Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Keputusan penggunaan kalimah Allah, 30 Disember

Written By JOM JALAN on 16/12/09 | Rabu, Disember 16, 2009

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Sebarang usaha untuk merendahkan martabat dan menyelewengkan penggunaan kalimah suci 'Allah' adalah suatu penghinaan kepada agama, negara serta Perlembagaan Persekutuan.

Persoalannya adakah keputusan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar melarang penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan 'Herald - The Catholic Weekly' mengakibatkan penganut agama Kristian tidak dapat mengamalkan ajaran agama mereka?

Demikian antara isu dibangkitkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Mahamad Naser Disa dalam hujahan bertulis tambahan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini.

Beliau mewakili Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama dan kedua dalam semakan kehakiman oleh Gereja Katolik melalui Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam berhubung penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan 'Herald - The Catholic Weekly'.

Pemohon meminta perisytiharan larangan bertarikh 7 Januari lalu adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Gereja terbabit turut memohon perisytiharan bahawa larangan tersebut adalah ultra vires (melampaui batasan undang-undang) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sehingga mahkamah membuat keputusan.

Mahamad Naser dalam hujahnya menyatakan, Allah ialah nama khas yang termaktub dalam al-Quran dan tidak boleh disamaertikan dengan perkataan am iaitu tuhan meskipun bagi orang Islam, hanya Allah satu-satunya tuhan.

''Jika responden membiarkan kalimah Allah digunakan oleh pemohon sebagai terjemahan kepada perkataan God' dalam penerbitan mereka, ia akan mengundang implikasi yang besar kepada umat Islam. Ini kerana penggunaannya akan mencemar nama suci Allah,'' ujar beliau.

Menurutnya lagi, pemohon juga gagal membuktikan melalui afidavit sokongannya bahawa larangan itu telah menjadi penghalang untuk mereka menganut agama Kristian.

Sehubungan itu Mahamad Naser berpendapat, menteri telah membuat keputusan yang betul ketika menegah pemohon menggunakan perkataan 'Allah' yang akan mencemar ajaran Islam.

''Kesucian agama Islam bukan sahaja wajib dipelihara oleh kerajaan sebagai badan eksekutif malah badan kehakiman yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan badan perundangan yang menasihati baginda dalam membuat undang-undang turut memikul kewajipan yang sama,'' tegas beliau.

Sementara itu, peguam Mubashir Mansor bagi pihak Majlis Agama Islam Negeri ketika membetulkan persepsi umum berkata: ''Permohonan ini bukanlah satu peperangan membabitkan keagamaan. Tetapi ia melibatkan undang-undang negara ini, perlembagaan dan undang-undang penerbitan.''

Selepas mendengar hujah, Hakim Datuk Lau Bee Lan menetapkan 30 Disember ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info,

0 ulasan: