Anggota tentera Indonesia membawa gambar Suharto yang diringi paluan dram ketika berlangsungnya majlis pengebumian beliau. – AFP.
MATESIH, Indonesia 28 Jan. – Jenazah bekas Presiden Muhammad Suharto selamat disemadikan tengah hari ini dengan penuh penghormatan tentera, mengakhiri babak kontroversi dalam sejarah pemerintahannya selama 32 tahun.
Bekas Presiden berusia 86 tahun yang didakwa mengamalkan korupsi dan tercemar dengan pelanggaran hak asasi manusia ini telah disemadikan mengikut upacara pengebumian negara di pusara keluarganya, Astana Giribangun di bandar kecil Matesih, Jawa Tengah
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memberikan ucapan singkat ketika anggota keluarga terdekat menaburkan kelopak bunga mawar dan melur di atas kerandanya.
Suharto disemadikan di sebelah pusara isterinya, Siti Suhartinah yang meninggal dunia pada 1996.
Beribu-ribu rakyat berbaris sepanjang jalan raya menuju ke pusara beliau bagi memberi penghormatan terakhir ketika kenderaan yang membawa jenazahnya bergerak lalu.
Seorang wanita, Mariani, 53, berkata, dia sanggup berjalan kaki selama dua jam bagi memberi penghormatan kepada bekas pemimpin Indonesia itu.
Orang ramai termasuk murid sekolah melambaikan tangan dan sesetengah mereka menitiskan air mata ketika rombongan yang mengiringi jenazah Suharto melewati jalan ke tempat pemakaman yang terletak 35 kilometer dari Solo.
Puluhan juta lagi rakyat dari Aceh hingga Merauke menyaksikan upacara pengkebumian bekas Presiden kedua Indonesia itu melalui stesen telivisyen tempatan.
“Saya fikir Pak Harto sentiasa memikirkan rakyatnya. Semuanya murah, tetapi sekarang sudah mahal. Bagaimana buruk sekali pun Pak Harto, sumbangannya kepada negara sangat besar,” kata seorang lelaki berusia 52 tahun yang dikenali sebagai Heri.
Upacara pengkebumian bermula pada pukul 7.30 pagi ini di Jalan Cendana, Jakarta apabila anak sulung Suharto, Siti Hardiyanti Rukmana (Tutut) memecahkan piring sebelum menyerahkan jenazah kepada Ketua Dewan Perwakilan Rakyat, Agung Laksono untuk dibawa ke tempat pengebumian.
Terdahulu jenazah Suharto diterbangkan dengan pesawat tentera dari Jakarta menuju ke Solo sebelum dibawa ke pusara keluarga beliau.
Berpuluh-puluh ribu penduduk keluar dan bersesak di jalan-jalan raya Jakarta ketika jenazah bekas Presiden Indonesia ini dibawa dari kediaman menuju ke lapangan terbang.
Konvoi membawa jenazah itu bergerak perlahan melalui jalan raya menuju ke lapangan terbang, diiringi beberapa helikopter, dan diberi tabik hormat oleh anggota tentera darat, laut dan udara Indonesia ketika kerandanya dimasukkan ke dalam pesawat.
Suharto, yang lahir di Desa Kemusuk, Yogyakarta memerintah Indonesia selama 32 tahun, meninggal dunia di Rumah Sakit Pusat Pertamina di Jakarta selepas kegagalan fungsi organ akibat penyakit yang dideritainya sejak 1999.
Beliau meninggal pada pukul 1.10 petang semalam (2.10 petang Ahad waktu Malaysia) setelah 24 hari menerima rawatan di hospital berkenaan.
– Agensi
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. Dia kini bekerjasama dengan Zubli Zainordin pengasas Sains dan Seni Jaya Diri, pengarang blog Total Happiness dan pengelola Book Project blog. |