Bersama Datuk Dr Mahmood Awang Kechik
SEORANG lelaki dari Langkawi, Kedah dan berusia 67 tahun mengadu masalah ketegangan zakar yang dihadapinya.
Di dalam suratnya beliau menyatakan: "Zakar saya tidak mahu menegang ketika hendak melakukan hubungan seks dan sekiranya menegang pun ia tidak akan lama. Kadang-kadang zakar saya tidak mahu menegang sampai dua tiga hari."
Bagaimanapun, beliau tidak berasa menghadapi masalah mati pucuk dan mengakui belum pernah berjumpa dengan doktor berhubung perkara ini.
Sehubungan itu beliau inginkan penjelasan mengenai keadaan yang dialaminya seperti kaitan antara umur dengan masalah selera seks dan juga apakah puncanya menyebabkan seseorang dalam lingkungan umurnya boleh menghadapi masalah sebegini.
Dalam hal ini, Datuk Dr Mahmood Awang Kechik menjelaskan, sememangnya apabila seseorang itu mencapai usia pertengahan iaitu sekitar 50 hingga 60 tahun, sudah menjadi hukum alam bahawa kita akan mengalami proses ketuaan.
Tua yang dimaksudkan di sini bukan sahaja peningkatan umur setiap tahun, tetapi juga yang berlaku kepada tubuh yang mana ia juga akan mengalami proses ketuaan.
Proses yang terjadi kepada manusia ini ditentukan oleh gene yang sudah ditentukan oleh Pencipta di dalam setiap sel tubuh manusia. Jadi proses ketuaan tidak dapat dihentikan.
Bagaimanapun, bagi sesetengah orang, proses ini mungkin dapat diperlahankan. Bagi sesetengah orang, ada yang akan menjadi tua lebih cepat manakala ada yang akan menjadi tua lebih lambat.
Apa pun, proses ketuaan akan tetap berjalan dan ada beberapa ubat yang dikatakan dapat melambatkan proses ketuaan seperti anti-oksida dan sebagainya. Bagaimanapun, kajian mendalam perlu dijalankan bagi memastikan kebenarannya.
Dalam soal selera seks di kalangan orang tua, kita dapat katakan yang mana terjadi, mereka tidak ada keinginan dan perkara ini dapat dikaitkan dengan faktor ketuaan, yang mana hormon testesteron tidak begitu efektif dalam meningkatkan nafsu seks.
Sama seperti di kalangan wanita yang mengalami proses menapouse, orang lelaki pula mengalami masalah andropouse, berkaitan dengan suasana tubuh yang tidak begitu responsif terhadap hormon testesteron yang dikeluarkan oleh tubuh.
Ini menjadikan seseorang itu tidak ada selera untuk melakukan hubungan seks. Bagaimanapun, selera seks seseorang itu dapat ditingkatkan dengan memakan hormon testesteron.
Sungguhpun begitu, sebelum pengambilan hormon ini dilakukan, seseorang itu hendaklah mendapatkan pemeriksaan dan rundingan daripada dokor terlebih dahulu.
Bagi mereka dalam lingkungan umur yang disebutkan, mereka harus sentiasa memastikan tubuh badan berada dalam keadaan segar dengan mengambil makanan seimbang serta mengamalkan senaman supaya aliran darah dapat berjalan dengan lancar.
Seperti diketahui, ketegangan zakar adalah berkaitan dengan aliran darah ke zakar dan ini adalah jawapan kenapa nafsu seseorang itu menurun.
Bagi pertanyaan mengapa zakar tidak keras dan tahan lama, masalah ini lebih kepada sexual dysfunction, yang mana ia boleh dikaitkan dengan mati pucuk. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, mati pucuk adalah masalah rumit dan banyak penyebabnya.
Penyebabnya sering dibahagi kepada tiga;
1. Penyebab psikologi - ini sering juga terjadi kepada orang muda. Ia boleh dikaitkan dengan gaya hidup seharian seseorang itu seperti tekanan, hubungan suami-isteri (rumah tangga) yang tidak baik, juga kerana seseorang itu menghadapi masalah psiko-seksual tersendiri yang mana selera seks berbeda-beda.
2. Masalah organik - masalah yang ada sangkut-paut dengan kemaluan itu sendiri. Contohnya, kelainan kepada penis seperti pendek dan bengkok. Ia juga mungkin kerana seseorang itu terpaksa melakukan pembedahan di bahagian kemaluan seperti saraf di bahagian penis yang sudah rosak. Mengalami kemalangan yang membabitkan bahagian kemaluan seperti bahagian pinggang yang patah atau urat saraf yang rosak. Masalah ini juga mungkin disebabkan oleh penyakit tertentu yang dialami oleh seseorang itu seperti kencing manis. Ia juga disebabkan oleh ubatan yang dimakan seperti ubat mengawal tekanan darah tinggi dan ubat anti-kolestrol.
3. Kombinasi antara kedua-dua ini.
Apa pun, bagi kalangan mereka yang berumur, semua faktor ini berperanan dalam menentukan keupayaan dan kebolehan melakukan hubungan seks.(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Kesihatan/20041008155714/Article/)