KOTA BHARU 20 Sept. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengaku bahawa langkah kerajaan negeri membawa juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi mengadakan persembahan di Kelantan mempunyai motif politik untuk menarik golongan muda menyokong Pas.
Menurut Mursyidul Am Pas itu, adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam berusaha mengajak semua orang sama ada dari golongan tua, muda atau belum Islam supaya menerima Islam.
``Betul kita bawa Mawi antara sebabnya hendak tarik golongan muda menyokong Pas, sebab Pas memperjuangkan Islam.
``Wajib kita berikhtiar tarik manusia kepada Islam dengan apa cara sekali pun,'' katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah pejabat baru dan peletakan batu asas surau Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Sdn. Bhd., di Lundang di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa langkah kerajaan negeri menjemput Mawi mengadakan persembahan di Kelantan hujung bulan ini adalah bermotifkan politik untuk mengajak golongan muda menyokong Pas.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak menghiraukan pendapat pihak lain mengenai perkara itu kerana niatnya adalah mahu mengajak golongan muda mendekati Islam.
Katanya, dalam Islam terdapat tiga saluran berdakwah yang perlu dilakukan untuk menarik masyarakat kepada agama iaitu berdakwah dengan cara bijaksana, nasihat dan berdebat.
Menurutnya, keputusan membawa Mawi itu adalah berikutan bakatnya yang mampu mengajak golongan remaja supaya tidak terjebak dengan gejala sosial dan penyalahgunaan dadah.
``Saya bawa Islam, sama ada dia (Mawi) hendak masuk Pas atau tidak itu terpulang kepada dia, bukan masalah, itu teknik sahaja,'' katanya.
Mengenai kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang membantah tindakan kerajaan negeri membawa Mawi mengadakan persembahan di Kelantan, Nik Abdul Aziz menyifatkan ia sebagai `serabut' dan mengelirukan.