Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Tiada kaitan politik - Mawi

Written By JOM JALAN on 21/09/05 | Rabu, September 21, 2005

Oleh ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Juara Akademi Fantasia (AF3), Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 24, hari ini mengakui secara terbuka bahawa persembahannya di Kota Bharu, Kelantan hujung bulan ini tiada sebarang kaitan dengan politik.

Sebaliknya beliau menjelaskan, undangan kerajaan negeri Kelantan itu diterimanya sebagai tanda terima kasih kepada peminat-peminatnya di negeri itu yang telah memberi sokongan selama ini.

Menurut Mawi, beliau juga sedia mempertimbangkan jemputan pihak-pihak lain tanpa mengira fahaman politik, asalkan program yang dianjurkan memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan muda.

``Saya nak ke Kelantan nanti tiada kaitan dengan mana-mana parti politik. Saya cuma nak balas jasa baik dan bertemu para penyokong di Kelantan yang telah mengundi saya dalam AF3 sebelum ini.

``Ini tanggungjawab saya, saya cari makan begini kerana sokongan peminat,'' katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di majlis jamuan makan tengah hari sebagai tanda terima kasih kerana menyertai pelancaran Putera UMNO negeri Kedah bulan lalu.

Semasa pelancaran di Kedah, Mawi turut menghiburkan orang ramai termasuk 20,000 anak muda yang menganggotai Putera UMNO.

Isu jemputan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas ke atas Mawi untuk mengadakan persembahan di Kota Bharu mendapat perhatian apabila mencetuskan perdebatan hangat di kalangan pemimpin kanan parti itu.

Mawi dijadualkan membuat persembahan di konsert Tautan Kasih pada 30 September dan 1 Oktober ini di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sempena pengisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Pada sidang akhbar tersebut, Mawi turut menafikan beliau menerima jemputan kerana terdapat ahli keluarganya menjadi ahli Pas dan menyifatkan sebagai fitnah.

Beliau turut menafikan dirinya menjadi mangsa politik kerana isu tersebut