|
KEPALA BATAS 24 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan akan menubuhkan barisan Kabinet yang terbaik dengan gabungan muka lama dan baru sekiranya Barisan Nasional (BN) diberikan mandat baru pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Menurut Perdana Menteri, untuk tujuan itu semua calon BN yang dipilih bertanding pada pilihan raya umum kali ini merupakan calon yang sebaik-baiknya dan telah melalui proses siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), mahkamah serta Jabatan Insolvensi.
Abdullah berkata, sebelum pilihan raya BN telah memastikan semuanya diatur dengan baik dengan calon yang dipilih dipastikan melalui siasatan dengan badan-badan berkenaan.
‘‘Kalau ada kes yang terlibat dengan mahkamah, macam semalam (apabila) kita mengetahui salah seorang calon yang dicadangkan mempunyai kes di mahkamah di bawah Kanun Keseksaan, kita serta-merta menggugurkan calon berkenaan.
‘‘Ada beberapa kes melibatkan isu BPR serta polis, jadi kita membuat siasatan dengan terperinci dan dalam masa yang sama, kita akan memeriksa dengan Jabatan Insolvensi sama ada bakal calon itu muflis atau tidak.
‘‘Jadi kita periksa dan calon sedemikian tidak akan dibenarkan (bertanding), kita memeriksa untuk memberikan yang terbaik,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon di sini hari ini.
Ditanya mengenai kempen pilihan raya, Perdana Menteri berkata, setakat ini beliau tidak mendengar sebarang masalah atau huru-hara berlaku di mana-mana tempat.
Sambil melahirkan rasa gembira, beliau mengucapkan terima kasih kepada polis yang telah mengawal keadaan keselamatan dengan baik dan ia merupakan langkah pertama menjayakan proses pemilihan calon.
‘‘Proses pemilihan calon oleh rakyat adalah amat penting bagi rakyat Malaysia. Mereka tentu sekali nak pilih siapa yang mereka mahu.
‘‘Saya percaya mereka akan beri perhatian kepada BN yang sejak 50 tahun lalu, bermula dengan Perikatan, telah pun mencapai kejayaan membangunkan negara serta pastikan dalam keadaan aman, selamat,” katanya.
Semasa berkempen pula, Perdana Menteri meminta supaya tidak berlaku pergaduhan antara penyokong parti-parti yang bertanding dan mereka diminta supaya menjaga percakapan kerana jika berlaku pergaduhan ia boleh mencemarkan proses pilihan raya.
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, Jason Tan, dan lain-lain. |