BAGHDAD 15 Jan. – Adik lelaki Saddam Hussein, Barzan Ibrahim Al-Tikriti dan bekas Ketua Hakim Mahkamah Revolusi, Awad Ahmed Al-Bandar menjalani hukuman gantung sebelum subuh hari ini.
Kerajaan Iraq ketika mengumumkan pelaksanaan hukuman itu turut mendedahkan kepala Barzan tercabut daripada tubuhnya semasa dia digantung.
Jurucakap kerajaan, Ali Al-Dabbagh bagaimanapun memberitahu sidang media di sini bahawa tiada prosedur yang dicabuli.
Beliau dipercayai menyedari bantahan antarabangsa yang tercetus selepas Saddam menjalani hukuman gantung dalam suasana kecoh 16 hari lalu.
“Pesalah tidak mengalami sebarang bentuk penderaan,” katanya sambil menyifatkan insiden kepala Barzan tercabut sebagai satu kemalangan yang jarang-jarang berlaku.
“Hak-hak mereka tidak dicabuli. Tiada sesiapa yang melaung-laungkan slogan atau cemuhan,” katanya.
Seorang penasihat kerajaan, Bassam Al-Husseini menyifatkan kerosakan pada mayat Barzan sebagai ‘kehendak Allah’.
Namun begitu apa yang berlaku pada mayatnya dijangka mencetuskan kritikan terhadap pelaksanaan hukuman tersebut.
Algojo mengukur panjang tali gantung yang diperlukan mengikut berat badan pesalah.
Tali itu sepatutnya cukup panjang untuk memastikan tengkuk pesalah patah tetapi tidak terlalu panjang sehingga menyebabkan kepalanya tercabut.
Hukuman gantung itu dijalankan pada pukul 3 pagi (8 pagi waktu Malaysia), kata Ali.
Kerajaan Perdana Menteri, Nuri Al-Maliki cuba menyembunyikan pelaksanaan hukuman itu daripada media selama beberapa jam tetapi akhirnya maklumat mengenainya bocor.
Seorang peguam Awad, Badia Aref berkata, keluarganya telah dimaklumkan oleh tentera AS supaya membuat persiapan untuk mengambil mayat beliau.
Anak perempuan Barzan memberitahu televisyen Al-Arabiya, dia belum diberitahu mengenai kematian bapanya.
Pegawai tempatan berkata, Barzan, 55, akan dikebumikan berhampiran pusara Saddam di kampung kelahirannya, Awja, dekat bandar Tikrit di utara Iraq.
Barzan yang juga bekas ketua perisikan Iraq adalah adik kepada Saddam tetapi berlainan bapa dan Awad, 61, didapati bersalah bersama-sama Presiden Saddam itu atas tuduhan membunuh 148 penduduk Syiah berikutan percubaan untuk membunuh bekas Presiden itu di pekan Dujail, ke utara Baghdad pada 1982.
“Mereka (kerajaan) memanggil kami sebelum subuh dan mengarahkan kami menghantar wakil. Saya menghantar seorang hakim untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman gantung dan ia dijalankan,” kata Pendakwa Raya Iraq, Munqith Al-Faroon awal hari ini.
Hukuman mati itu dilaporkan dilaksanakan di lokasi yang sama Saddam digantung dua hari sebelum tahun 2006 berakhir, iaitu sebuah bangunan markas perisikan tentera zaman Saddam di utara Baghdad
– Agensi/UM