Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Perkahwinan Imran Khan-Jemima hanya bertahan sembilan tahun - Berakhir kisah cinta dua benua

Written By JOM JALAN on 12/10/04 | Selasa, Oktober 12, 2004

Laporan NORZAILA ROSLI

TIADA apa yang memeranjatkan apabila legenda kriket Pakistan, Imran Khan menceraikan isterinya, Jemima.

Ramai yang tidak menduga rumah tangga mereka mampu bertahan begitu lama.

Namun setelah sembilan tahun melayari bahtera hidup, mereka akhirnya berpisah setelah Imran yang juga seorang ahli politik mengumumkan perkahwinannya dengan Jemima Goldsmith, anak kepada hartawan terkemuka Britain, mendiang Sir James Goldsmith telah berakhir.

Imran membuat pengumuman tersebut melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh parti politiknya, Tehrik-e-Insaaf (pergerakan untuk keadilan).

``Dengan rasa sedih saya mengumumkan bahawa saya dan Jemima sudah bercerai.''

``Ketika Jemima cuba sedaya upaya menyesuaikan diri di sini, kerjaya politik saya telah menyukarkannya untuk menjalani kehidupan di Pakistan,'' jelas kenyataan itu.

Ada yang berpendapat, penceraian itu telah mendorong Imran membina pengaruh yang lebih kuat dalam politik Pakistan.

Selama tempoh lapan tahun, parti politiknya berjaya mendapat impak yang kuat daripada pihak media berbanding perhimpunan kebangsaan rakyat Pakistan sendiri.

Imran merupakan satu-satunya wakil pemimpin Tehrik-e-Insaaf yang memenangi kerusi Punjab di Mianwali dua tahun lalu.

Sikapnya yang berani mengutuk secara lantang pertempuran tentera Pakistan dengan puak Pashtun telah berjaya meningkatkan sokongan daripada kumpulan yang berpegang kuat kepada ajaran Islam tetapi membuatkan sesetengah pihak di dalam tentera panas hati.

Semasa menerima lamaran Imran, Jemima hanya berusia 21 tahun manakala Imran pula berusia 42 tahun.

Pasangan itu mendaftar sebagai suami isteri yang sah di sisi Islam pada 20 Jun 1995 di Richmond, barat daya London.

Ketika itu, Imran terkenal sebagai playboy kriket yang cuba mengubah statusnya daripada hero negara kepada ahli politik.

Tidak lama selepas diperisterikan, Jemima yang baru memeluk Islam menukar namanya kepada Jamila Haiqa.

Sejak awal lagi ramai berpendapat, perkahwinan pasangan itu merupakan satu kesilapan besar dan bakal membawa malapetaka buruk kerana Jemima bukan seorang Muslim sebelum itu.

Pada usia yang baru mencecah 21 tahun pada masa itu, Jemima dianggap budak hingusan yang belum layak menjadi isteri yang baik.

Media Barat mengutuk perkahwinan mereka dan berpendapat dia hanya seorang gadis mentah dan tidak mungkin dapat menyesuaikan diri dengan budaya Pakistan yang jauh berbeza ibarat langit dan bumi.

Walaupun pernah melalui pahit manis bersama Imran, wanita itu berjaya mengetepikan telahan itu.

Dia sebaliknya cuba sedaya yang mungkin menyesuaikan diri dengan masyarakat di Pakistan dengan memakai pakaian tradisional negara itu, belajar mengenai budaya dan bahasa selain melibatkan diri secara aktif dalam kerja-kerja kebajikan.

Hasil perkahwinan selama sembilan tahun itu, Imran dan Jemima dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang diberi nama Suleiman dan Kasim.

Di samping itu, Jemima dan Imran juga adalah tempat mengadu nasib Puteri Diana ketika mendiang berhadapan masalah dengan kekasihnya, Dr. Hasnat Khan.

Namun begitu, bahtera yang dilayar bersama mula goyah apabila Jemima mengambil keputusan membawa kedua-dua anaknya berpindah dari Lahore ke London tahun lalu.

