Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Patuhi undang-undang Malaysia – Susilo

Written By JOM JALAN on 12/01/08 | Sabtu, Januari 12, 2008

Oleh: HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Presiden Susilo Bambang Yudhoyono meminta 1.2 juta pekerja Indonesia di negara ini tidak melanggar undang- undang Malaysia terutama peraturan- peraturan imigresen.

Susilo menegaskan, sekiranya ada pekerja Indonesia yang melanggar undang-undang, mereka perlu dihadapkan ke mahkamah selaras dengan proses keadilan di negara ini.

‘‘Marilah kita jangan ada masalah undang-undang. Kalau berhadapan dengan masalah tersebut, tanya kepada pegawai-pegawai Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini kerana pemerintah amat mengambil berat terhadap kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 1,500 pekerja Indonesia yang berurusan di kaunter pembaharuan pasport di Kedutaan Besar Indonesia di sini petang ini.

Sebelum itu, Susilo dan isteri, Ani Bambang Yudhoyono yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Malaysia menerima taklimat daripada Pemangku Duta Besar Indonesia, Tatang B. Razak mengenai kebajikan rakyat Indonesia di negara ini.

Susilo kemudian melawat kaunter pembaharuan pasport kedutaan besar itu yang telah dinaik taraf daripada lapan kaunter kepada 26 kaunter.

Kemudahan itu mampu memproses pembaharuan pasport dalam tempoh tiga jam berbanding 41 hari sebelum ini.

Susilo tiba ke Malaysia semalam untuk menghadiri rundingan tahunan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang diiringi isteri mengetuai delegasi 150 anggota yang antaranya terdiri daripada menteri-menteri Kabinet serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Susilo memberitahu, lawatannya ke Malaysia kali ini secara spesifik mahu meminta kerajaan negara ini memberi perlindungan undang-undang sepenuhnya kepada pekerja Indonesia

Presiden itu menyatakan rasa gembira kerana kehadiran pekerja-pekerja Indonesia diterima dengan baik dan majikan-majikan di negara ini juga bersedia menerima pekerja republik itu kerana mereka bekerja dengan baik.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat Indonesia mempertahankan kepercayaan majikan-majikan itu dan jangan menjejaskan persefahaman yang telah dicapai dengan kerajaan Malaysia.

‘‘Kita perlu berterima kasih kepada Malaysia kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Indonesia.

“Saya percaya Malaysia juga berterima kasih kepada pekerja Indonesia atas sumbangannya terhadap pembangunan negara ini,’’ katanya.

Presiden Indonesia itu memberitahu, sekiranya pekerja Indonesia berhadapan dengan masalah, ia perlu diselesaikan dengan adil.

‘‘Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai kedutaan agar melindungi dan memberi perkhidmatan sebaik-baiknya kepada pekerja-pekerja Indonesia di negara ini,’’ kata beliau.



Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. Dia kini bekerjasama dengan Zubli Zainordin pengasas Sains dan Seni Jaya Diri, pengarang blog Total Happiness dan pengelola Book Project blog.