KOTA TINGGI 5 Sept. – Kepulangan wanita kelahiran Johor yang sudah 64 tahun berada di Korea Selatan, Mariam Johari, 86, disambut dengan penuh meriah di rumah anaknya di Taman Kota Jaya di sini, hari ini.
Mariam yang tiba pada pukul 3.40 petang di kediaman anak lelakinya, Jelani Sonni, 70, disambut dengan paluan kompang, bunga manggar dan persembahan silat.
Beliau yang kelihatan ceria dengan majlis sambutan yang dihadiri oleh 200 orang itu dijamu dengan pelbagai hidangan istimewa termasuk kuih-muih dan buah-buahan tempatan.
Mariam kemudiannya dilihat menjamah kuih seri muka dan puding jagung serta merasa buah pulasan, durian dan jambu air.
Ditanya pihak media mengenai kepulangannya, Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae memberitahu, beliau begitu gembira dengan sambutan yang diberikan dan bercadang untuk tinggal di sini lebih kurang seminggu.
“Saya gembira dapat pulang ke Johor dan perkara yang ingin saya lakukan ialah menziarahi kubur ayah.
“Dahulu, selepas tinggal di Korea selama kira-kira 40 hari saya pernah cuba menghubungi keluarga di Plentong melalui dua pucuk surat, bagaimanapun kedua-dua surat itu tidak dibalas,” katanya melalui jurubahasa, Carl Lim.
Mariam ketika diminta bercakap dalam bahasa Malaysia kemudiannya menunjukkan kebolehannya mengira satu hingga sepuluh diikuti dengan tepukan oleh orang ramai yang mendengar temu bual itu.
Beliau ditemani oleh anak tirinya, Ji Yong Un, 56; isteri Ji, Shin Sook Hyun, 56, dan anak mereka, Ji Dong Uk.
Sementara itu, cucu Mariam, Ahmad Onn yang menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam berkata, sepanjang perjalanan dari Hotel Marriot Putrajaya ke Kota Tinggi, Mariam enggan melelapkan mata walau sesaat kerana ingin menikmati pemandangan sepanjang perjalanan itu.
Mariam dilaporkan memasuki Korea pada 10 Mei 1946 iaitu kira-kira sembilan bulan selepas tamat Perang Dunia Kedua. Beliau kemudiannya terkandas kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk kembali ke Malaysia.
Pada 18 Julai lalu, iaitu selepas 64 tahun terpisah, Mariam akhirnya dipertemukan dengan keluarganya dalam program The Way Home untuk rancangan Love in Asia yang dikendalikan Korean Broadcasting System (KBS).