Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Pelakon tertikam diri sendiri

Written By JOM JALAN on 30/01/07 | Selasa, Januari 30, 2007

Oleh Syed Mohd. Ridzuwan Syed Ismail

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Pelakon sebuah drama bersiri televisyen, Intan Shafina Ahmad, 27, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman pada perut di kediamannya di Kondominium Dataran Prima di sini, hari ini.

Intan Shafina yang merupakan pendatang baru dunia lakonan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini sebaik dikejarkan ke pusat perubatan itu kira-kira pukul 3 pagi ini.

Mangsa yang berasal dari Johor menerima beberapa jahitan pada bahagian perut ekoran kecederaan yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mazlan Mansur berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan selama sejam.

‘‘Polis akan mengambil keterangan daripada beliau selepas keadaannya betul-betul sembuh,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mazlan, polis juga akan mengambil keterangan daripada lelaki warga asing yang menemui pelakon itu selain teman lelaki mangsa.

‘‘Kita akan mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan kes ini sama ada kecederaan mangsa berlaku akibat pergelutan,’’ katanya.

Pada masa yang sama, katanya, polis juga sedang menunggu laporan doktor bagi menentukan punca kecederaan mangsa.

‘‘Pada peringkat ini, kes ini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,’’ katanya.

Sementara itu, Intan Shafina ketika ditemui berkata, beliau tertikam diri sendiri dengan objek tajam ketika berlaku perselisihan faham dengan seorang teman.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas dan beliau sendiri tidak menyangka perselisihan faham yang berlaku di antara beliau dan teman lelakinya menimbulkan padah sedemikian rupa.

‘‘Doktor yang merawat memberitahu saya akan ditahan selama empat hari bagi melihat kesan kecederaan yang saya alami,’’ katanya ketika ditemui di PPUM.

Menurut Intan Shafina, beliau sedih dengan khabar angin yang mengatakan dia cuba mencederakan dirinya sendiri.

‘‘Apa yang berlaku adalah secara tidak sengaja dan cerita yang mengatakan saya cuba mencederakan diri saya adalah tidak benar,’’ katanya. [UM]