Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Isteri PM Endon Mahmood meninggal dunia

Written By JOM JALAN on 20/10/05 | Khamis, Oktober 20, 2005




KUALA LUMPUR 20 Okt - Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Endon Mahmood meninggal dunia di kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya jam 7.55 pagi ini setelah beberapa tahun bertarung dengan kanser payu dara.

Allahyarham Endon, 64, menghembus nafas terakhir kira-kira 18 hari selepas kembali daripada menjalani rawatan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan orang ramai boleh menziarahi jenazah Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir di Seri Perdana mulai jam 11 pagi melalui pintu utama kediaman rasmi itu.

Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Masjid Putrajaya untuk disembahyangkan pada waktu Asar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Precint 20, Putrajaya.

Abdullah bersama-sama dua anaknya, Kamaluddin dan Nori, menantu Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin serta empat cucu, anak kepada Kamaluddin berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembus nafas terakhirnya.

Ibu Allahyarham, Datin Mariam Abdullah juga berada di sisinya.

Berita kematian Endon, ketika orang ramai hendak memulakan urusan harian, mengejutkan negara yang kemudiannya diselubungi dengan suasana duka cita.

Cuaca di Lembah Klang, termasuk di Putrajaya mendung seolah-olah turut merasai pemergian beliau ke rahmatullah.

Orang kenamaan, wakil-wakil negara asing mula menziarahi jenazah Allahyarham di Seri Perdana pada pukul 9.30 pagi.

Antara yang tiba awal ialah Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang kelihatan sibuk mengelolakan keadaan.

Ratusan orang ramai juga berduyun-duyun tiba untuk memberi penghormatan terakhir mereka.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan termasuk ketua setiausaha dan ketua pengarah yang berpejabat di Putrajaya juga turut bergegas ke Seri Perdana.

Orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum semakin ramai tiba di Seri Perdana menjelang waktu menziarah pada pukul 11 pagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Seri Perdana pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

Tidak lama kemudian Perdana Menteri keluar dengan berbaju Melayu biru serta bersampin bertemu dan bersalaman dengan para hadirin.

Abdullah kelihatan tenang, walaupun mata berlinangan ketika didakap beberapa hadirin.

Beliau kemudian dilihat berkata-kata dengan Najib dan juga Syed Hamid.

Menurut seorang pembantunya, Abdullah kelihatan tenang menerima kematian Endon malah sebaik sahaja isterinya menghembuskan nafas terakhir, Perdana Menteri terus mengatur urusan mengendalikan jenazah. - Bernama [UM]