Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Mawi tak menang tangan pada bulan Ramadan

Written By JOM JALAN on 16/10/05 | Ahad, Oktober 16, 2005

Oleh Zul Husni Abdul Hamid


SUMBANGAN: Mawi bersama Chee Loo Fun menyampaikan
sumbangan Maxis kepada anak yatim.


Silap jika ada yang berpendapat Ramadan membataskan aktiviti artis.


BINTANG Akademi Fantasia 3, Mawi, umpamanya terus diburu kesibukan. Satu demi satu aktiviti menantinya.

Kesibukan itu terus menanti Mawi sehingga 27 Ramadan, sebelum dia diberi pelepasan untuk bercuti menyambut kedatangan Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Itu pun cutinya tidak panjang.



Hanya 10 hari, namun andai keadaan memaksa, Mawi terpaksa memendekkan percutiannya kerana beberapa tawaran persembahan sudah sedia menanti selepas hari raya. Malah, jadual seninya sentiasa padat menjelang tahun baru.

Dalam kesibukan yang bertali arus, anak Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu begitu tenang menghadapinya. Simpati melihat Mawi.

Ketika berbuka, dia hanya sempat menjamah sedikit makanan.

Seterusnya, berderet menanti peminat yang ingin mengabadikan kenangan bersamanya. Itulah situasi yang dialaminya ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama Mawi di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, anjuran Hotlink, baru-baru ini.

“Saya terima ini sebagai rezeki. Juga sebagai dugaan untuk artis baru berdepan dengan cabaran bekerja di bulan puasa. Tidak apa, ini (dugaan) baru sedikit. Banyak lagi yang lebih besar menanti,” katanya apabila ditanya bagaimana menyesuaikan diri dengan suasana berbeza Ramadan tahun ini.

Rutin itu memberi sedikit cabaran, tambahan pula Ramadan menyediakan banyak ganjaran lumayan kepada mereka yang mengambil manfaat pada bulan mulia itu.

“Soal ibadah, biar hanya saya dan Tuhan saja yang tahu. Saya cuba seimbangkan. Memang rindu dengan suasana Ramadan yang dulu, tetapi saya sudah bersedia menghadapi keadaan ini. Doa saya diberi kekuatan untuk mengharunginya,” kata Mawi atau nama penuhnya, Asmawi Ani.

Lantaran waktu yang menghimpit, sedaya upaya penyanyi Aduh Saliha itu akan menyediakan ruang untuk berehat secukupnya.

Justeru, kebanyakan aktiviti membabitkannya disusun pada waktu petang.

“Saya memastikan tidur yang mencukupi, di samping mengambil vitamin sebagai makanan tambahan. Bimbang juga kepenatan boleh menjejaskan kualiti, tambahan pula saya kini sibuk dengan rakaman album penuh,” katanya.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, Mawi berkata, dia sudah menyiapkan diri untuk berdepan dengan jumlah kehadiran tetamu yang luar biasa.

“Raya tetap raya. Insya-Allah, saya akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga di Padang Felda Taib Andak,” katanya yang sudah pun menyediakan kelengkapan 1 Syawal untuk ibu bapa.

“Mereka tidak pernah minta apa-apa, cukup jika saya menghormati. Tetapi, sebagai anak, saya ingin melihat kebahagiaan mereka pada hari raya. Itu pun tidak cukup untuk membalas jasa mereka yang terlalu besar,” katanya lagi.

Pengalaman pertama di studio rakaman

TIDAK mudah! Itu ungkapan pertama Mawi apabila diajukan pertanyaan mengenai pengalaman di studio untuk menyiapkan album sulungnya. Aduh Saliha, sentuhan M Nasir adalah lagu pertama yang dirakamkan.

“M Nasir orangnya teliti. Selagi tidak berpuas hati, dia akan meminta saya mengulangi rakaman. Memang mencabar kerana saya mengambil masa 10 jam untuk memastikan Aduh Saliha sempurna,” katanya.

Begitu juga dengan lagu Kurnia Dunia ciptaan Ajai yang mengambil masa sehingga lapan jam untuk disiapkan.

“Beberapa versi lagu dirakamkan kerana penerbit mahukan yang terbaik untuk diberikan kepada peminat,” katanya.

Sehingga ini, Mawi sudah menyempurnakan rakaman lima lagu dalam album berkenaan. Dia merakamkan sentuhan Fauzi Marzuki dalam Kian dan Yasin menerusi Yang Hakiki. Baki tiga lagi lagu akan dirakamkan dalam masa terdekat.

“Album itu dijadualkan siap menjelang 21 Oktober ini dan akan berada di pasaran menjelang Aidilfitri,” katanya.

Sebelum itu, Mawi juga muncul dalam album kompilasi raya AF3 membawakan lagu Ku Pohon Restu Ayah Bonda serta Lagukan Irama Raya bersama bintang lelaki AF3.

Ingin bantu mangsa gempa di Asia Selatan

PENDERITAAN yang ditanggung mangsa gempa bumi di India dan Pakistan menjentik hati Mawi untuk bersama menggembleng bahu membantu. Menerusi pengurusannya, Maestro Records, mereka sedang berbincang dengan beberapa pihak bagi merealisasikan usaha itu.

“Inilah sumbangan saya dan berharap impian murni itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, pada acara berbuka puasa bersama Hotlink, Penasihat Media Maxis, Datuk Ahmad Talib dan Ketua Pemasaran Pra Bayar Maxis, Chee Loo Fun menyampaikan sumbangan duit raya dan cenderahati kepada 42 anak yatim.

Mereka terdiri daripada penghuni Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr Ismail, Asrama Darul Falah Perkim (ASDAF), Rumah Anak Yatim Asrama Damai dan Pertubuhan Anak Yatim Islam Daerah Sabak Bernam.

Mawi pula menghadiahkan posternya sebagai kenangan, selain menghiburkan hampir 800 tetamu dengan lagu seperti Pergi Tak Kembali, Intifada dan Nour El Ain.