Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Ketagih rokok - ``Nak atau tak nak''

Written By JOM JALAN on 26/09/04 | Ahad, September 26, 2004

KATA orang... kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Hanya usaha yang berterusan dan berkat kesabaran yang tinggi dapat membuahkan kejayaan. Tentunya kata-kata nasihat tentang bahaya merokok sudah jelak didengar oleh perokok. Ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan, sebarang bentuk amaran biasanya tidak akan diendahkan oleh mereka apatah lagi berasa takut. Ada pula yang makin ditegur makin menjadi-jadi. Penagih rokok bukannya tidak sedar padah yang bakal diterima tetapi tiada upaya untuk berhenti.

Sebenarnya, hampir 95 peratus penagih rokok cuba menghentikan tabiat buruk mereka itu tetapi sering kali gagal.

Menurut pakar ketagihan dan saintis penyelidikan bersekutu, Yale University School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Mahmud Mazlan, kesukaran yang dialami oleh penagih rokok untuk berhenti merokok adalah sama seperti kesukaran yang dialami oleh seseorang penagih heroin untuk berhenti mengambil dadah.

``Sebab itu, mereka ini (penagih rokok) selalu sakit hati bila orang beri nasihat kerana mereka sedar mereka tidak bodoh, cuma tiada upaya untuk berhenti,'' katanya.

Menurut Dr. Mahmud, bahan kimia nikotin yang terkandung di dalam rokok adalah punca utama mengapa seseorang perokok mengalami ketagihan sehingga tidak boleh berhenti merokok.

Bahan kimia yang boleh membunuh itu mengubah neurobiologi seseorang perokok sehingga menyebabkan mereka gagal berhenti merokok.

Selain nikotin, lebih 4,000 bahan kimia yang terdapat dalam sebatang rokok bertindak memperkuatkan lagi penagihan.

Bahan yang kebanyakannya beracun ini juga menyebabkan seseorang penagih rokok terdedah kepada penyakit berbahaya seperti serangan angin ahmar, jantung, barah paru-paru, osteoporosis dan kesukaran untuk bernafas.

Hatta, setiap satu daripada nisbah lima kematian di Malaysia adalah berpunca daripada rokok dan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat ketagihan rokok!

Mungkin masih ramai yang tidak sedar bahawa setiap sedutan asap rokok yang dihisap juga sebenarnya, telah atau akan menyenaraikan perokok sebagai salah seorang mangsa `penyakit senyap'.

Tanpa disedari, ia memusnahkan fungsi paru-paru secara perlahan-lahan sehingga suatu tahap perokok menghidap sejenis penyakit sekatan paru-paru kronik yang dikenali dalam istilah perubatan sebagai COPD (chronic obstructive pulmonary disease).

Memang benar, merokok adalah satu tabiat buruk yang serius dan sukar untuk dihentikan.

Apabila duti eksais rokok dinaikkan lagi daripada RM58 kepada RM81 bagi setiap 1,000 batang seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Bajet 2005 baru-baru ini, seperti biasa pelbagai reaksi timbul.

Ada yang akur dan tidak kurang juga yang marah dengan keputusan kerajaan itu.

Manakan tidak, jika dulu sekotak rokok (20 batang) dijual pada harga RM5.40 tetapi kini harganya meningkat kepada RM6.50.

Namun begitu, bagi penagih rokok, setinggi mana pun harga rokok dinaikkan, mereka tetap berikhtiar membelinya.

Dari suatu segi, kenaikan tersebut mungkin sedikit sebanyak membebankan perokok tetapi adakah kenaikan harga rokok dapat mengurangkan jumlah perokok?

Realitinya, setiap kali harga rokok naik setiap kali itu jugalah penagih rokok akan cuba mengurangkan jumlah yang dihisap tetapi akhirnya tabiat itu tetap diteruskan.

Menurut Dr. Mahmud, antara punca mengapa penagih rokok tidak tahan berhenti menghisap rokok ialah kerana mereka menjadi cepat marah, menggigil, mengantuk, susah berfikir dan cepat letih.

Jelas beliau, jika dilihat dari aspek perubatan, penagih rokok sukar berhenti dengan sendiri tanpa menjalani rawatan yang betul.

Selain daripada kekuatan semangat, banyak negara di dunia berjaya membuktikan penjagaan kesihatan profesional boleh membantu golongan tersebut melalui program berhenti merokok.

Antara kaedah paling berkesan ialah mendapatkan rawatan gantian nikotin, tingkah laku dan kognitif (untuk ketagihan psikologi). Proses rawatan ini biasanya mengambil masa selama tiga bulan.

Tambah beliau, harga rokok yang baru saja naik dan bulan puasa yang bakal tiba adalah antara faktor yang boleh membantu meningkatkan lagi motivasi penagih rokok untuk berhenti merokok.

