Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Masalah Orang Muda: Menangani keganasan seksual bermula di rumah

Written By JOM JALAN on 12/10/04 | Selasa, Oktober 12, 2004

Bersama Prof Dr Syed Hassan Ahmad Al Mashoor


PERILAKU manusia turut dikawal oleh emosi. Jika seseorang itu gembira dan ceria, kita dapat lihat menerusi raut wajah dan gerak-gerinya bahawa ia amat selesa dan puas hati dengan dirinya dan keadaan persekitarannya.



Keceriaan menampakkan keyakinan dalam diri, bersikap positif dan berupaya menjalin perhubungan antara satu sama lain dengan mudah dan mesra. Mereka ini mudah merasa dan menghayati perasaan orang lain, seolah-olah mereka dapat menyelami jiwa orang berkenaan.

Oleh itu mereka seperti ini sentiasa bersedia menghulur tangan bagi membantu individu-individu yang mengalami permasalahan dan kesukaran. Mereka tidak rasa gentar dan resah apabila berhadapan dengan orang yang sedang mengalami krisis umpamanya.

Berbeza dengan orang yang emosinya sempurna dan tenteram seperti ini adalah orang yang emosinya celaru dan resah gelisah. Mereka yang mengalami kecelaruan emosi seperti ini kerap menghadapi masalah dan tindakan serta perilaku mereka sering membawa padah sama ada kepada diri mereka sendiri ataupun kepada orang yang berinteraksi dengan mereka.

Orang yang celaru emosinya tidak cekap mengawal perasaan dan kualiti hubungan sosialnya dengan orang lain kurang baik. Tiada sifat tolak ansur dan bantu membantu, yang ada hanyalah bagaimana orang yang terbabit boleh menunjukkan kekuasaannya kepada orang lain. Oleh itu ramai orang menjadi mangsa kepada individu seperti ini, contohnya permasalahan penderaan termasuk keganasan seksual.

Sudah banyak kes yang berlaku dalam masyarakat kita di mana golongan yang lemah dan tidak berupaya contohnya kanak-kanak, segolongan suri rumah dan juga sesetengah pembantu rumah dipermain, dihina dan diseksa tanpa belas kasihan.

Soalannya di mana perginya perasaan kasih sayang mereka dan kenapa mereka sanggup lakukan perbuatan yang terkutuk ini? Apakah mereka sudah lali dengan kesan ngeri yang mereka lakukan?

Dalam konteks perubatan psikologi, perilaku seseorang adalah satu proses pembelajaran. Apa yang seseorang lihat dan dengar itulah yang menjadi bahan maklumat yang akan diproses dalam minda seseorang. Proses menganalisa maklumat-maklumat yang diterima berbeza dari satu golongan umur ke satu golongan umur.

Contohnya seorang kanak-kanak berumur enam tahun belum bersedia memproses maklumat yang ada kaitan dengan pembunuhan dan peperangan.

Apabila mereka melihat babak-babak tayangan filem contohnya di kaca TV, mereka akan berasa resah dan tidak selesa dengan apa yang mereka lihat. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada kanak-kanak tersebut mengenai apa yang mereka telah lihat.

Kepada kanak-kanak yang telah meningkat umur hingga ke tahap remaja, mereka ini akan menunjukkan reaksi yang berlainan apabila melihat episod keganasan. Tambahan pula pada masa sekarang ini dengan adanya video yang mempamerkan perilaku keganasan termasuk keganasan seksual secara berleluasa.

Kadang-kadang sudah menjadi satu hiburan pula kepada remaja dengan adegan keganasan seperti ini. Oleh itu tidak mustahil, lama-kelamaan remaja yang terbabit menjadi lali dengan perilaku keganasan. Ini bermaksud walau bagaimana dahsyat dan ngerinya sesuatu keganasan itu, ia tidak memberi makna lagi kepadanya. Apa yang terjadi adalah satu peristiwa saja, oleh itu individu seperti ini telah tiada lagi perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Selain daripada melihat dan menonton episod keganasan, mereka yang terdedah pada didikan secara ganas juga berisiko mengamal tabiat yang sama apabila dewasa dan berumah tangga nanti. Dari aspek psikologi, mereka seperti ini dikatakan telah hilang perasaan kasih sayang kekeluargaan.

Apa yang ada adalah dendam rasa yang menanti masa untuk menjelma. Individu seperti ini telah belajar bahawa mengawal dan menguasai orang lain adalah asas kepada harga diri. Oleh itu mereka ini berisiko tinggi melakukan perkara yang sama apabila mereka ada keluarga sendiri.

Contohnya jika isteri mereka mula nampak lebih berupaya dari aspek sosio-ekonomi, mereka akan berasa mereka mungkin hilang berkuasa, oleh itu apabila berlaku sedikit pergeseran suami isteri, suami yang terbabit boleh bertindak ganas dan mencederakan isterinya.

Apa yang dihuraikan adalah beberapa punca keganasan, termasuk keganasan seksual. Banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi perilaku ganas terhadap wanita dan kanak-kanak. Contohnya penggunaan dadah dan arak serta kes suami mengalami penyakit mental. Tidak kurang juga unsur-unsur fitnah memfitnah yang pernah berlaku dalam masyarakat kita.

Dari aspek membantu mereka yang bersalah dalam kes-kes keganasan seksual, perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah kesanggupan orang terbabit mengaku bahawa memang ia yang bertanggungjawab atas jenayah itu. Ini adalah isu akauntabiliti dan adalah perkara wajib sebelum bantuan seterusnya dapat dijalankan.

Keduanya orang yang terbabit harus belajar bagaimana merasai penderitaan yang dialami oleh mangsa yang berkenaan. Hanya dengan ia merasai betapa pedih dan hinanya akibat perbuatannya barulah ia akan insaf dan cuba berubah supaya perilaku yang terkutuk itu tidak berulang lagi.

Sesungguhnya semua ahli masyarakat ada tanggungjawab, iaitu keganasan seksual tidak harus berlaku. Sudah menjadi kewajipan semua orang untuk menghubungi agensi-agensi yang berkaitan jika melihat keganasan sedang berlaku. Perasaan sabar dan marah ada tahapnya, kita kena bertindak jika ia keterlaluan hingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Kesihatan/20041010013559/Article/)