Oleh: ZULKIFLI JALIL dan HAMDEN RAMLI
PUTRAJAYA 11 Jan. – Malaysia dan Indonesia bersetuju menubuhkan Kumpulan Tokoh-Tokoh Terkemuka (Eminent Persons Group) bagi menyelesaikan segala isu yang boleh mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat dua hala delegasi kedua-dua negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini hari ini.
Abdullah berkata, kumpulan yang dicadangkan penubuhannya oleh Susilo itu akan dianggotai tujuh tokoh dari Malaysia dan Indonesia yang senarainya akan ditentukan kemudian.
‘‘Tugas kumpulan ini adalah untuk sentiasa meninjau, berbincang dan mencari penyelesaian mengenai isu-isu, misalnya dalam bidang berkaitan ekonomi, kebudayaan dan agama.
“Mereka akan memberi pandangan yang boleh disampaikan kepada pemerintah masing-masing supaya kami (kerajaan) dapat menentukan apakah (bentuk penyelesaian) yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar bersama Presiden Indonesia itu selepas mesyuarat dua hala lebih sejam yang diadakan sempena lawatan kerja tiga hari Susilo ke Malaysia.
Sebelum mesyuarat delegasi kedua-dua negara itu bermula, Abdullah dan Susilo mengadakan pertemuan empat mata secara tertutup di pejabat Perdana Menteri di sini.
Pada tahun lalu Susilo dan Abdullah mengadakan pertemuan tahunan mereka di Padang, Bukit Tinggi, Sumatera.
Sejak beberapa tahun lalu, hubungan Malaysia-Indonesia sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran termasuk yang terbaru berhubung isu kesenian reog ponorogo (barongan) dan kontroversi penggunaan lagu Rasa Sayang dalam iklan pelancongan Malaysia.
Isu-isu sensitif lain yang kadangkala tercetus ialah penderaan pembantu rumah oleh majikan di Malaysia, jerebu yang berpunca daripada pembakaran hutan di Indonesia,
jenayah oleh pendatang Indonesia dan masalah berkaitan sempadan.
Semalam, Susilo dianugerahkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara oleh Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebagai menghargai usaha Presiden itu mengeratkan hubungan dua hala antara Indonesia-Malaysia.
Abdullah berkata, secara umumnya beliau melihat hubungan Malaysia dan Indonesia adalah baik walaupun mengakui terdapat masalah yang timbul dari semasa ke semasa.
Menurutnya, ketika ini Malaysia bukan sahaja merupakan pelabur utama malah penyumbang kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Indonesia.
Dalam bidang pendidikan pula, katanya, ramai anak muda Malaysia dan Indonesia belajar di kedua-dua negara.
‘‘Ada interaksi dan hubungan kebudayaan yang hebat antara penduduk Malaysia dan Indonesia sehinggakan orang Indonesia dari Minangkabau, Jawa dan etnik lain membawa bersama budaya, lagu dan adat istiadat mereka ke negara ini.
“Hari ini semuanya dilihat sebagai sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan di Malaysia,” katanya.
Abdullah berkata, dalam pertemuan dengan Susilo, beliau mengambil kesempatan menjelaskan masalah yang menimbulkan keributan berkaitan pekerja Indonesia di sini.
‘‘Saya telah memperjelaskan satu persatu kes-kes berprofil tinggi kepada Presiden (Susilo) dan anggota (delegasi) Indonesia. Jadi, mudah-mudahan, mesyuarat kita pada awal Muharam Januari 2008 ini akan menjadi penanda untuk membawa kemajuan yang lebih hebat lagi pada masa hadapan,” katanya.
Mengenai pengambilan pekerja dari Indonesia, Abdullah berkata, Malaysia seboleh-bolehnya ingin mengurangkan kedatangan pekerja Indonesia tanpa dokumen yang sah.
‘‘Kalau mereka datang dengan dokumen sah, lebih mudah mereka dapat kerja, senang dikawal dan juga lebih mudah mereka mendapat bantuan yang diperlukan termasuk bantuan guaman sekiranya sesuatu berlaku kepada mereka.
‘‘Tapi kalau datang tanpa dokumen, ia menimbulkan banyak masalah dan yang dibimbangkan ialah pelbagai masalah akan mereka hadapi kerana tiada dokumen sah.
‘‘Yang pentingnya ialah kita menganggap pekerja ini sebagai penyumbang kepada ekonomi kita dan kerajaan memang memerlukan pekerja-pekerja bukan hanya dari Indonesia tetapi juga dari negara-negara lain,” katanya.
Perdana Menteri memberitahu, beliau turut memaklumkan kepada Susilo bahawa pekerja Indonesia mesti patuh dan taat kepada undang-undang Malaysia dan Presiden Indonesia itu sendiri mengakui betapa pentingnya pekerja Indonesia berbuat demikian.
Abdullah berkata, jika seseorang rakyat atau pekerja Indonesia dihadapkan ke mahkamah di Malaysia, bukan hanya pegawai kedutaan Indonesia di sini dibenarkan menghadiri perbicaraan itu malah pegawai dari Jakarta boleh menyertainya.
‘‘Kita juga ingin menjelaskan bahawa Malaysia tidak mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja Indonesia. Mereka datang dengan sah dan kita memberi peluang pekerjaan kepada mereka sekiranya segala syarat dipatuhi,” kata beliau.
Menjawab soalan seorang wartawan Indonesia mengenai persepsi kebebasan media di negara ini yang dilihat lebih tertutup berbanding di Indonesia yang agak bebas dalam melaporkan isu tertentu dari kedua-dua negara, Abdullah berkata, adalah penting satu mekanisme diwujudkan bagi menangani masalah itu.
‘‘Satu mekanisme untuk mempertemukan wakil media kedua-dua negara perlu (diperkenalkan) iaitu bukan (bertemu) setahun sekali bahkan lebih kerap lagi.
‘‘Dalam pertemuan itu, kita boleh fikirkan apakah perkara yang lazimnya timbul dan tidak menyenangkan,” katanya.
Kata Abdullah: ‘‘Dengan ini, kita dapat melihatnya melalui cara yang betul agar semua (pihak) tidak salah faham serta tidak mendapat reaksi negatif daripada rakyat kedua-dua negara.” [UM]
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. Dia kini bekerjasama dengan Zubli Zainordin pengasas Sains dan Seni Jaya Diri, pengarang blog Total Happiness dan pengelola Book Project blog. |