Anda Tanya Doktor Jawab: Ibu hamil perlu berwaspada ketika perjalanan jauh
Bersama Dr Fauziah Mohd Hassan
SOALAN:
SAYA dan suami bercadang pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri. Perjalanan kami agak jauh. Jadi, apakah nasihat doktor supaya kami bersedia untuk perjalanan ini atau bolehkah kami menaiki kapal terbang?
Untuk makluman doktor, saya sedang hamil dan dijangka melahirkan anak pada Februari tahun depan. Saya bimbang jika perjalanan yang jauh boleh menjejaskan kehamilan saya.
BAKAL IBU,
Selangor
JAWAPAN:
PERJALANAN jauh bukan tidak boleh bagi ibu hamil, sebaliknya perlulah dirancang supaya semuanya berjalan dengan baik Insya-Allah.
Pertamanya anda perlulah meminta nasihat doktor yang menjaga sama ada perjalanan jauh itu sesuai untuk anda dan kandungan.
Jika perlu, dapatkan laporan ringkas mengenai kehamilan supaya dapat memudahkan kesinambungan penjagaan kandungan jika wujud masalah dalam perjalanan atau ketika di kampung.
Selain itu, langkah-langkah berikut boleh diambil:
Pastikan anda sudah berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
Lebih penting lagi, suami yang akan memandu juga perlu cergas dan sudah cukup berehat supaya tidak mengantuk dan letih ketika dalam perjalanan.
Memakai pakaian dan kasut yang selesa.
Pastikan anda membawa bekalan makanan dan minuman (walaupun berpuasa).
Elakkan daripada mengambil minuman bergas.
Seseorang wanita yang hamil dan bermusafir pula, boleh berbuka puasa.
Pastikan anda minum air secukupnya ketika dalam perjalanan jika mengambil keputusan untuk tidak berpuasa.
Apabila anda berada dalam keadaan duduk yang agak lama, letakkan bantal kecil di belakang dan cuba lunjurkan kaki. Keadaan ini boleh mengurangkan kaki menjadi bengkak dan juga memperbaiki peredaran darah.
Posisi ini penting terutama bagi ibu yang mengalami urat bersimpul atau vena varikos, iaitu saluran (darah) vena menjadi kembang dan bengkak di bahagian kaki.
Urat bersimpul menjadi lebih teruk pada akhir kehamilan apabila berdiri atau kaki tergantung buat masa yang lama. Oleh itu, mengangkat kedua-dua kaki ke atas boleh mengurangkan kesakitan dan bengkak vena.
Pada posisi ini, pengaliran darah berlaku dengan lebih baik dan tidak terkumpul di bahagian kaki. Jika anda melakukan perjalanan dengan kereta, pastikan kereta berkeadaan baik dan baru diservis.
Perjalanan hendaklah dirancang dan jangan tergesa-gesa di jalan raya.
Anda boleh berhenti pada bila-bila masa diperlukan untuk meregangkan badan dan memperbaiki peredaran darah.
Ketika di dalam kereta, pastikan anda memakai tali keledar. Langkah ini penting untuk menyelamatkan nyawa jika berlaku kemalangan.
Jangan risau mengenai janin akan terhimpit oleh tali itu kerana janin mempunyai air ketuban di sekeliling. Air itu adalah mekanisme untuk perlindungannya. Tidak ada bukti menunjukkan bahawa tali keledar boleh meninggikan risiko kecederaan janin.
Pakai tali keledar dengan meletakkan tali itu di bahagian perut, iaitu pada paras bawah yang mungkin. Tali di bahagian dada pula diletakkan di antara kedua-dua payu dara.
Anda mungkin perlu membuat pertukaran kedudukan tali dari semasa ke semasa supaya ia betul-betul selesa.
Jika anda ingin menaiki pesawat, anda mungkin memerlukan surat doktor yang menyatakan bahawa anda dan kandungan berkeadaan sihat dan sesuai untuk perjalanan itu.
Bagi memudahkan kedudukan dan pergerakan, anda dinasihatkan meminta tempat duduk berdekatan dengan laluan dan bukan di tepi tingkap.
Gerakkan kaki sekerap mungkin untuk memperbaiki peredaran darah (http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Doktor/20041107113738/Article/)