Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Perginya seorang pejuang

Written By JOM JALAN on 24/04/06 | Isnin, April 24, 2006

PILU...Tamrin menyiram pusara Allahyarham bapanya, Tun Ghafar Baba sambil disaksikan oleh anggota keluarga dan kenamaan termasuk Abdullah Ahmad Badawi, Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Oleh: ZULKIFLI JALIL

KUALA LUMPUR 23 April - Negara hari ini meratapi pemergian seorang pemimpin yang menghabiskan hampir seluruh kehidupannya kepada perjuangan bangsa dan negara.

Kembalinya ke rahmatullah Tun Ghafar Baba, 81, di Pusat Perubatan Gleneagles Intan (GIMC) selepas 90 hari terlantar akibat komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang bermakna negara kehilangan seorang pejuang yang bersikap sederhana.

Jalur Gemilang pada keranda Allahyarham serta penghormatan negara yang diberikan kepadanya merupakan pengiktirafan untuk negarawan yang banyak berjasa.

Ghafar yang disemadikan bersama tokoh negara lain di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini meninggalkan catatan sejarah bukan sedikit dalam perkembangan politik dan pembangunan negara ini.

Allahyarham bukan sekadar pejuang kemerdekaan tetapi juga pengisi kepada kemerdekaan itu sendiri melalui sumbangannya dalam penubuhan dan menggerakkan agensi-agensi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Titisan air mata rakan-rakan seperjuangan termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam yang berasa sebak dengan pemergian Allahyarham jelas menunjukkan betapa mereka akan merasai kehilangan seorang pemimpin yang serba sederhana dalam pelbagai perkara.

Kepiluan ini turut dirasai oleh rakan-rakan yang pernah bersama-sama dengan Allahyarham seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Allahyarham mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negaranya, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun.

Dari situlah bermulanya perjuangan Ghafar untuk menuntut kemerdekaan dan kemudiannya mengisi kemerdekaan dengan pelbagai sumbangan kepada parti dan negara.

Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik Allahyarham semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan menjadi Naib Presiden UMNO.

Sikap kesederhanaan dan bijak berdiplomasi telah membolehkan Ghafar yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986 menangani apa juga masalah sama ada politik atau pentadbiran negara secara tenang.

Sebagai seorang pejuang, Ghafar tidak pernah mengenal erti kekecewaan, apatah kemewahan.

Walaupun sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri, kehidupan dan perwatakan Ghafar tidak pernah berubah.

Justeru ia bukanlah suatu yang luar biasa apabila Ghafar yang raut wajah serius tetapi mudah didampingi ini bekerja di bawah empat Perdana Menteri.

Allahyarham pernah melaungkan kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman, berjuang meningkat taraf hidup orang Melayu terutama di kawasan luar bandar di bawah Tun Abdul Razak dan berganding bahu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadapi krisis politik dan pentadbiran negara.

Walaupun tidak berada dalam Kabinet hampir 10 tahun mulai 1976 namun keringat dan bakti Ghafar kepada parti dan negara tidak pernah `kering'.

Ketokohan dan kewibawaan Allahyarham sebagai seorang pejuang yang tidak mengenal erti putus asa terserlah apabila Allahyarham dipilih menjadi Presiden de facto MCA pada tahun 1985.

Kesederhanaan serta jiwanya yang lembut tetapi tegas telah memungkinkan Dr. Mahathir memilih Allahyarham menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986.

Sejak itu, sumbangan Ghafar kepada parti dan negara semakin memuncak, ini termasuklah merealisasikan penubuhan UMNO di Sabah.

Walaupun berundur secara sukarela pada tahun 1993 ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, ia bukanlah satu langkah `orang yang kecewa'.

Ghafar berundur demi menjaga kestabilan dan perpaduan parti, itu lebih penting daripada segala-galanya bagi Allahyarham.

Pemimpin dan ahli UMNO sudah pasti mengenang jasa Ghafar yang berjuang menghidupkan semula UMNO selepas diharamkan oleh Mahkamah Tinggi pada 1988 ekoran perpecahan akibat perebutan jawatan tertinggi parti pada Perhimpunan Agung UMNO 1987. UMNO pulih dan kembali stabil seperti hari ini antaranya juga disebabkan oleh perjuangan Ghafar tanpa mengira masa atau tenaga.

Ironinya, Ghafar disenangi kawan dan lawan politiknya sama ada dalam UMNO mahupun pembangkang.

Justeru tidak hairanlah, semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik mengunjungi rumah Allahyarham sejak awal pagi lagi bagi memberi penghormatan terakhir.

Ghafar dikenali sebagai suara yang sentiasa peka dalam menyampaikan pandangan rakyat biasa dan rakyat bawahan ke peringkat atasan.

Bukan sekadar kerjaya politik. Allahyarham juga diingati kerana usahanya dalam memartabatkan ekonomi orang Melayu.

Antara sumbangan terbesar Ghafar ialah menubuhkan Amanah Saham Mara yang memperkenalkan orang Melayu kepada institusi pasaran saham dalam merubah tahap kehidupan mereka.

Kepada parti-parti komponen BN, mereka kehilangan seorang tokoh yang telah memperlihatkan kematangan serta sentiasa menyampaikan suara perimbangan dalam perkara-perkara menyentuh isu sensitif berkaitan agama, kaum, budaya dan bahasa.

Dan ungkapan Allahyarham `walaupun sudah menjadi pemimpin, kita jangan lupa asal usul kita, akar umbi kita' pastinya tidak akan dilupakan. Ghafar adalah seorang pemimpin dan pejuang yang sukar dicari ganti.

Sepertimana hujan renyai-renyai sebaik sahaja pengkebumiannya selesai kira-kira pukul 5.40 petang, begitulah juga jasa yang ditinggalkan oleh Allahyarham, ia akan terus `menyirami' negara ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. [UM]