BUSHBUCKRIDGE (Afrika Selatan): Penduduk wanita di kampung Edinburgh berhampiran Bushbuckridge kini dilanda kebimbangan untuk melelapkan mata kerana bimbang dirogol ‘dari jauh’.
Mereka mendakwa, penyerang menggunakan sihir bergelar Mtshotshaphansi yang membolehkan lelaki merogol wanita tanpa dilihat secara fizikal, lapor News 24.
“Saya tidak dapat tidur malam kerana sering berasa seolah-olah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki, menyebabkan saya mencapai kemuncak dan menjadi amat letih,” kata seorang wanita, Hleziphi Ngwenya, kepada perhimpunan umum.
Apabila penduduk kampung lain menyambut keterangannya dengan ketawa, dia berkata: “Ia mungkin lucu tetapi saya mengalami masalah itu sekurang-kurangnya sekali seminggu.”
Menurut Ngwenya, 29, dia memberitahu masalah itu kepada suaminya yang mencari kerja di bandar lain.
Julia Khumalo, 30, turut mendakwa dirogol walaupun suaminya tidur di sebelahnya.
“Suami saya tidur di sebelah saya satu malam tetapi saya berasa ghairah dan berasa seperti kemaluan lelaki menembusi saya,” katanya.
Katanya, dia tidak pernah percayakan Mtshotshaphansi sehingga perkara itu berlaku kepadanya.
Seorang lagi yang mendakwa sebagai mangsa, Pinky Gumede, 35, berkata dia mengunjungi doktor untuk mendapatkan bantuan dan diberi ubat selepas doktor mendapati ada ketumbuhan pada rahimnya.
Ketua kampung itu memberi amaran jika insiden itu masih berterusan, dia akan memburu lelaki yang bertanggungjawab melakukan jenayah itu.
Sementara itu, seorang dukun tempatan, Daniel Ngobeni, mengesahkan Mtshotshaphansi wujud dan berkata, kemungkinan lelaki dari puak Tokoloshe yang merogol wanita. – Agensi (http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Dunia/20041010022219/Article/)