Sejak itu, khabar angin mengenai masalah rumah tangga mereka mula bertiup kencang walaupun Jemima cuba berselindung dengan memberi alasan dia ingin menyambung ijazah di Britain dan akan kembali ke Pakistan selepas menamatkan pelajaran.

Semasa di London, Jemima bukan sahaja berpeluang menyambung pelajaran tetapi menikmati semula kehidupan sosial yang pernah dirasainya sebagai anak seorang hartawan terkemuka dunia.

Imran pula dikatakan terlalu `taksub' dengan dunia politik sehinggakan sering mengabaikan keluarga. Jemima terpaksa menyambut hari lahir yang ke-30 tahun awal tahun ini tanpa Imran di sisinya.

``Semangat Jemima menjadi lemah akibat serangan peribadi ke atasnya oleh rejim Pakistan, Presiden Pervez Musharraf, dalam cubaan menenggelamkan saya.

``Saya rasa dia sudah bosan. Dia tidak yakin kesusahan yang kami alami akan berakhir dan merasakan saya tidak mungkin berjaya,'' kata Imran.

Walaupun partinya banyak mendapat sokongan daripada masyarakat kelas pertengahan yang warak di Lahore, Jemima dilihat sebagai aset dan dialu-alukan oleh puak Pashtun dari wilayah sempadan barat laut, bersebelahan Afghanistan.

Dalam kempen pilihan raya 1997, wanita berjiwa kental itu berjaya meraih sokongan ramai dengan penguasaan bahasa Urdu yang baik termasuk menggunakan beberapa perkataan dalam dialek Pashtu.

Namun begitu, Jemima tetap menjadi sasaran kerana tindakan Imran menyerang golongan elit yang mengamalkan rasuah.

Jemima yang berdarah Yahudi turut dituduh menjadi sebahagian daripada konspirasi Zionis dalam cubaan merampas Pakistan.

Imran mengakui dia tidak pernah memikirkan perkara tersebut secara serius kerana menyangka tuduhan yang dilemparkan itu langsung tidak masuk akal.

Kritikan itu dapat dipatahkan setelah Jemima membuktikan dia turut terlibat dengan kerja amal mengutip derma bagi pelarian Afghanistan termasuk menjadi wakil khas Unicef dan melancarkan label fesyennya yang banyak berkonsepkan pakaian tradisional Pakistan untuk tujuan amal.

Dua tahun lalu, label fesyen tersebut terpaksa ditutup dipercayai kesan daripada tragedi 11 September dan kerjaya politik suaminya.

Malangnya, jiwa kental Jemima pada masa itu tidak dapat bertahan lagi.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila Jemima turut menerima ancaman keselamatan di mana pada Julai tahun lalu, seorang lelaki bertopeng telah memecah masuk kediamannya di Fulham.

Jemima yang menganggap serangan itu mempunyai kaitan dengan politik sempat menyorokkan diri di dalam bilik mandi ketika pengawal keselamatan bertarung dengan penjahat tersebut.

Sementara itu, Imran menganggap laporan yang mengatakan dia kecewa mendengar Jemima telah pun mendapat pengganti sebaik bercerai Jun lalu sebagai ``karut''.

``Jemima sememangnya seorang wanita yang sangat menarik, dan sejak awal saya sudah tahu dia akan bertemu orang baru dan kehidupan baru,'' kata Imran, 50.

Sejak menjanda, Jemima sering dilihat menghabiskan masa bersama aktor tampan, Hugh Grant. Pasangan yang dikatakan sedang bercinta itu ditemui bercuti di Saint-Paul de Vence di selatan Perancis.

Hugh, 43, yang belum pernah berkahwin sebelum ini sememangnya terkenal sebagai ``buaya darat'' di kalangan celebrity Britain.

Hero filem Notting Hill itu pernah menjalinkan hubungan serius selama 14 tahun dengan supermodel dan aktres Liz Hurley tetapi berpisah empat tahun lalu.

``Tiada wanita lain dalam hidup saya.

``Ia bukan satu keutamaan pada masa ini. Saya mungkin tidak akan berkahwin lagi,'' ujar Imran.