Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Di Luar Lingkaran: Islam yang bagaimana?

Written By JOM JALAN on 12/10/04 | Selasa, Oktober 12, 2004

Bersama Johan Jaaffar
zulujj@tm.net.my


DALAM ucapan di Oxford Center for Islamic Studies pada 1 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghantar mesej yang jelas kepada umat Islam dan bukan Islam yang mencurigai Islam: dalami pemahaman mengenai Islam dan fahami Islam sebenar.



Pak Lah bukan saja bercakap sebagai pemimpin Islam sebuah negara pelbagai kaum tetapi juga sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Beliau boleh mendakwa bahawa Malaysia sentiasa memilih jalan tengah atau jalan kesederhanaan dalam soal laluan yang patut dipilih dalam soal agama.

Beliau bermula dengan membuat penilaian diri tentang kedudukan umat Islam hari ini. Bukan saja data yang beliau sebutkan membuka mata, tetapi banyak data dan maklumat lain yang sebenarnya mengesahkan kenyataan beliau. Dalam ucapannya beliau menyebutkan bahawa hanya lima buah negara Islam yang menikmati perkapita Keluaran Negara Kasar (GDP) melebihi RM38,000, 30 negara Islam lain mempunyai pendapatan perkapita kurang daripada RM3,800.

Kenyataan lain yang kita tahu ialah semua 57 buah negara OIC mempunyai GDP terkumpul sebanyak RM5.3 trilion. Ini hanya mewakili sepertiga GDP Jepun, negara yang dianggap ekonomi kedua terbesar dunia. Kajian lain menunjukkan dispariti pendapatan yang amat ketara di antara penganut agama di dunia. Kajian ke atas orang Yahudi di 113 buah negara mendapati pendapatan perkapita mereka ialah RM61,180. Berdasarkan penganut Kristian di 218 negara, pendapatan perkapita mereka ialah RM31,274 sementara kajian ke atas penganut Buddhist di 27 negara mendapati pendapatan perkapita mereka ialah RM25,612. Di mana kedudukan orang Islam? Kajian ke atas umat Islam di 123 negara mendapati pendapatan perkapita mereka hanyalah RM6,536, baik sedikit dari penganut Hindu yang dikaji di 24 negara, yakni RM2,667.

Pada waktu yang sama, Islam ialah agama yang paling pesat pertumbuhannya, mencatatkan peningkatan lebih 34 peratus setahun berbanding 25 peratus bagi penganut Kristian dan 13 peratus bagi penganut Hindu.

Hari ini, ada lebih 1.3 bilion penganut Islam, dan jarak di antara penganut Kristian (sekarang dua bilion) dengan Islam akan menjadi semakin berkurang dalam masa 20 tahun lagi. Hari ini, di negara-negara Eropah, pertambahan jumlah orang Islam sudah dianggap sesuatu yang merisaukan sesetengah pihak. Adalah dipercayai ada 1.3 juta umat Islam di Britain, 3.2 juta di Jerman dan 4.2 juta di Perancis.

Seperti apa yang ditimbulkan oleh Pak Lah dalam ucapannya, rata-rata umat Islam masih dalam keadaan daif dan lemah. Keupayaan ekonomi mereka tidak dapat menandingi penganut agama lain. Mereka masih berdepan dengan masalah kemiskinan, ada kalanya kebuluran dan menjadi mangsa perang, penindasan dan ketidakadilan. Sebahagian besar masalah umat Islam hari ini bagaimanapun berpunca dari kelemahan pemimpin dan kerajaan negara-negara Islam sendiri.

Pak Lah berpendapat bahawa keutamaan dalam dunia Islam ialah untuk memastikan good governance – ini sahaja yang dapat memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran berterusan bagi umat Islam. Pak Lah menekankan pentingnya umat Islam mencari idea dan belajar dari amalan terbaik dari seluruh dunia. Pada waktu yang sama umat Islam hanya perlu melihat pada teladan para pemimpin mereka yang terdahulu termasuk dari cara pentadbiran Rasulullah SAW dan Khalifah Rashidin. Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil dan contoh yang perlu diikut dalam mentadbir negara Islam hari ini.

