Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Indonesia akui kita telus

Written By JOM JALAN on 12/01/08 | Sabtu, Januari 12, 2008

PUTRAJAYA 11 Jan. – Indonesia mengakui telah banyak kemajuan yang dilakukan oleh Malaysia dalam memberi perlindungan dan layanan terhadap pekerja dari republik itu di negara ini.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, kerajaan Malaysia telah melaksanakan langkah-langkah yang bertanggungjawab dan telus dalam menangani masalah tenaga kerja Indonesia.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk rakyat Indonesia di republik itu supaya mengelak perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham di antara kedua-dua negara khususnya berkaitan pekerja Indonesia di Malaysia.

‘‘Semangat kami tetap sama bahawa mereka (pekerja Indonesia di Malaysia) harus mendapat perlindungan dan layanan yang baik dan apabila ada masalah hukum (undang-undang) ditegakkan dan keadilan betul-betul dijalankan dengan baik,” katanya.

Susilo berkata demikian pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan pertemuan tertutup dan mesyuarat delegasi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Susilo berkata, pada pertemuan itu, Abdullah telah menerangkan satu persatu perkembangan 17 kes berkaitan warga Indonesia yang mendapat perhatian umum termasuk kes pembantu rumah Nirmala Bonat.

‘‘Saya senang (kerana) ada penjelasan 17 kes yang utama berkaitan masalah perundangan yang menimpa pekerja Indonesia. Malah, semalam saya juga telah bertemu Nirmala Bonat dan saya dapatkan penjelasan langkah berikutnya lagi. Ini satu kemajuan,” katanya.

Mengulas pengambilan pekerja dari republik itu, beliau berharap polisi dan mekanisme sedia ada diperkemaskan lagi pada masa akan datang supaya kehadiran mereka bukan saja memberi manfaat kepada Malaysia tetapi juga Indonesia.

Katanya, mekanisme yang diguna pakai hari ini sudah mencapai tahap kemajuan yang diharapkan tetapi ia perlu diperbaiki lagi.

“Sekarang sudah maju tetapi kita berharap lebih mapan lagi sehingga kehadiran pekerja Indonesia membawa manfaat bagi Malaysia dan tentunya bagi Indonesia sendiri,” katanya.

Susilo turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menerima kehadiran pekerja Indonesia yang turut memberi sumbangan kepada pembangunan di negara ini.

“Jika kedua-kedua kerajaan melakukan kawal selia yang baik, perlindungan yang baik, dengan demikian manfaat kedua-dua negara dapat dicapai,” katanya.

Mengenai isu-isu dua hala, beliau berkata, kedua-dua pihak telah membincangkannya secara mendalam seperti masalah sempadan wilayah Indonesia dan Malaysia di mana persetujuan telah dicapai untuk mengaktifkan lagi kumpulan perundingan supaya masalah itu dapat diselesaikan segera.

Katanya, usaha untuk meningkatkan keamanan di Selat Melaka dan kerjasama dalam bidang pertahanan di antara kedua-dua negara turut dibincangkan.




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. Dia kini bekerjasama dengan Zubli Zainordin pengasas Sains dan Seni Jaya Diri, pengarang blog Total Happiness dan pengelola Book Project blog.