Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 11/11/04 | Khamis, November 11, 2004


Menakjubkan, penuh misteri
SALEHUDDIN Abdul Halim melihat ketiga-tiga anaknya Mariam (dari kanan), Saharuddin dan Budin di Hospital Pekan, semalam, yang ditemui selepas lima hari hilang di ladang getah Felcra Mambang Seberang, Paloh Hinai. - Gambar GHAZALI BASRI.
PEKAN 10 Nov. - Sungguh menakjubkan apabila tiga kanak-kanak yang baru setahun jagung dijumpai dalam keadaan selamat petang ini, setelah lima hari hilang ketika bermain di ladang getah dekat rumah mereka di Felcra Mambang Seberang di sini.
Walaupun telah ditemui, kehilangan tiga beradik itu masih diselubungi misteri termasuklah bagaimana tiba-tiba boleh hilang sedangkan bapa mereka berada tidak jauh dari tempat mereka bermain Sabtu lepas.
Kawasan mereka ditemui itu pula, sudah beberapa kali dilalui pasukan mencari dan menyelamat.
Saharuddin, 6, Budin, 5, dan Mariam Salehuddin, 3, belum boleh bercerita kerana keadaan mereka lemah dengan seluruh badan dipenuhi gigitan serangga. Mereka kini dirawat di Hospital Pekan.
Mereka ditemui dalam keadaan tidak berbaju di atas pulau kecil dalam kawasan berpaya berhampiran Kampung Tanjung Cempaka pukul 5.45 petang ini.
Pasukan mencari dan menyelamat mula-mula menjumpai baju-T dan selipar milik Mariam pada pukul 5.30 petang berhampiran tempat penemuan mereka.
``Mereka dipercayai melalui anak sungai yang berhampiran dengan rumah mereka.
``Lebih misteri apabila pasukan mencari telah melalui lima enam kali kawasan berkenaan sebelum itu, tetapi tidak menjumpai mereka dan penemuan ini adalah sebagai satu takdir,'' kata Ketua Polis Daerah Pekan, Pemangku Supritendan Mohd. Jasmani Yusoff kepada Utusan Malaysia hari ini.
Lokasi penemuan ketiga-tiga beradik itu pula adalah di luar kawasan ladang Felcra Mambang Seberang, tempat di mana mereka mula-mula dilaporkan hilang.
Walau apapun, penemuan ketiga-tiga kanak-kanak ini merupakan berita gembira kepada bapa mereka, Salehuddin Abdul Halim, 41, menjelang 1 Syawal.
Operasi mencari mula dilancarkan selepas berita kehilangan kanak-kanak itu dilaporkan oleh bapanya tetapi tiada sebarang petunjuk ditemui walaupun dengan bantuan anjing pengesan.
Malahan khidmat bomoh sebelum ini turut digunakan tetapi gagal mengesan di mana ketiga-tiga beradik itu berada.
Mohd. Jasmani memberitahu, lokasi kanak-kanak itu ditemui itu adalah kira-kira enam kilometer dari rumah mereka.
Kanak-kanak itu mula ditemui oleh Ketua bahagian Ketenteraman Awam Daerah Pekan, Cif Inspektor, Mustapa Othman bersama satu pasukan mencari kanak-kanak yang hilang tersebut.
Mohd. Jasmani berkata, pasukan mencari terpaksa meredah denai hutan sebelum ternampak kanak-kanak tiga beradik itu di tempat yang agak tinggi seperti pulau di tengah kawasan paya.
Katanya, seramai 138 orang terlibat dengan pasukan mencari dan menyelamat itu yang membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Gerak Am, Unit pengesan, kakitangan Felcra, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rela dan penduduk kampung.
Beliau yang ditemui di Hospital Daerah Pekan, di sini malam ini memberitahu, ketiga-tiga kanak-kanak itu telah dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut.
Siasatan juga mendapati punca kehilangan adalah akibat sesat.
Bagaimanapun katanya, ada beberapa aspek yang menimbulkan misteri dalam tempoh kehilangan kanak-kanak tersebut.
``Antaranya ialah bagaimana mereka melepasi parit sempadan ladang yang sedalam lima kaki dan 12 kaki lebar,'' katanya.
Selain itu katanya, turut menimbulkan tanda tanya ialah bagaimana kanak-kanak-berkenaan berada terlalu jauh dari rumah mereka.
``Menurut bapa mereka, ketiga-tiga adik beradik ini tidak pernah pergi jauh dari kawasan rumah mereka atau rumah nenek mereka yang terletak 50 meter,'' katanya.
Bapa kanak-kanak berkenaan, Salehuddin ketika ditemui pula menyifatkan penemuan anak-anak mereka sebagai hadiah yang tidak ternilai menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk polis, PGA, Perhilitan, Rela dan penduduk kampung yang membantu proses pencarian selama lima hari.