ORANG ramai meletakkan jambangan bunga di hadapan Zoo Australia milik Steve Irwin di Beerwah, Queenslands, semalam berikutan kematiannya akibat disengat pari. – Reuters.
LONDON 5 Sept. – Pakar hidupan liar terkemuka, David Bellamy, menyifatkan kematian ‘Crocodile Hunter’, Steve Irwin sebagai satu kehilangan besar kepada dunia.
Beliau yang sedih dengan pemergian Irwin berkata, Irwin tidak akan mati dengan tenang di atas katilnya.
“Saya sangat sedih apabila mendengar berita ini.
“Mengapa ini terjadi kepada seorang lelaki yang penting dan berbakat?
“Dia pergi terlalu awal,’’ katanya.
Irwin, 44, meninggal dunia semalam akibat tertusuk duri ikan pari di jantungnya ketika sedang membuat penggambaran dokumentari di Batt Reef, berhampiran Low Isles, kira-kira 32 batu nautika dari Port Douglas, di utara Queensland.
Ikan pari selebar lima kaki yang biasanya tenang itu, tiba-tiba menyerang dan mencucuk Irwin di bahagian jantung dengan menggunakan ekornya yang mengandungi duri berbisa.
Berikutan serangan itu, Irwin, bapa kepada dua anak, mati di tempat kejadian.
Pencinta alam semula jadi itu terkenal di seluruh dunia kerana keberaniannya melompat ke belakang buaya liar dan kebolehannya menangkap ular berbisa.
Walaupun Irwin berpengalaman dalam menjinakkan haiwan liar, jutaan peminat beliau sebenarnya bimbang Irwin mungkin diserang buaya ketika mengendalikan binatang ganas tersebut.
Irwin merupakan individu keempat yang mati akibat sengatan ikan pari di Australia.
Beribu-ribu warga Australia yang terkejut dengan kematian Irwin tidak melepaskan peluang melawat zoo Irwin di Beerwah, Queensland.
Perdana Menteri Australia, John Howard turut mengumumkan berita kematian itu di Parlimen.
“Kematian Irwin merupakan kehilangan yang besar kepada Australia.
“Tiada sesiapa dapat menggantikannya,’’ kata Howard.
– Agensi