Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

20,000 terkorban

Written By JOM JALAN on 10/10/05 | Isnin, Oktober 10, 2005


ISLAMABAD 9 Okt. - Angka korban gempa bumi yang melanda Pakistan, India dan Afghanistan semalam menghampiri 20,000 orang - kebanyakan mangsa terbunuh di wilayah Kashmir yang dikuasai Pakistan.

Jumlah kematian naik mendadak hari ini memandangkan pengumuman rasmi sehingga tengah malam tadi (waktu Malaysia) menunjukkan hanya 2,100 orang mati.

Sehingga 8 malam ini (waktu Malaysia) lebih 19,900 telah disahkan terkorban di kedua-dua wilayah Pakistan dan India.

Pakistan merupakan negara yang paling teruk dilanda kemusnahan dengan kira-kira 19,400 disahkan terbunuh manakala di India pula seramai 583 orang kematian. Hanya empat orang termasuk tiga kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Afghanistan.

Presiden Pakistan, Jeneral Pervez Musharraf merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya tampil membantu Pakistan dengan kerja-kerja pemulihan.

Associated Press memetik Pervez sebagai berkata, Pakistan memerlukan bantuan perubatan, khemah-khemah sementara, bantuan kewangan dan helikopter kargo bagi meringankan beban mangsa-mangsa gempa bumi yang kini sudah meragut hampir 30,000 orang.

``Anggaran kasar kami mendapati lebih 30,000 orang terbunuh di Kashmir,'' kata Menteri Kerja Raya dan Komunikasi Pakistan, Tariq Farooq hari ini.

``Banyak bandar dan perkampungan musnah sama sekali. Muzaffarabad juga binasa teruk. Banyak kawasan perkampungan di kawasan gunung tidak dapat kami pergi. Oleh itu, mangsa mungkin lebih ramai lagi,'' kata beliau.

Menurut Tariq, daerah Bagh, terletak 40 kilometerdari bandar Muzaffarabad merupakan kawasan yang paling teruk mengalami kemusnahan.

Kira-kira 11,000 orang terbunuh di bandar-bandar sekitar Muzaffarabad.

Tidak ada mangsa yang selamat di kampung seperti Jaglari, Kufalgarh, Harigal dan Baniyali di daerah Bagh.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Aftab Sherpao mengesahkan, seramai 19,400 rakyatnya telah terbunuh dan 42,397 yang lain cedera dalam kejadian itu yang disifatkan sebagai ``malapetaka paling buruk dalam Pakistan.''

``Ia situasi paling dahsyat yang tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun,'' kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Aftab, wilayah Kashmir Pakistan yang merupakan kawasan yang paling teruk terjejas.

Sementara itu di wilayah Kashmir India pula lebih 580 orang telah disahkan terbunuh dengan pihak berkuasa telah menemui 258 mayat dari bandar Karnah.

``Kami menemui 258 mayat setakat ini dan 100 lagi cedera di Karnah,'' kata seorang pegawai dari bandar Kupwara.

Di Kashmir India, selain Kupwara, kawasan yang paling teruk terjejas adalah Uri dan Baramulla apabila banyak kediaman musnah dan tertimbus.

Menteri Hal Ehwal Kashmir Pakistan, Faisal Hayat berkata, separuh daripada Kashmir ``binasa teruk akibat gempa bumi.''

``Daripada penduduk berjumlah 2.4 juta, lebih separuh terjejas kehidupan mereka,'' jelasnya sebagai merujuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal, cedera atau terbunuh.

Sementara itu para petugas menggunakan pelbagai peralatan dan tangan untuk membersihkan runtuhan dengan harapan dapat menemui mangsa yang masih terselamat di bawah runtuhan bangunan berikutan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter semalam.

Gempa bumi yang melanda dari kawasan hutan di pergunungan wilayah Kashmir Pakistan berhampiran sempadan India merupakan yang paling kuat menggegas Asia Selatan dalam tempoh sedekad.

Menurut Kajian Geologikal Amerika Syarikat (AS), gegaran terjadi pada kedalaman 10 kilometer di bawah bumi dan mencetuskan gempa sejauh 95 kilometer serta boleh dirasai di seluruh benua kecil itu.

Dalam tempoh 24 jam selepas gempa bumi pertama, sebanyak 22 gempa susulan berukuran 4.5 hingga 6.3 telah dikesan.

Seramai 400 kanak-kanak sekolah di dua buah sekolah di Wilayah Barisan Depan Barat Laut, sementara bandar Muzaffarabad mengalami kerosakan teruk.

``Hampir 50 peratus bangunan di bandar ini musnah,'' kata Perdana Menteri Pakistan, Shaukat Aziz.

Geo TV melaporkan beberapa bangunan penting seperti hospital tentera di Muzaffarabad telah musnah dan orang ramai yang cedera terpaksa ditempatkan di pekarangan hospital.

Seorang jurucakap tentera berkata, 215 tentera Pakistan telah terbunuh dan 414 cedera dalam kejadian itu.

Di ibu negara Pakistan satu blok 10 tingkat Menara Margalla runtuh menyebabkan 10 orang terbunuh dan 126 yang lain cedera.

Kejadian tanah runtuh menyebabkan jalan raya 300 kilometer menghubungkan Srinagar dengan seluruh India terputus, termasuk lebuh raya yang menghubungkan bandar ini dengan Muzaffarabad.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menghantar pasukan penyelaras kecemasan ke Pakistan hari ini.

Ia sebagai persediaan menyelaras ketibaan bantuan dari seluruh dunia. - Agensi