Apa yang perlu dilakukan
- Tentukan tarikh bila anda hendak berhenti merokok

- Bersiap sedia menghadapi cabaran kesan dari berhenti merokok

contohnya: rasa gian, berat badan meningkat, disisihkan oleh rakan-rakan perokok

- Dapatkan bantuan doktor peribadi atau ahli farmasi kerana perokok sukar berhenti sendiri

- Tingkatkan motivasi dengan kejadian contohnya: harga rokok naik, bulan puasa, isteri mengandung, baru menerima cahaya mata

- Fikirkan tentang kelebihan berhenti merokok iaitu:

- Menjimatkan wang

- Kesihatan semakin baik

- Deria bau dapat ditingkatkan

- Berasa lebih yakin dengan diri sendiri

- Tidak perlu bimbang tentang bahaya rokok

- Makanan rasa lebih menyelerakan

- Nafas, rumah, kereta berbau lebih segar

- Aktiviti fizikal dapat ditingkatkan

- Menjadi contoh yang baik kepada anak-anak

- Mengurangkan proses penuaan dan kedutan pada kulit.

Petua 10M untuk berhenti merokok
1. Minum banyak air (8-10 gelas sehari). Elakkan minuman keras, kopi dan lain-lain minuman yang boleh merangsang anda untuk merokok.

2. Menarik nafas panjang

3. Mengunyah sesuatu seperti gula-gula atau bebola getah

4. Melengah-lengahkan masa

5. Mandi atau basuh tangan dengan kerap

6. Mengalih perhatian

7. Menjauhkan diri daripada perokok

8. Menyibukkan diri dengan aktiviti lain

9. Melakukan senaman

10. Meditasi (sembahyang, berdoa atau yoga).

Teknik mengelak kembali merokok
- Jauhi dari rokok. Hanya dengan menghisap setengah batang rokok, ia boleh menyebabkan anda kembali menagih walaupun anda sudah berjaya berhenti sekian lama.

- Tingkatkan motivasi diri
Anda perlu sentiasa berfikir mengenai faedah berhenti merokok seperti dapat menjimatkan wang dan anak isteri anda tidak terdedah kepada asap rokok yang berbahaya

- Elakkan tabiat yang biasa dilakukan semasa merokok dan ubah rentak hidup anda dengan cara menjauhkan diri daripada kalangan perokok serta melakukan aktiviti yang boleh membuatkan anda lupa pada rokok terutama sekali selepas makan

- Elak dari melepak di tempat yang anda sering merokok sebelum ini

- Dapatkan sokongan daripada seseorang yang rapat dengan anda

Bekas penagih rokok sering memerlukan seseorang untuk berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi setelah berhenti merokok terutama ketika rasa gian.

Pengurusan berat badan
Majoriti daripada penagih rokok akan mengalami peningkatan berat badan sebaik berhenti merokok. Kebanyakannya meningkat kurang daripada 5 kilogram.

Berdasarkan laporan, kira-kira 10 peratus daripada bekas perokok mengalami peningkatan berat badan sehingga 15 kilogram. Ini adalah disebabkan oleh peningkatan selera makan dan aktiviti pelarasan metabolisme dalam badan.

Kepada bekas perokok yang bimbang dengan keadaan berat badan mereka, anda boleh menggunakan terapi nikotin yang dapat melambatkan proses peningkatan berat badan selepas berhenti merokok.

Kegunaan terapi nikotin
Seorang penagih rokok akan mengalami rasa gian yang kuat pada dua minggu pertama selepas berhenti merokok.

Untuk berhenti secara efektif, penagih rokok boleh menggunakan tiga jenis ubat nikotin iaitu gum, pelekat, semburan hidung atau inhaler yang boleh didapati di klinik atau farmasi.

Keempat-empat ubat nikotin ini boleh mengurangkan rasa gian perokok tetapi ia tidak berfungsi sebagai penyembuh.

Pengguna yang membeli ubatan tersebut dari kaunter farmasi dinasihatkan supaya mendapat penjelasan yang betul mengenai teknik penggunaannya.

Fakta penting mengenai bahaya rokok
- Orang yang tidak merokok tetapi berada berdekatan perokok (perokok pasif) seperti isteri, anak-anak dan rakan sekerja menyedut sebanyak 75 peratus daripada asap rokok yang dihembus keluar oleh perokok. Sedangkan perokok hanya menyedut sebanyak 25 peratus daripada asap tembakau yang dihisapnya

- Racun di dalam asap rokok yang memasuki tubuh badan boleh mendatangkan lebih daripada 20 penyakit kronik seperti kanser. Kepekatan racun yang disedut adalah amat tinggi dan berisiko besar menyebabkan kematian

- Wanita mengandung yang merokok akan mendapat kesan pembalikan yang berbahaya terhadap kehamilan dan bayi yang dikandung. Selain boleh mendatangkan masalah kepada uri, keguguran spontan, bayi juga boleh dilahirkan tidak cukup bulan atau meninggal dunia sebaik dilahirkan

- Bagi lelaki yang merokok, bahan racun dalam asap rokok boleh menjejaskan kesuburan mereka. Ia boleh mengurangkan bilangan sperma dan merangsang pembentukan sperma tidak normal[NORZAILA ROSLI].