Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Endon cekal hadapi sakit sehingga akhir hayat

Written By JOM JALAN on 20/10/05 | Khamis, Oktober 20, 2005

KUALA LUMPUR 20 Okt - Datin Seri Endon Mahmood, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pagi ini, tidak pernah mengaku kalah ketika bertarung dengan kanser payu dara yang dikesaninya sejak kematian kembarnya kerana penyakit serupa lebih tiga tahun lepas.

Malah ketabahan Allahyarham menjalani pelbagai rawatan, baik moden dan tradisional di dalam dan luar negara, telah memberi semangat kepada mereka yang menghidapi penyakit yang sama untuk terus cekal menghadapi dugaan.

Endon, 64, yang menyedari beliau menghidap barah payu dara selepas kembarnya, Noraini disahkan menghadapi penyakit itu pada tahun 2001, menghadapi keadaan getir itu dengan hati terbuka.

Noraini meninggal dunia dua tahun kemudian pada 4 Jan 2003.

Solat dan berdoa serta berfikiran positif telah membantunya bertahan dengan rawatan yang terpaksa beliau lalui.

Allahyarham pernah berkata, beliau tidak pernah berputus asa dan sedih apabila diberitahu oleh doktor mengenai penyakitnya itu sebaliknya berazam untuk sembuh.

Malah sokongan padu dan semangat yang kuat daripada keluarganya turut membantu meringankan beban yang ditanggung olehnya.

Kecekalan Endon menyembunyikan derita yang dialami akibat penyakit itu membolehkan beliau turun padang memberi sokongan padu kepada Abdullah semasa suaminya selaku Perdana Menteri pertama kali menerajui Barisan Nasional pada pilihan raya umum Mac 2004, sedangkan ketika itu beliau baru kembali daripada menjalani rawatan susulan sebulan di Amerika Syarikat.

Sebelum itu, pada 17 April 2002 Endon telah menjalani pembedahan membuang payu dara bersama noda-noda limfa dan otot-otot di ketiak berdekatan di St John's Medical Center, Los Angeles.

Beliau turut menjalani 33 sesi radiasi dan fisioterapi serta urutan limfa, iaitu rawatan yang sangat penting selepas pembedahan itu di hospital yang sama.

Selepas itu Endon terus menerima rawatan kemoterapi Abraxene dari semasa ke semasa di Amerika Syarikat, dan pulang ke tanah air 2 Okt lepas dengan harapan dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan rakyat.

Beliau kemudian dimasukkan ke Hospital Putrajaya untuk pemerhatian lanjut kerana keadaan fizikalnya masih lemah ekoran rawatan kemoterapi serta penerbangan yang lama dari Amerika Syarikat.

Selepas 15 hari di situ Endon dibawa pulang ke Seri Perdana untuk membolehkan anggota keluarga sentiasa mendampinginya.

Abdullah bersama ibu Endon, Datin Mariam Abdullah, kedua-dua orang anak dan menantu serta empat orang cucunya berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir pada 7.55 pagi tadi.

Endon, yang dilahirkan di sini pada 24 Dis 1940 dalam keluarga campuran Melayu-Jepun, menerima pendidikan awal di Sekolah Anglo Chinese yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Methodist, Kampar, Perak.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran peringkat menengahnya di St Mary's Secondary Girls' School di sini.

Endon mendirikan rumahtangga dengan Abdullah pada 1965 ketika masih berkhidmat sebagai seorang kakitangan kerajaan. Beliau bersara pilihan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1976.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak, Kamaluddin dan Nori.

Ketika hayatnya, Allahyarham paling aktif dalam kerja amal dan kemasyarakatan serta agresif dalam mempromosikan seni fabrik warisan negara termasuk batik dan kebaya nyonya.

Dipilih sebagai Tokoh Jarum Berlian Malaysia 2004 kerana daya usahanya memartabatkan seni warisan negara termasuk di persada antarabangsa, nama Endon begitu sinonim dengan kebaya nyonya, batik dan songket.

Walaupun dalam keadaan uzur, Allahyarham tetap meneruskan usahanya mempromosikan songket dan batik dan telah merancang untuk menganjurkan Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 2005 bagi mempromosikan batik Malaysia kepada dunia pada 8 Dis ini.

Minat terhadap hasil seni tangan rakyat tempatan yang bersemi di jiwanya sejak zaman remaja mendorong beliau mengumpul dan menganjurkan pameran pelbagai jenis busana.

Koleksinya kemudian dikumpul dan dirakamkan dalam sebuah buku berjudul "The Nyonya Kebaya" yang dihasilkan pada November 2002.

Ia disusuli pula dengan satu simposium dan pameran di Balai Seni Lukis Negara pada tahun 2003.

Buku itu telah diulang terbit pada Mac tahun ini dengan tajuk baru "A Century of Straits Chinese Costume".

Bagi memberi nafas baru kepada industri batik, Endon mempelopori Pertandingan "Pergerakan Malaysia Batik - Ciptaan Untuk Dunia", yang telah berjaya mencungkil bakat-bakat baru dalam menghasilkan fesyen pakaian bercorak batik yang kemudian dipromosikan di beberapa pameran fesyen luar negara.

Pertandingan untuk merebut Piala Seri Endon itu telah membuka era baru dalam industri batik Malaysia serta menghidupkan semula pemakaian batik, sekurang-kurangnya di kalangan kakitangan kerajaan.

Usahanya dalam mempromosikan seni tenunan tempatan telah mendapat perhatian kerajaan yang kemudian merancang untuk menubuhkan Muzium Tekstil tahun depan.

Muzium itu akan menjadi pusat rujukan dan kajian mengenai fabrik termasuk tenunan songket dan lukisan batik.

Di bidang lain, Allahyarham Endon merupakan pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Presiden Bakti dan Canselor Universiti Terbuka Malaysia.

Antara kerja-kerja amal yang diterajuinya untuk masyarakat sejagat ialah menjayakan projek seperti Tabung Bantuan Bosnia, Tabung Kanak-kanak Korea Utara dan Tabung Kebajikan Kosovo.

Allahyarham telah dianugerahkan Pingat Tun Fatimah oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) pada 24 Ogos tahun lepas.

Beliau juga dianugerahkan dengan pingat Darjah Seri Paduka Tuanku Jaafar (SPTJ) daripada kerajaan Negeri Sembilan yang membawa gelaran Datuk Seri pada 19 Julai lepas.

Universiti Teknologi Malaysia pula menganugerahkan beliau ijazah kehormat Doktor Kemanusiaan pada Ogos tahun lepas.

Pemergian Allahyarham setelah bertarung hebat dengan penyakit yang menjadi antara pembunuh utama wanita di negara ini, bukan saja ditangisi oleh sanak saudara, bahkan seluruh rakyat Malaysia.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau bersama roh orang yang soleh. - Bernama [UM]