Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Tamparan Sheila selepas bertudung

Written By JOM JALAN on 24/02/08 | Ahad, Februari 24, 2008


Oleh: NIEZAM ABDULLAH
RAMAI yang tidak menyangka sebaik pulang dari mengerjakan ibadah haji pada 21 Januari lalu, Sheila Rusly mengambil langkah untuk menutup auratnya. Sheila memakai tudung litup. Keputusan itu tidak disangka kerana sebelum ini Sheila tidak pernah pun melahirkan hasrat itu.

Yang ada cuma satu iaitu pemergiannya ke Mekah hanyalah bagi memenuhi tuntutan melaksanakan rukun Islam kelima.

Cubalah tatap, perubahan baru Sheila benar-benar membawa cahaya kepada wajahnya. Dia semakin cantik dan ayu selepas mengenakan tudung.

Ketika datang ke ibu pejabat Utusan untuk mengadakan rakaman Cita rasa Selebriti Rabu lalu, Sheila bertanya adakah perubahan baru itu mengubah terus imejnya?

Sebenarnya tidak. Pada mata orang lain dan rakan-rakan, Sheila tetap seperti dulu. Secara jujurnya perubahan itu menampakkan dia bertambah manis.

“Apabila pulang dari mengerjakan haji, saya pelik jika tak ada sesuatu di atas kepala. Maklum sajalah selama 44 hari di Mekah, saya sentiasa menutup kepala. Apabila saya buka tudung saya rasa lain macam. Sebab itu saya mengambil keputusan untuk terus memakai tudung,” katanya.

Sheila akui semakin selesa dengan imej yang dibawa. Malah pakaiannya di dalam almari terpaksa dipunggah semula untuk mencari baju dan seluar yang sesuai dipadankan dengan imej tersebut.

Memakai tudung bukanlah satu masalah kepada beliau sebaliknya Sheila melihat sudah tiba masa dia berubah selain ia merupakan satu tuntutan.

Bagaimanapun niat baik Sheila itu tetap disalah anggap apabila ada suara-suara sumbang yang hanya meletakkan tempoh tertentu dia melakukan perubahan itu.

Ujar Sheila, ada yang berkata cukup 44 hari selepas pulang mengerjakan haji, dia akan membuka semula tudungnya itu. Tidak mahu komen panjang tetapi Sheila menerima tamparan itu dengan baik. Dia mahu membuktikan kata-kata itu adalah tuduhan bagi memburukkannya semata-mata.

“Biarlah mereka nak kata apa pun kepada saya tetapi niat saya adalah baik. Saya bukan nak pakai tudung untuk sementara waktu tetapi insya-Allah saya akan jadikan ia sesuatu yang wajib dan tidak tersinggung dengan kata-kata itu,” katanya.

Bertambah murah rezeki

Dua hari selepas pulang mengerjakan haji, Sheila mendapat berita gembira apabila RTM menawarkan kepada JS Production iaitu syarikat miliknya dan suami untuk menerbitkan rancangan masakan.

Cita rasa Selebriti yang sebelum ini menemui penonton hanya pada bulan Ramadan sejak tahun 2005 diperluaskan lagi sirinya.

Kali ini rancangan yang menampilkan Sheila sendiri sebagai hos akan ke udara setiap minggu bermula pada bulan April atau Mei akan datang.

Sheila menganggap tawaran menerbitkan program itu sebagai satu rezeki yang tidak diduga kerana ia diterima selepas pulang melaksanakan rukun Islam itu.

“Allah memakbulkan doa saya dengan memberi rezeki kepada kami. Bayangkan dua hari duduk di rumah selepas mengerjakan haji, RTM menghubungi kami untuk menawarkan projek tersebut,” katanya.

Jelas Sheila, program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan kerana pendekatannya mengajak selebriti memasak di dapur.

Dalam rancangan itu penonton dapat melihat telatah selebriti ketika diberi peluang untuk mencuba resipi masing-masing dalam keadaan yang lebih santai.

Tidak menjadi masalah bagi Sheila untuk terus mengendalikan program itu kerana dia sendiri merupakan seorang yang gemar memasak.

“Dalam rancangan ini kita akan dapat tengok bagaimana artis memegang pisau ataupun menggoreng sesuatu di dapur.

“Selalunya kita tengok dia orang berlakon atau menyanyi tetapi tidak pernah melihat bakat mereka apabila memasak.

“Program inilah yang akan membawa penonton menyaksikan sejauh mana mereka benar-benar berbakat apabila berada di dapur,” katanya.

Lebih penting lagi kata Sheila, sejak program itu dihasilkan bermula tahun 2005, dia sudah mengumpulkan lebih 100 resipi.

Kebanyakan resipi tersebut telah Sheila bukukan untuk membolehkan orang ramai mencuba masakan berkenaan.

Dalam masa yang sama Sheila mahu peminatnya memanfaatkan resipi-resipi yang diperkenalkan di dalam program itu.

“Ini merupakan satu hadiah saya kepada peminat kerana resipi terpilih akan dibukukan untuk membolehkan mereka mencuba masakan dan resipi-resipi baru,” ujarnya.

Selain sibuk dengan program itu, JS Production akan menerbitkan sebuah drama untuk disiarkan sempena sambutan Hari Ibu nanti. Istimewanya drama itu dihasilkan selepas Sheila mendapat ilham dari sebuah puisi ketika berada di Tanah Suci.

“Drama ini amat besar pengertiannya kerana ilham itu datang ketika saya berada di Mekah. Saya berharap penonton akan menyaksikannya sempena kedatangan Hari Ibu nanti,” jelasnya.



Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.