Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Istiadat bersanding gilang-gemilang

Written By JOM JALAN on 10/09/04 | Jumaat, September 10, 2004

BANDAR SERI BEGAWAN 9 Sept. - Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei, Putera Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, 30, dan Dayangku Sarah Pengiran Salleh Ab. Rahman, 17, berlangsung dengan penuh gilang-gemilang mengikut adat istiadat negara ini di Istana Nurul Iman, di sini, hari ini.

Istiadat Bersanding Pengantin Diraja itu merupakan kemuncak kepada majlis perkahwinan pasangan tersebut yang diadakan sejak dua malam lalu, sebelum mereka dibawa berarak ke seluruh bandar dengan kenderaan khas, Kenaikan Diraja sejauh lapan kilometer sambil diiringi oleh pancaragam polis dan Angkatan Tentera Bersenjata Brunei.

Pada majlis persandingan itu juga, pihak istana telah mengumumkan gelaran Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah kepada Dayangku Sarah.

Majlis persandingan itu dihadiri oleh 2,000 tetamu terdiri daripada pengiran-pengiran dan kakitangan kerajaan yang berpakaian hitam mengikut protokol istana.

Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito mendahului senarai tetamu kenamaan yang masuk ke dewan sementara ketua kerajaan yang hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Endon Mahmood, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo.

Selain itu, turut hadir ialah Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud.

Dijangka lebih ramai tetamu kenamaan termasuk Raja-Raja Melayu akan hadir hari ini untuk Majlis Santapan Diraja yang akan diadakan malam esok.

Istiadat persandingan itu dimulakan dengan perarakan masuk tetamu kenamaan ke dalam istana dan kemudian diikuti oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sejurus ketibaan baginda, empat batang lilin dikenali sebagai Dian Empat dinyalakan sebagai menandakan bermulanya Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja sebelum Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dibawa masuk ke dalam Balai Singgahsana dengan diiringi isteri menteri-menteri Brunei.

Putera Mahkota kemudian diarak masuk dengan diketuai dua orang perwira raja yang membawa Pemuras dan Karga serta sebatang lilin yang dikenali sebagai Dian Tunggal.

Selepas itu, upacara membatalkan air sembahyang diadakan dengan Putera Mahkota memegang dahi isterinya sebelum majlis yang berlangsung kira-kira 10 minit itu berakhir. Malam Berinai berlangsung malam tadi.

Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dilahirkan pada 17 Februari 1974 dan memulakan pendidikan awal di Sekolah Putera-Putera Istana Darul Hana sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian diplomatik di Kolej Magdalen, Universiti Oxford, United Kingdom pada 1996.

Pengiran Muda itu diisytiharkan sebagai Putera Mahkota pada 10 Ogos 1998 dan aktif dalam bidang sukan serta pernah mewakili Brunei dalam acara snuker di Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur.

Sementara Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah pula dilahirkan pada 9 April 1987 dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Beliau yang mempunyai darah Switzerland di sebelah ibunya, Rinawatie Abdullah, telah melanjutkan pengajian di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan lulus Brunei Junior Certificate pada 2003.

Ketika ini Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah masih menuntut di maktab yang sama dalam pengajian prauniversiti.

Sementara itu sejak pagi lagi, lebih 60,000 rakyat Brunei membanjiri jalan-jalan utama di bandar ini bagi menyaksikan perarakan pasangan pengantin diraja.

Cuti umum yang diisytiharkan sempena majlis perkahwinan itu memberi peluang untuk bersama-sama meraikan pasangan diraja itu.

Pelbagai persembahan kebudayaan diadakan termasuk nyanyian, tarian dan gamelan disediakan di khemah yang dibina di sepanjang jalan bagi menyerikan majlis perkahwinan tersebut.

Ini menjadikan bandar ini seperti pesta yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk pertunjukan artis dan bunga api yang akan diadakan selama tiga hari iaitu malam esok, 11 September dan 17 September ini.

Biarpun hujan lebat di sekitar bandar ini kira-kira pukul 12 tengah hari, rakyat tetap setia menanti kehadiran perarakan pasangan pengantin.

Pengantin diraja memulakan perarakan kira-kira pukul 11.45 pagi, diarak dengan menaiki kereta dan diiringi oleh pancaragam polis serta Angkatan Tentera Bersenjata Brunei.

Sebanyak 103 kereta kerabat diraja Brunei mengikut perarakan tersebut.

Upacara bersejarah ini menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan malah pelancong asing termasuk Sabah, Singapura, United Kingdom dan Arab Saudi.

Isman Aziz, 29, dari Singapura berkata, dia ingin melihat dari dekat adat istiadat perkahwinan diraja Brunei dan dalam masa yang sama tertarik dengan persiapan besar-besaran yang diadakan di sini.

``Saya datang ke sini, dua hari lalu dan setibanya di sini, saya menyaksikan banyak kain rentang yang ditampalkan sepanjang jalan termasuk di lapangan terbang mengenai majlis perkahwinan kedua-dua mempelai itu,'' katanya ketika ditemui di sini.

Pelancong dari United Kingdom, Evelyn Smith berkata, dia terpegun dengan upacara perkahwinan diraja itu.

``Upacara perkahwinan raja-raja di sini menarik dan mempunyai tarikan yang tersendiri,'' katanya yang datang ke Brunei beberapa hari lalu dan akan singgah di Sarawak minggu depan sebelum bertolak pulang 15 September ini. - Utusan, HABIBAH OMAR.