Allahyarham Ghafar diberi penghormatan negara
Written By JOM JALAN on 24/04/06 | Isnin, April 24, 2006
KUALA LUMPUR 23 April - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba selamat disemadikan sebagai seorang negarawan di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini hari ini.
Allahyarham merupakan pemimpin negara yang keempat disemadikan di kawasan kubah Makam Pahlawan tersebut yang turut menempatkan Perdana Menteri kedua dan ketiga, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn serta Timbalan Perdana Menteri kedua, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.
Ghafar meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan (GIMC) di sini, pada pukul 7.35 pagi kerana komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang.
Allahyarham berusia 81 tahun.
Anak kedua Allahyarham, Tamrin berkata, semua anggota keluarga terdekat berada di sisi bapanya, ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa pulang dengan van Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke rumahnya di No. 15, Lorong Bukit Pantai 5, Bangsar di sini, sebelum dibawa ke Masjid Negara.
Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara pada pukul 2.10 petang dengan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sejurus tiba, keranda jenazah yang bersalut Jalur Gemilang dan diusung 10 pegawai tentera dan polis, ditempatkan di tengah dewan syarahan utama Masjid Negara.
Ketibaan jenazah turut diiringi oleh ahli keluarga Ghafar dan bekas isterinya, D. Heryati Abdul Rahim. Hadir sama orang-orang kenamaan terdiri daripada menteri-menteri Kabinet dan ahli-ahli politik.
Sejurus setelah jenazah diletakkan di dewan utama, kelihatan Perdana Menteri membaca doa untuk Allahyarham selepas memanggil ahli keluarga Ghafar turut serta.
Selepas bacaan doa, Abdullah bersalaman dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Ghafar.
Tepat pada pukul 2.30 petang, orang awam yang berkumpul di pekarangan Masjid Negara mula berbaris panjang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ghafar.
Ini diikuti oleh golongan pemimpin dan kenamaan termasuk menteri Kabinet, tokoh politik, ahli korporat dan profesional kira-kira sejam kemudian.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke dewan utama sembahyang, untuk disembahyangkan selepas solat Asar.
Upacara sembahyang jenazah itu diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria.
Suasana pilu semakin terasa sebaik sahaja jenazah Allahyarham diusung ke Makam Pahlawan untuk disemadikan dengan penuh penghormatan negara.
Sekali lagi, Kamaruddin mengetuai pembacaan talkin, manakala pembacaan doa diketuai oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Halim Wan Harun.
Cuaca yang pada mulanya cerah, bertukar mendung pada sebelah petang, diikuti dengan hujan renyai-renyai seolah-olah turut menangisi pemergian tokoh yang banyak berjasa itu.
Bacaan talkin dan doa yang mengingatkan manusia tentang kematian dan kebesaran Allah, menambahkan lagi suasana hiba dan sayu di kawasan makam.
Perdana Menteri selepas itu mengetuai majlis menyiram air mawar ke atas pusara Allahyarham Ghafar.
Ini diikuti oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum itu menziarah jenazah Allahyarham di kediamannya di Bangsar.
Kemudiannya, diikuti oleh anak-anak dan ahli keluarga terdekat Allahyarham.
Majlis penghormatan ke atas Allahyarham Ghafar berakhir kira-kira pukul 5.40 petang.
Pemergian Allahyarham itu menyaksikan negara kehilangan seorang lagi pemimpin berwibawa dan tidak jemu-jemu mencurahkan khidmat kepada rakyat dan tanah air. [UM]