Oleh Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah
KUALA LUMPUR 25 Julai – ‘’Letih sangat rasanya, lepas ni aku nak rehat panjang,’’ begitulah luahan terakhir Allahyarham Hani Mohsin Hanafi kepada rakan karibnya, Abdul Halem Mat Som, 40, ketika sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran kepunyaan selebriti Linda Onn, di Ampang Point, Ampang, semalam.
Abdul Halem, yang bertugas sebagai Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkata, sepanjang pertemuan mereka tengah hari itu, Allahyarham berulang kali mengadu keletihan akibat sibuk dengan penggambaran drama.
“Mungkin inilah yang Allahyarham maksudkan dengan ‘rehat yang panjang’. Ketika itu, saya tidaklah ambil berat luahan Allahyarham sebab dia memang bercadang mahu bercuti dengan anaknya, Hani Karmila ke Langkawi,’’ katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham Hani Mohsin di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini hari ini.
Menurut Abdul Halem, dia pada mulanya tidak percaya apabila mendapat tahu kematian Allahyarham hari ini kerana baru semalam mereka bergurau serta bergelak ketawa.
Katanya, ketika bertemu Allahyarham semalam, beliau perasan riak wajah Allahyarham agak berbeza berbanding sebelum ini.
“Semalam, saya lihat wajah Allahyarham agak berseri-seri. Saya katakan padanya, mengapa wajahnya nampak berseri-seri, tetapi beliau hanya tersenyum,’’ ujarnya. [UM]