Rakyat bersedih -- Kembalinya ke rahmatullah isteri PM, Endon Mahmood
Written By JOM JALAN on 21/10/05 | Jumaat, Oktober 21, 2005
ABDULLAH Ahmad Badawi menyiram air mawar ke pusara isterinya, Endon Mahmood di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di Putrajaya semalam. - Gambar AZMAN GHANI.
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Rakyat Malaysia bersedih atas kematian isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Endon Mahmood di Seri Perdana, Putrajaya pagi ini, setelah dengan sabar dan tabah bertarung dengan kanser payu dara sejak tiga tahun lalu.
Beliau berusia 64.
Kematian Endon pukul 7.50 pagi ini - kurang dua bulan selepas pasangan itu meraikan ulang tahun perkahwinan ke-40 - amat menyentuh perasaan semua pihak.
Abdullah-Endon disifatkan sebagai pasangan bahagia, ibarat isi dengan kuku, yang amat rapat dan jarang berpisah.
Suasana mendung dan disusuli gerimis di Lembah Klang, termasuk di Putrajaya seolah-olah turut merasai kehilangan wanita pertama negara itu.
Abdullah sering memanggil Endon sebagai ``Penyokong No.1''nya. Semasa ibunya meninggal dunia pada Februari tahun lalu, Abdullah menelefon Endon yang sedang menjalani rawatan di Los Angeles, Amerika Syarikat memberitahunya: ``Saya telah kehilangan seorang ibu dan saya tidak mahu kehilangan kamu pula.''
Namun Allah lebih menyayangi Endon. Abdullah kehilangan wanita yang paling disayangi - 10 hari sebelum genap dua tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima.
Dalam ketenangannya, Abdullah dilihat tidak berupaya menyembunyikan sebaknya. Air mata Abdullah berlinangan ketika didakapi beberapa hadirin.
Endon menghembuskan nafas terakhir di sisi Abdullah, dua anak mereka, Kamaluddin dan Nori, menantu Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin serta empat cucu. Ibu Allahyarham Datin Mariam Abdullah, berketurunan Jepun, juga berada di sisinya.
Allahyarham berkeadaan separuh sedar, tenang dan tidak berkata apa-apa semasa menghembuskan nafas terakhir, kata Kamaluddin kepada satu agensi berita.
Ribuan rakyat jelata daripada pelbagai kaum beratur panjang sejak 9 pagi untuk memasuki ke Seri Perdana bagi menatap buat kali terakhir wanita yang mereka kagumi itu. Kesayuan wajah-wajah mereka menggambarkan kedukaan.
Selain pembesar-pembesar negara dan rakan taulan, turut menziarahi ialah pembesar beberapa negara asing.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Putrajaya. Tiba di situ, azan Asar menyambut jenazah yang diusung perlahan-lahan ke ruang masjid, lalu disolatkan ratusan jemaah. Jenazah Endon dibawa ke Tanah Perkuburan Islam di Presint 20, Putrajaya dan selamat disemadikan pada pukul 5.30 petang.
Endon, atau lebih mesra dipanggil `Kak Endon' akan sentiasa diingati sebagai seorang wanita yang murah hati dan suka merendah diri.
Allahyarham mula dikesan menghidap barah payu dara pada 2003 setelah kakak kembarnya, Noraini meninggal dunia akibat penyakit itu pada tahun tersebut.
Sebagai pesakit kanser dan pejuang penyakit itu beliau pernah berkata: ``Seseorang pesakit kanser boleh diibaratkan sebagai `pemenang' kerana kekuatan, ketabahan dan semangat jitu mereka berjuang melawan penyakit tersebut.''