Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Kesihatan Anak: Cara mengatasi remaja murung

Written By JOM JALAN on 12/10/04 | Selasa, Oktober 12, 2004

Susunan Raihanah Abdullah


ASUHAN negatif boleh meningkatkan risiko seseorang kanak-kanak untuk mengalami kemurungan dan sentiasa cemas.



Sekumpulan penyelidik di Columbia University of New York yang membuat kaji selidik ke atas hampir 600 keluarga dan kanak-kanak menunjukkan bahawa perilaku keluarga yang negatif seperti terlalu kerap dileter, peraturan tidak menentu, pertengkaran ibu bapa di depan anak-anak dan kekurangan pengawasan boleh menjadikan mereka golongan mudah cemas dan murung ketika kecil.

Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Dr Peter Jensen memerhatikan dengan lebih dekat lagi terhadap beberapa gejala atau simptom serta rawatan untuk mengatasi masalah kemurungan di kalangan golongan itu.

Beliau berkata, berkemungkinan besar, sejarah keluarga memainkan faktor penting kepada masalah kemurungan di kalangan kanak-kanak tetapi masih ada beberapa faktor penyumbang lain bagi masalah itu.

Katanya, sakit yang berpanjangan juga boleh mendedahkan kanak-kanak kepada tekanan yang seterusnya boleh menyebabkan kemurungan.

Siapakah yang sering mengalami kemurungan, apakah kanak-kanak perempuan ataupun lelaki?

Hakikatnya, kanak-kanak perempuan dan lelaki kedua-duanya boleh mengalami kemurungan.

Bagaimanapun, apabila seseorang kanak-kanak mencapai akil baligh, perempuan lebih mudah mengalami masalah kemurungan berbanding lelaki.

Kadar masalah kemurungan bagaimanapun di kalangan lelaki semakin meningkat apabila mereka meningkat dewasa.

Selain itu, perkara berkaitan berat badan dan bentuk badan juga boleh menyumbang kepada masalah kemurungan kepada remaja lelaki dan perempuan.

Bagaimanakah ibu bapa boleh mengesan anak-anak yang bermasalah kemurungan?

Kanak-kanak selalunya tidak mampu meluahkan perasaan mereka dengan kata-kata sebagaimana remaja.

Sehubungan itu, bagi kanak-kanak yang masih muda, ibu bapa perlu mengawasi perubahan perilaku yang ditunjukkan oleh anak mereka, sama ada mereka lebih mudah bersedih, cepat meradang, sedih berterusan dan hilang minat untuk melakukan kegiatan normal.

Ada lagi beberapa perubahan besar dalam diri mereka seperti perubahan bentuk badan, contohnya, semakin gemuk atau kurus atau kurang tidur atau sering tidur.

Di kalangan remaja pula, perubahan seumpama itu juga boleh berlaku tetapi mereka bijak menyembunyikan perasaan kemurungan itu.

Amat jarang sekali kita melihat remaja menunjukkan kemurungan kerana mereka akan berusaha menyembunyikan perasaan itu daripada pengetahuan ibu bapa dan adik-beradik sendiri.

Keadaan ini boleh menyebabkan ahli keluarga sukar untuk mengesan masalah dihadapi itu, sekali gus menyulitkan ibu bapa untuk membantu anak remaja mereka yang sedang berdepan dengan masalah kemurungan.

Bagaimanapun, jika anak itu kelihatan murung dan menunjukkan gejala seperti mudah terasa hiba dan sedih, meradang, bercerita mengenai kematian dan bunuh diri, hilang minat untuk melakukan kegiatan normal, gemar menyendiri untuk jangka masa yang lama, usah biarkan gejala itu berterusan.

Sebagai ibu bapa, anda wajar memandang berat masalah yang sedang dilalui anak terbabit.

Anda juga perlu bijak menangani masalah yang berbangkit itu dan jika keadaan mendesak, dapatkan pandangan pakar dan kaunselor.(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Kesihatan/20041008155843/Article/)