Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Sufiah keliru -- Bekas suami

Written By JOM JALAN on 2/04/08 | Rabu, April 02, 2008

LONDON 1 April – Sufiah Yusof yang pernah menggemparkan dunia kerana berjaya memasuki universiti pada usia 13 tahun, dikatakan keliru dengan apa yang diingini dalam hidupnya.

Setelah akhbar mendedahkan kisah memalukan apabila dia kini terpaksa menjadi pekerja seks menyara hidup, ia turut menjadi episod terakhir kepada perkahwinan ibunya, Halimahton.

Wanita itu semalam meninggalkan kediaman keluarganya di Coventry bagi menguruskan penceraian dengan suaminya, Yusof Farooq.

Rumahtangga mereka bergoncang selepas suaminya dipenjarakan kerana melakukan gangguan seksual terhadap dua gadis berusia 15 tahun ketika bertugas sebagai tutor persendirian.

“Kami tidak mahu dikaitkan lagi dengan ayah. Dia selalu bertindak kejam terhadap kami dan ini juga merupakan alasan utama kenapa Sufiah melarikan diri,” kata abang Sufiah, Isaac Abraham, 26.

Kira-kira 10 tahun lalu, Yusof mendakwa dia telah memperkenalkan sistem yang dipanggil “Hothousing” iaitu teknik pembelajaran insentif melalui tutor peribadi.

Mereka yang menjadi bahan uji kaji adalah kelima-lima anaknya.

Paling penting keadaan di rumahnya sentiasa terkawal bagi memastikan tumpuan mereka tidak terjejas.

Televisyen, muzik pop dan perkara lain yang boleh menggugat pemikiran mereka adalah dilarang dan bagi Yusof, udara segar sangat penting untuk menjana fikiran cerdas.

“Namun tumbukan juga membantu kami,” ujar Isaac.

Menurut pemuda itu, semuanya terpulang kepada mood bapanya keran ada ketikanya Yusof akan mengejutkan anak-anak di tengah malam dengan menumbuk muka mereka.

“Perkara itu sangat sukar diterima,” kata Isaac.

Yusof yang lahir di Pakistan menggelar dirinya sebagai seorang yang berkebolehan luar biasa dan dia mendapat publisiti apabila Sufiah berjaya masuk ke Kolej St. Hilda, Universiti Oxford.

Dia mendakwa kejayaan anaknya itu adalah hasil keberkesanan sistem yang dibangunkannya dan bukan kerana Sufiah seorang pelajar yang bijak.

Yusof menjanjikan lebih ramai ‘Sufiah’ akan lahir dan gadis itu seolah-olah model kepada sistemnya itu.

Tekanan akhirnya membuatkan Sufiah memberontak dan melarikan diri dari Oxford pada tahun 2000.

“Saya tertekan dengan kehidupan selama 15 tahun yang penuh dengan penderaan fizikal dan emosi,” kata Sufiah yang mengaku cuba membunuh diri sebanyak dua kali sewaktu berusia 11 tahun.

Sufiah kembali ke Oxford bagi menyambung pelajarannya namun usahanya kini semakin terpinggir setelah bertemu dengan seorang pelajar undang-undang, Jonathan Marshal yang kemudiannya memeluk Islam.

Mereka berkahwin pada 2004 sewaktu Sufiah berusia 19 tahun dan suaminya itu 24 tahun.

Jonathan yang kini bertugas di sebuah firma guaman terkemuka di Arab Saudi berkata, alasan utama perpisahan mereka ialah kerana dia semakin fokus dengan pelajaran tetapi Sufiah pula sebaliknya.

“Ini telah mengakibatkan dia semakin hilang arah dari sasaran sebenar. Ajaran Islam adalah penting dalam kehidupan harian dan apabila kita beralih arah ia akan menjadi isu yang sukar ditangani.

“Dia berasa keliru dan tidak tahu apa yang diinginkan.

“Dia bukanlah seorang yang aneh dan tidak sukar untuk hidup dengannya tetapi kami mempunyai matlamat dan pemikiran yang berbeza,” kata Jonathan.

Lelaki itu mendapat kerja di sebuah firma di London sebelum dihantar ke Singapura dan dia turut membawa Sufiah bersamanya.

Pasangan ini berpisah ketika di Singapura dan sekembalinya ke London, Sufiah mendaftarkan diri di Universiti London dalam jurusan ekonomi.

Menurut Jonathan, dia masih menanggung Sufiah selama lapan bulan selepas mereka bercerai dan sebelum dia dihantar ke Arab Saudi.

“Saya bersetuju untuk menanggung perbelanjaannya bagi tempoh masa tertentu kerana berasa bertanggung jawab dengan impiannya melanjutkan pelajaran di universiti,” katanya.

Menurutnya, pendedahan mengenai kerja Sufiah ketika ini sangat mengejutkannya kerana latar belakang agama wanita itu.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.