daripada kaum lelaki dan perempuan untuk membela agama Allah. Tugas wanita Islam yang asasi adalah mendidik anak dan mentadbir rumah tangganya dengan bijak di samping tempat menggantung kasih suami. Wanita juga dituntut berdiri bersama kekasihnya itu memegang kemudi bahtera mereka di mana segala keputusan diambil atas dasar musyawarah dan bertolak ansur. Benarkah segala polisi yang dikuatkuasakan suami wajib ditaati tanpa sebarang alasan penolakan? Benarkah berdosa apabila isteri tidak sependapat dengan suami? Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab, beliau berkata, “Ketika aku mempertimbangkan suatu urusan tiba-tiba isteriku berkata, “Alangkah baiknya jika kamu melakukan demikian dan demikian. Akupun berkata, “Apa urusanmu dengan masalah ini? Untuk apa kamu mencampuri urusanku? Ia berkata, “Sungguh pelik engkau wahai putera al-Khattab kamu tidak mahu mendengar pendapatku padahal puterimu (Hafsah, isteri Nabi SAW) berani memberi pendapatnya kepada Rasulullah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Begitulah cara Rasulullah berkomunikasi dengan isteri baginda iaitu melalui jalan musyawarah, tidak ada rasa takut kepada suami atau terpaksa mengalah untuk taat. Bagaimanapun, itu tidak bererti wanita boleh memaksakan kehendaknya dan bersikap kurang ajar kepada suaminya. Hubungan atas dasar keikhlasan dan tolak ansur boleh menyelamatkan keduanya dari pertelingkahan yang dihembuskan oleh syaitan. Kekuatan iman setiap pasangan suami isteri amat penting untuk keselamatan rumah tangga dengan penuh kasih sayang dan rahmat. Seorang isteri yang bijak mampu mengukur tahap keimanan setiap penghuni rumahnya. Bukan hanya suami yang bertugas mendidik ahli keluarga, tetapi isteri turut berperanan menasihat suami jika ada kekhilafan. Sungguh mulia kerja isteri di rumah yang menjadi mentor bagi menjana generasi Islam yang cemerlang. |