Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Rasa kosong selepas kehilangan bapa - Mawi

Written By JOM JALAN on 3/07/06 | Isnin, Julai 03, 2006

MAWI menyiram air ke atas pusara bapanya, Allahyarham Ani Ahmad di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai, semalam.

KULAI 2 Julai - Juara Akademi Fantasi 3, Asmawi Ani merasa dirinya kosong berikutan kembalinya ke rahmatullah bapa beliau, Ani Ahmad di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam.

Ani, 66, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi IJN pada pukul 9.55 malam tadi selepas bertarung dengan komplikasi jantung selama dua bulan.

‘‘Saya merupakan antara anak yang paling rapat dengan Allahyarham. Terdapat perasaan kosong, kehilangan dalam diri saya kerana saya selalu bergurau dengan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Taib Andak di sini hari ini, sebelum majlis pengkebumian jenazah bapanya.

Kira-kira 2,000 pengunjung turut mengiring jenazah Ani yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak pada kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Ujian

Mawi berkata, walaupun sedih dengan kematian bapanya tetapi beliau redha dengan ketentuan Ilahi bahawa setiap yang hidup akan menemui ajal dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah satu ujian terhadapnya dan keluarga.

‘‘Ini merupakan suatu ujian, kita perlu banyak bersabar kerana apa yang telah terjadi itu telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Apa yang boleh saya buat adalah meneruskan kehidupan,” katanya.

Artis itu berkata, beliau akan berehat daripada menghadiri atur cara nyanyiannya antara satu dan dua minggu untuk menenangkan fikiran serta bersama-sama keluarga di rumahnya di Felda Taib Andak.

Bapa penyanyi terkenal yang kini dilanda kontroversi berikutan keputusan untuk memutuskan pertunangannya, mula dimasukkan ke IJN sejak dua bulan lepas dan menjalani pembedahan jantung tidak lama selepas itu.

Mengenai kontroversi yang menyelubungi beliau dan tunangnya Nor Diana Mohd Naim, Mawi berkata beliau tidak mahu mengulas lanjut dan menyerahkan kepada keluarga untuk menentukannya.

Mawi tidak berada di sisi bapanya ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi kerana menghadiri acara perasmian Bulan Citrarasa anjuran Kementerian Pelancongan di Danga Bay, Johor Bahru.

Beliau bergegas ke IJN selepas diberitahu tentang keadaan bapanya.

Bernama/UM