Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Lukisan `Enam Hulubalang UMNO' hiasi pentas utama

Written By JOM JALAN on 21/09/04 | Selasa, September 21, 2004



KUALA LUMPUR 20 Sept. - Lukisan enam tokoh UMNO yang bertajuk `Enam Hulubalang UMNO' lengkap berpakaian hulubalang Melayu merupakan lukisan terbaru pelukis tanah air, Ismail Embong, 53.

Apa yang lebih menarik ialah ia akan diletakkan pada pentas utama Perhimpunan Agung UMNO 2004 yang akan berlangsung mulai esok hingga Sabtu ini.

Lukisan itu menggambarkan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar dan bekas-bekas Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad berpakaian hulubalang Melayu lengkap dengan keris dan tengkolok.

Ismail yang ditemui berkata, lukisan itu mula dilukis pada Mac lepas.

``Saya mengambil tempoh sebulan untuk memikirkan konsep lukisan, pakaian, tengkolok dan warna baju yang dipakai oleh tokoh-tokoh berkenaan.

``Saya mengambil keputusan agar Pemangku Presiden dan lima bekas pemimpin itu memakai baju dan tengkolok mengikut baju hulubalang negeri masing-masing,'' katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir berasal dari Kedah; oleh itu pakaian dan tengkolok ialah hulubalang Melayu Kedah.

Tun Abdul Razak pula berpakaian dan bertengkolok hulubalang Pahang, sementara Tun Hussein Onn dan Datuk Onn Jaafar berpakaian dan bertengkolok hulubalang Melayu Johor.

Ismail berkata, dari segi warna, baju Melayu Abdullah berwarna biru melambangkan keteguhan Barisan Nasional, Dr. Mahathir Mohamad berwarna hitam melambangkan sifatnya yang mengambil keputusan dengan tegas.

Tunku Abdul Rahman berpakaian hulubalang Melayu berwarna kuning melambangkan warna Raja-Raja Melayu.

Ujarnya, Tun Abdul Razak berpakaian warna hijau melambangkan bekas Presiden UMNO itu merupakan pengasas pembangunan sektor pertanian negara.

Tun Hussein Onn pula berpakaian merah melambangkan pada zamannya penuh dengan gelora, manakala Datuk Onn Jaafar berpakaian merah jambu yang melambangkan pengasas UMNO.

Ismail memberitahu, bingkai tembaga pada rangka lukisan itu dibuat oleh anak perempuannya yang berusia 12 tahun iaitu Cik Fatimah Rohani.

Ismail juga merupakan pelukis lukisan terpanjang yang diletakkan di pintu masuk utama PWTC. (HATA WAHARI)