Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

PM: Hubungan erat bawa pengaruh positif

Written By JOM JALAN on 12/01/08 | Sabtu, Januari 12, 2008

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap hubungan erat Malaysia dan Indonesia membawa pengaruh besar yang positif bukan sahaja kepada penduduk kedua-dua negara, malah seluruh rantau ini.

Perdana Menteri turut menyifatkan hubungan yang sedia terjalin antara Kuala Lumpur dan Jakarta sebagai sangat strategik dalam semua aspek.

Katanya, hubungan erat itu dapat dibuktikan melalui perbincangan beliau dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sama ada melalui pertemuan empat mata ataupun bilateral.

‘‘Adalah menjadi harapan semua pihak supaya hubungan Malaysia dan Indonesia bertambah erat dan terus memberi makna besar selain membawa manfaat serta kebaikan kepada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam selepas menyaksikan Konsert Setiakawan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-Indonesia di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini malam ini.

Konsert tersebut turut dihadiri oleh isteri kedua-dua pemimpin itu, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Ani Bambang Yudhoyono.

Abdullah turut melahirkan penghargaan kepada Susilo yang telah memberikan pelbagai pandangan yang menyumbang kepada kejayaan perbincangan dalam pertemuan antara mereka berdua di Putrajaya pagi ini.

‘‘Saya sangat-sangat merasai signifikan eratnya hubungan (Malaysia-Indonesia) kerana kita bermula pada tahun baru Hijrah. Mudah-mudahan ia menjadi penanda penting nilai kerjasama kita bangsa serumpun,” katanya.

Sementara itu, Susilo dalam ucapan balasnya bersependapat dengan Abdullah tentang pentingnya hubungan strategik antara dua bangsa itu terus dijalin.

Malah, beliau berharap melalui hubungan erat itu kedua-dua bangsa dapat melangkah lebih maju untuk masa depan yang lebih baik.

‘‘Mudah-mudahan hubungan erat ini dapat dikekalkan,” katanya.




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. Dia kini bekerjasama dengan Zubli Zainordin pengasas Sains dan Seni Jaya Diri, pengarang blog Total Happiness dan pengelola Book Project blog.