Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Mantapkan penghujahan isu kalimah Allah

Written By Syafrein Effendiuz on 12/01/10 | Selasa, Januari 12, 2010



serius... ahli panel menyampaikan hujah masing-masing di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, baru-baru ini.


Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia ada hak dalam Perlembagaan pada 31 Disember 2009 mencetuskan kemarahan masyarakat Islam.
Sebabnya, keputusan itu dilihat akan mengelirukan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Apatah lagi, kalimah Allah itu telah sekian lama hanya digunakan oleh umat Islam.
Antara alasan paling kuat mengapa keputusan itu ditentang adalah para penganut agama lain perlu menghormati penggunaan kalimah Allah yang merupakan lafaz jalalah iaitu gelaran tertinggi dan paling mulia yang digunakan umat Islam untuk merujuk kepada Allah.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke 82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 turut memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Sememangnya umat Islam membantah keputusan itu tetapi bantahan sahaja tidak menyelesaikan masalah. Ia perlu disusuli dengan tindakan perundangan supaya isu ini diselesaikan sekali dan selama-lamanya.
Namun, dalam undang-undang hujah dari segi agama tidak mendapat perhatian hakim kerana keputusan penghakiman dibuat tertumpu kepada alasan-alasan perundangan.
Demikian ditegaskan oleh Fellow Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob.
Katanya, walaupun keputusan hakim itu menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan majoriti umat Islam, Mahkamah Sivil tidak terikat dengan apa-apa fatwa.
Menurut beliau, mahkamah juga tidak menimbangkan apa dukacita akibat keputusan penghakimannya yang dibuat.
"Ia hanya terikat dengan penghakiman mahkamah yang lebih tinggi daripadanya. Dalam kes sivil ini pula, Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa menafsirkan Perlembagaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Ilmiah 'Isu Kalimah Allah' di Galeri Ilmu API, UM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dua lagi ahli panel ialah pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan APIUM, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin dan pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam (JSTI) APIUM, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Ibrahim.
Forum anjuran JSTI APIUM itu mendapat sambutan hangat apabila ramai yang terpaksa berdiri selepas kira-kira 200 ruang kerusi yang disediakan penuh.
Hadir sama ialah Pengarah APIUM, Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang dan Ketua JSTI, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor.
Menurut Monir, apa yang perlu dilakukan kini adalah mempersiapkan hujah-hujah yang kukuh apabila di Mahkamah Rayuan kelak.
Katanya, para peguam yang berkenaan perlu mengemukakan hujah sejauh mana boleh berlaku kesilapan hakim dalam kes ini.
"Yang penting dalam mahkamah adalah kekuatan hujah bukannya siapa yang menjadi hakim. Sebabnya institusi kehakiman itu perlu adil," jelas beliau.
Sementara itu, Ab. Aziz berkata, memang golongan bukan Islam pernah mengguna kalimah Allah sebagai mana dinyatakan dalam al-Quran.
Antaranya dalam ayat 73 surah al-Maaidah yang bermaksud: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah adalah salah satu daripada tiga tuhan, padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan tuhan yang Maha Esa.
Demikian juga dalam ayat 18 surah al-Maaidah yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani berkata: Kami adalah anak-anak Allah dan sangat-sangat disayangi-Nya...
Namun, tegas beliau, penggunaan nama Allah oleh golongan kafir itu terbahagi kepada dua tempat.
"Pertama, mengiktiraf dengan sifat Allah dan kedua, membuat tuduhan atau salah percaya terhadap Allah.
"Kebimbangan kita adalah penggunaan kalimah Allah ini hanya untuk tempat kedua iaitu fahaman yang silap terhadap Allah," katanya.
Ab. Aziz turut mempersoalkan tujuan akhbar tersebut menggunakan kalimah Allah kerana yang nyata ia mudah mengelirukan umat Islam yang baru mengenali agama suci ini.
Katanya, apabila kalimah Allah itu sama diguna pakai oleh kristian, jadi ia tidak terasa asing atau pelik.
"Jadi ia mudah diterima dan mungkin juga agenda tersembunyi untuk mengelabui mata umat Islam.
"Kalimah ini disukai kerana ia ada tarikan dan akan memerangkap golongan yang lemah pengetahuan Islam mereka," jelasnya.
Pada masa yang sama, kata Ab. Aziz, apa yang berlaku sekarang memberi peluang kepada para pendakwah berperanan lebih besar memberi penjelasan tentang isu tersebut.
"Masyarakat Islam juga perlu diberi perhatian supaya kelemahan penghayatan boleh diatasi," kata beliau.
Seorang lagi ahli panel, Ahmad Zaki berkata, isu tersebut perlu dilihat daripada sudut negatif dan positifnya.
Katanya, walaupun bukan Islam sudah menggunakan perkataan Allah sebelum ini tetapi yang selalu digunakan adalah Rabb (tuhan).
Menurut beliau, penggunaan kalimah Allah oleh orang Arab musyrik pula adalah dalam bacaan sembahyang mereka.
"Cuma kalau keputusan Mahkamah Rayuan kelak tidak memihak kepada kita, tindakan balas kita adalah penting.
"Kita perlu membuat persediaan termasuk dalam kurikulum di sekolah supaya anak-anak Muslim tidak mudah terpesong atau dikelirukan dengan penggunaan kalimah ini," tegasnya.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.