Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Usah risau jika saiz buah zakar tidak sama besar

Written By Syafrein Effendiuz on 11/11/04 | Khamis, November 11, 2004

- Kesihatan -
Masalah Seksual: Usah risau jika saiz buah zakar tidak sama besar
Bersama Datuk Dr Mahmood Awang Kechik


SEORANG remaja lelaki dari Alor Setar, Kedah yang menggelarkan dirinya Batrisya Badlishah berasa runsing kerana mendapati ada kelainan yang berlaku buah zakarnya yang katanya, tidak seimbang.



Dalam e-melnya beliau memberitahu, sama ada ia adalah perkara biasa atau menunjukkan satu-satu masalah namun, inilah keadaan yang dialaminya yang sepanjang ingatannya.

“Saya tidak sedar bila keadaan ini wujud, tetapi apa yang dapat saya katakan ialah, sepanjang yang saya ingat inilah keadaannya yang apa yang saya perasan satu berada pada kedudukan di atas manakala yang satu lagi berada di bawah.

“Memandangkan saya akan berkahwin pada pertengahan tahun hadapan, saya ingin mengetahui bahawa keadaan ini akan memberi kesan atau tidak kepada kedudukan saya sebagai suami,” katanya.

Batrisya Badlishah juga bertanya, apakah fungsi buah zakar dan kedudukannya di dalam tubuh seseorang lelaki dan apa yang perlu dilakukan dan tindakan yang boleh dilakukan oleh seseorang lelaki untuk menjaga buah zakar mereka

Berhubung masalah ini, Datuk Dr Mahmood Awang Kechik menyatakan, buah zakar tidak seimbang adalah perkara biasa yang mana buah zakar kiri lebih kendur daripada kanan.

Ini berlaku kepada semua lelaki dan perkara ini adalah normal dan sekiranya mereka mengesan kedudukan buah zakar yang sebegini, mereka tidak perlu untuk berasa runsing kerana ia bukanlah satu masalah.

Buah zakar berfungsi sebagai pengeluar hormon-hormon lelaki untuk membolehkan seseorang itu menjalani dan mempunyai ciri-ciri lelaki seperti suara, keinginan dan nafsu untuk berereksi.

Selain itu, buah zakar juga berfungsi sebagai kilang yang mengeluarkan benih bagi membolehkan persenyawaan dilakukan untuk menghasilkan zuriat.

Penghasilan air mani adalah perkara biasa dan apabila bersetubuh ia menjadi kurang dan penghasilannya akan berlaku secara biasa.

Namun apa yang perlu diketahui juga ialah, besar atau kecil buah zakar tidak berkaitan dengan besar atau kecil zakar seseorang itu dan buah zakar yang normal adalah berukuran antara dua hingga tiga sentimeter.

Bergantung kepada cuaca dan persekitaran, kedudukan buah zakar berada dalam keadaan yang berbeza-beza. Jika suhu sejuk, buah zakar akan naik manakala cuaca panas pula menyebabkan buah zakar turun.

Buah zakar akan berfungsi secara optimum dalam lingkungan optimumnya. Oleh itu jika dalam keadaan cuaca panas dan buah zakar tidak turun ini bermakna ia melekat pada badan.

Buah zakar juga tidak boleh didedahkan kepada suhu panas kerana ini akan menyebabkannya tidak dapat berfungsi dengan sempurna dalam mengeluarkan air mani atau benih yang diperlukan untuk tujuan persenyawaan.

Bagi mereka yang bekerja dalam persekitaran yang panas, perkara ini perlu diambil kira bagi kepentingan diri sendiri.

Ketidaksempurnaan ini juga boleh menyebabkan berlakunya kemandulan. Oleh itu pastikan suhu yang sesuai untuk zakar dan ia hendaklah berada dalam keadaan sejuk untuk kebaikan sendiri.

Buah zakar yang tidak turun apabila suhu panas juga boleh diubati yang mana ia boleh disempurnakan melalui pembedahan.

Masalah buah zakar ini juga perlu diperhatikan oleh ibu bapa terhadap bayi mereka. Ibu bapa harus memeriksa kerandut buah zakar bayi mereka sama ada terdapat atau tidak butir-butir buah zakar.

Jangan sangka kewujudan kerandut adalah bersama dengan butir-butir buah zakar kerana kadang-kadang kerandut itu kosong kerana butir-butir ini melekat di badan.

Bagi ibu bapa yang mendapati kerandut buah zakar bayi mereka tidak mengandungi butir-butir buah zakar adalah perlu untuk membawa anak ini berjumpa doktor bagi meneliti dan membuat pemeriksaan.

Ini perlu bagi memastikan kesihatan anak dan juga untuk masa depan mereka.(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Kesihatan/20041107110230/Article/)