Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

MAWI terkejut

Written By JOM JALAN on 18/11/05 | Jumaat, November 18, 2005

Oleh Mohamad Hussin dan Samsudin Awang
GCISurf - Get Stability, Great Support, Excellent Benefits

KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi terkejut dengan tindakan sebahagian besar ahli jawatankuasa (AJK) Kelab Sahabat Mawi (Mawi FC), termasuk Presidennya, Mohd Nor Izam Musa, mahu meletakkan jawatan.

“Saya tergamam mendengar keputusan itu kerana saya dan AJK Mawi FC sudah mengadakan pertemuan bagi menjelaskan kekeruhan yang timbul antara saya dan mereka.

“Saya sudah berbincang dengan 20 AJK selepas pulang dari Kota Bharu minggu lalu untuk menjelaskan sebarang isu serta memohon maaf bagi pihak diri saya sendiri jika menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan warga Mawi FC,” katanya ketika ditemui di Kuantan.

Mawi ditemui selepas membuat persembahan di Istiadat Perbarisan Diraja Sempena Ulangtahun Keputeraan Ke-75 Sultan Pahang di Stadium Darulmakmur, pagi semalam.

Menurutnya, mereka memberi reaksi positif untuk berdamai bagi menyelesaikan pelbagai perbalahan dan isu yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, dua pertiga daripada AJK itu secara mengejut mengumumkan peletakan jawatan malam kelmarin.

Ketika mengulas kenyataan Mawi itu, Presiden Mawi FC, Mohd Nor Izam Musa mendakwa Mawi tidak jujur dan ikhlas terhadap Mawi FC.

“Kami sekadar ingin membantu membaiki kelemahan dirinya, bukan mengongkong.

Kami tidak ada niat untuk mencampuri segala urusan pihak Maestro (Talent & Management), cuma terkilan dan sedih kerana Mawi tidak berubah walaupun banyak kali ditegur,” kata Mohd Nor, yang mengambil keputusan untuk mengundur diri sebagai Presiden Mawi FC mulai 1 Disember depan.

Dia mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai itu dalam sidang media tergempar pada majlis pelancaran album sulung Mawi, di sini, malam kelmarin.

Mawi FC ditubuhkan peminatnya ketika Mawi menyertai AF3 selama tiga bulan bermula Jun lalu. Antara lain, fungsi kelab itu untuk memberi sokongan padu melalui undi SMS bagi membolehkan Mawi menjadi juara AF3.

Mawi seterusnya berkata, dia juga sedih dengan isu itu kerana keahlian Mawi FC sudah mencapai lebih 40,000 orang, sekali gus membuktikan sokongan peminat terhadap kariernya.

“Namun, saya tidak mahu masuk campur tangan kerana kelab ini ditubuhkan sendiri oleh peminat sebagai sokongan kepada saya. Justeru, terpulang kepada peminat untuk meneruskan kelab itu atau membubarkannya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada isu itu boleh menggugat sambutan orang ramai terhadap persembahannya seperti di Terengganu, 8 November lalu, dengan hanya kurang 2,000 penonton, Mawi berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran jumlah penonton bagi setiap persembahan.

“Bagi saya, apa lebih penting memberi persembahan terbaik serta memuaskan hati peminat, bukannya mengira jumlah penonton.

“Dalam konsert di Terengganu, saya yakin tiada pihak yang sabotaj. Mungkin penganjur tidak mempergiatkan promosi atau penetapan masa yang tidak bersesuaian dengan keselesaan penonton untuk hadir,” katanya. [Metro]