Kesediaan untuk menjadi terbuka, menerima kritikan, menjadi adil dan saksama dan melaksanakan apa yang dituntut oleh agama, sepatutnya sudah menjadi amalan pemimpin dan kerajaan Islam. Hakikat bahawa kita selalu melupakan apa yang terbaik dalam sejarah kegemilangan Islam menyebabkan umat Islam hilang pedoman. Krisis kelemahan umat Islam banyak berpunca daripada kegagalan Islam menjunjung kemuliaan ilmu dan menempatkan kejayaan sebagai mercu tanda kehidupan.

Ada kalanya fahaman yang sempit terhadap agama menjadikan umat Islam menganggap mengejar kemajuan dunia sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Lumrahnya semakin terpinggir sesuatu kaum dari arus perdana perubahan, semakin ketinggalan keupayaan ekonomi mereka dan semakin jauh mereka dari teknologi, semudah itulah mereka membina "pagar" di sekeliling mereka. Itu menjadi alasan terbaik untuk "menolak dunia semasa" dan memenjarakan diri mereka dalam kokon keagamaan yang sempit.

Dari keadaan seperti inilah timbul keresahan, kekecewaan dan kebencian terhadap "Yang Lain." Apatah lagi apabila ada elemen fanatisme yang dimasukkan. Juga dendam terhadap dasar dan tindakan pihak lain. Inilah sebahagian dari bom jangka di kalangan umat Islam. Mengapa anak-anak muda bersedia menjadi suicide bombers harus difahami dalam konteks ini.

Namun demikian, seperti kata Pak Lah, kelemahan, kekecewaan dan ketidakadilan ke atas umat Islam bukan alasan untuk mana-mana orang Islam mencederakan atau membunuh orang lain. Pada waktu yang sama punca kemarahan umat Islam itu harus difahami dan ditangani.

Memang mudah bagi Barat dan orang bukan Islam untuk menggunakan beberapa kejadian yang membabitkan keganasan ini sebagai alasan untuk memburuk-burukkan nama Islam. Media Barat yang mengambil pendekatan sensasi akan memberikan label "Islam militan" pada Islam.

Seperti kata Pak Lah, Islam mulai dilihat sebagai agama yang suka berperang dan umatnya sebagai pengganas yang fanatik. Pemimpin Barat berkali-kali menekankan peperangan ke atas terorisme bukan peperangan ke atas umat Islam. Hakikatnya, berbilion umat Islam di seluruh dunia melihat bagaimana tindakan, dasar berat sebelah dan alasan untuk menakluk negara Islam sebagai serangan ke atas Islam.

Maka itu Pak Lah melihat perlunya umat Islam kembali ke asal, untuk mencari kekuatan yang hilang dan menentukan keutamaan dan hala tuju yang baru. Beliau menyebutkan konsep Islam Hadhari yang menjadi teras negara ini. Beliau mengingatkan pendengarnya bahawa Islam Hadhari bukan sekadar retorik, juga bukan sekadar mementingkan bentuk tetapi perisiannya. Pendekatan ini menurut beliau sesuai atau compatible dengan permodenan dan lebih penting lagi bertolak dari nilai-nilai agung dan murni yang terdapat dalam Islam.

Beliau lalu memberikan 10 prinsip Islam Hadhari:


Kepercayaan dan ketakwaan kepada Allah


Kerajaan yang adil dan bertanggungjawab


Umat yang bebas dan tidak dibelenggu


Usaha yang gigih untuk mencari dan menguasai ilmu


Pembangunan ekonomi yang seimbang dan menyeluruh


Kualiti hidup rakyat yang baik


Melindungi hak kaum minoriti dan wanita


Mempertahankan integriti kebudayaan dan moral


Melindungi bahan mentah dan persekitaran


Memastikan keupayaan pertahanan yang kuat.

Pak Lah mengakhiri ucapannya dengan mengingatkan audiens mengenai pandangan seorang tokoh pemikir Iran yang terkenal, Allahyarham Ali Shariati. Ali pernah berkata lebih kurang; ”sayang sekali kerana di kalangan mereka yang mengerti dan mendalami Islam bertanggungjawab menyebabkan Islam menjadi statik (dan lemah) seperti keadaannya sekarang. Lebih malang lagi, mereka yang faham keperluan zaman dan apa yang diperlukan oleh umat Islam pada masa ini, tidak pula memahami agama mereka.”

Pandangan yang walaupun mungkin tidak dipersetujui semua orang, tetapi bernas, berani dan mencabar dan sepatutnya menjadi azimat pada kita semua.(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Rencana/20041010023546/Article/)