JOHOR BAHRU 2 Julai - Jenazah bapa penyanyi popular Mawi, Allahyarham Ani Ahmad, 66, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak dengan dihadiri oleh kira-kira 200 penduduk, jiran sekampung dan saudara-mara penyanyi tersebut di Kulai, dekat sini hari ini.
Jenazah tiba di rumah keluarga angkat Mawi bersebelahan rumah asal keluarganya yang kini dalam proses pembinaan, kira-kira pukul 4 pagi ini.
Kira-kira pukul 7 pagi, penduduk kampung, sanak saudara serta segelintir peminat Mawi mula menziarahi jenazah Allahyarham Ani atau nama gelarannya Pak Atan untuk memberikan penghormatan terakhir.
Mawi yang kelihatan tenang dengan pemergian bapanya itu, menyambut ketibaan tetamu yang datang untuk menziarahi Allahyarham Ani.
Allahyarham yang meninggal dunia kira-kira pukul 9.55 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, akibat komplikasi jantung, dibawa keluar kira-kira pukul 12 tengah malam menuju ke rumah keluarga Mawi di Felda Taib Andak, di sini.
Mawi atau Hasmawi Ani, 23, yang berada di Johor Bahru selepas membuat persembahan di Danga Bay sempena pelancaran Bulan Citarasa Malaysia menerima panggilan mengenai kematian itu kira-kira pukul 10.15 malam semalam dan bergegas pulang ke rumahnya.
Pada pukul 9.40 pagi ini kenderaan jenazah tiba di perkarangan rumah tersebut untuk membawa jenazah ke Masjid Jamek Nurussa‘adah untuk disembahyangkan.
Mawi yang setia berada di sisi bapanya itu turut mengiringi jenazah sehingga ke dalam kenderaan tersebut sambil diikuti oleh beberapa saudara serta jiran kampung.
Selepas disembahyangkan kira-kira pukul 10.20 pagi, jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak di sini untuk dikebumikan.
Allahyarham selamat disemadikan pada pukul 10.35 pagi dan bacaan talkin disampaikan oleh imam dua masjid jamek berkenaan, Mohamed Hanafi Mohd.
Selepas pengkebumian itu, bapa bekas tunang Mawi, Nur Diana iaitu Md. Naim Samijan turut menziarah pusara bapa Mawi bersama rakan-rakannya.
Pegawai Eksekutif Maestro Talent Management Sdn. Bhd., Freddie Fernandez, Penyampai Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Melaka, Isma Halil Hamzah serta kenalan rapat Mawi dan keluarganya turut menziarahi keluarga Mawi.
Mawi ketika ditemui berkata, beliau redha dengan pemergian bapanya setelah menjalani rawatan penyakit jantung di IJN kira-kira dua bulan.
Mengenai langkah seterusnya selepas kematian bapanya, Mawi berkata, buat sementara waktu beliau terpaksa menghentikan aktivitinya dan akan berada di kampung kira-kira seminggu untuk menemani ibu dan ahli keluarganya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana menziarahi jenazah bapanya dan membantu urusan pengkebumian. [Utusan]